Ahad, 23 Julai 2017 [ 4:40:37 AM ]
A- A A+

Default ThemeGreen ThemeRed ThemeYellow Theme

Pelan Strategik DBKL 2010-2020

 

BANDAR RAYA KUALA LUMPUR : BANDAR RAYA DINAMIK, RESPONSIF DAN PRIHATIN

 

PS-DBKL-1

 

Bandar Raya Kuala Lumpur berdepan dengan cabaran besar untuk terus kekal dinamik dan terserlah  di mata dunia sebagai sebuah pentadbiran, kewangan, perusahaan, perdagangan dan pusat pelancongan yang penting di dunia.

 

Berpaksikan kepada prinsip mendahulukan kesejahteraan warga kota yang berlandaskan slogan Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yakin akan berjaya mencapai Visi dan meletakkan Kuala Lumpur sebagai bandar raya bertaraf dunia menjelang tahun 2020. Visi ini telah dimanifestikan dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 sebagai asas kepada pembangunan fizikal Kuala Lumpur selain menyumbang ke arah mencapai agenda nasional menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

 

Perancangan pembangunan holistik ini diperincikan lagi melalui penyediaan Pelan Tempatan atau Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur (PBRKL) yang merupakan satu pelan perancangan yang berwawasan yang telah mengambil kira kepentingan serta keperluan daripada pihak-pihak yang berkepentingan dalam mencapai visi meletakkan Bandar Raya Kuala Lumpur setanding dengan lain-lain bandar di Dunia dalam pelbagai sektor termasuk mempunyai urus tadbir yang cekap.

 

Bagi mengatur langkah susulan pelaksanaan pelan-pelan fizikal tersebut, DBKL telah merangka satu Pelan Strategik untuk tempoh 10 tahun. DBKL dalam merangka Pelan Strategik ini, telah meletakkan dasar-dasar serta Program Kerajaan seperti Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Negara, Pelan Transformasi Kerajaan dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) serta Pelan Strategik Kementerian Wilayah Persekutuan sebagai kerangka asas bagi memastikan keselarian pelaksanaannya dengan aspirasi Kerajaan.

 

Pelan Strategik DBKL 2010-2020 adalah berlandaskan visi, misi, nilai bersama serta matlamat yang kemudiannya diterjemahkan menjadi teras strategik dan strategi yang memandu pembentukan pelan-pelan tindakan. Pelaksanaan pelan-pelan tindakan dirangka mengikut tiga fasa iaitu jangka pendek, jangka sederhana serta jangka panjang.

 

DBKL menggunakan indikator strategik bagi mengukur pencapaian pelaksanaan Pelan Strategik untuk memastikan pelaksanaan teras-teras strategik dan pelan tindakan yang dirancang mencapai matlamat kesejahteraan warga kota.

 

Dalam melaksanakan Pelan Strategik ini DBKL akan sentiasa bekerjasama dengan pihak yang berkepentingan  kepada bandar raya Kuala Lumpur dan masa depannya.

 

ASAS PELAN STRATEGIK : MATLAMAT DAN TERAS STRATEGIK

 

Info Grafik 1

 

 

MATLAMAT 1 : BANDARAYA MILIK WARGA KOTA

 

Warga kota dapat menikmati kesejahteraan bandar dalam bentuk persekitaran yang berkualiti, mudah sampai, selamat dan persekitaran yang memupuk pengalaman gaya hidup sihat, saling berhubungan dan menghormati keunikan budaya masing-masing dengan harmoni.

 

Kesejahteraan bandar ini dapat dicapai melalui pengagihan ekonomi seimbang, penyediaan keperluan asas pembangunan berkualiti yang merangkumi perumahan, kemudahan bersesuaian untuk golongan berpendapatan rendah serta infrastruktur asas yang lengkap.

 

Info Grafik 2

 

 

MATLAMAT 2 : BANDAR RAYA MAKMUR EKONOMI

 

Kemakmuran ekonomi akan tercapai apabila bandar sejahtera, berdaya saing tinggi, berinovasi di samping wujudnya kesamarataan peluang dalam kegiatan ekonomi di kalangan warga kota serta keseimbangan pemilikan harta.

 

Info Grafik 3

 

 

MATLAMAT 3 : BANDAR RAYA BERSARING

 

Kuala Lumpur akan menjadi Bandar Raya Bersaring melalui rangkaian sistem pengangkutan yang komprehensif dan efisyen yang mengukuhkan hubungan antara dan dalam bandar bagi menyokong kedudukan Kuala Lumpur sebagai pusat perdagangan dan kewangan antarabangsa.

 

Selain itu, saringan maya dipertingkatkan melalui penggunaan teknologi maklumat dan perhubungan bersepadu tanpa sempadan yang akan memudahkan proses penyampaian perkhidmatan perbandaran. DBKL juga akan mewujudkan persekitaran masyarakat yang mempunyai nilai-nilai bersaring selari dengan Gagasan 1Malaysia.

 

info grafik 4

 

 

MATLAMAT 4 : BANDAR RAYA EKO

 

Persekitaran yang sihat, kawasan hijau yang mencukupi dan berkualitiserta pengekalan sumber alam sedia ada adalah ciri-ciri Bandar Raya Eko yang menjadi salah satu matlamat yang akan dicapai oleh DBKL.

 

info grafik 5

 

 

MATLAMAT 5 : BANDAR RAYA TADBIR URUS CEKAP

 

Tadbir urus yang cekap merangkumi pentadbiran yang telus, bertanggungjawab, adil, cekap dan berkesan adalah sangat penting dalam mencapai wawasan dan matlamat pembangunan bandaraya.

 

 

info grafik 6