Rabu, 18 September 2019 [ 2:28:05 PM ]
A- A A+

Default ThemeGreen ThemeRed ThemeYellow Theme

Cetak

Keharmonian Dalam Kepelbagaian

KESEMPATAN ini ingin saya mengambil peluang untuk menukilkan pandangan berkaitan keharmonian dalam kepelbagaian di bandar raya dengan kepelbagaian agama, kaum, dan budaya yang meru­pakan identiti dan wajah bandar raya unik ini.

 

Kuala Lumpur mendapat pengiktirafan kedudukan ke-19 dalam kajian Sustainable Cities Index 2016 oleh firma Arcadis yang berpengkalan di Amsterdam, Belanda. Kajian ini mengambil kira elemen-elemen seperti infrastruktur pengangkutan, kemudahan menjalankan perniagaan, pelancongan, kepentingan perhubungan ekonomi global, ja­ringan komunikasi mudah alih dan jalur lebar serta peluang pekerjaan.

 

Pencapaian ini bukan sahaja melalui kecemerlangan elemen-elemen fizikal namun turut disumbangkan oleh faktor pepaduan dan keharmonian dalam kalangan warga kota.

 

Untuk merealisasikan semua ini warga kota haruslah bergaul dan memupuk persefahaman antara kaum. Melalui persefahaman ini, akan wujud masyarakat yang saling menghormati dan saling mengasihi antara satu sama lain.

 

Perkara-perkara yang boleh mencetus provokasi kaum perlulah dihindari. Walaupun setiap warga kota diberikan hak bersua­ra dan hak berhimpun, namun kelebihan itu seharusnya digunakan dengan bijak dan baik agar isu-isu sensitif dan kontroversi yang boleh membinasakan masyarakat dapat dijauhi.

 

Kesempatan ini juga, saya ingin membicarakan secara ringkas mengenai Bajet Tahun 2017 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (Bajet DBKL 2017). Berdasarkan statistik, populasi penduduk Kuala Lumpur kini dianggarkan berjumlah 1.76 juta dengan keluasan fizikal 243 kilometer persegi.

 

Ini menggambarkan kepadatan yang tinggi di Kuala Lumpur dan merupakan cabaran utama kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mentadbir urus bandar bagi memenuhi kehendak dan ke­perluan warga kota.

 

Bilangan hartanah di Kuala Lumpur yang terdiri daripada bangunan pejabat, rumah kediaman, hotel dan premis perniagaan juga kian meningkat saban tahun. Dari tahun 2010 hingga 2016, peningkatan sebanyak 100,000 unit harta kepada 550,000 unit harta yang dikenakan cukai taksiran.

 

Dalam menangani isu utama warga kota dalam pemilikan rumah di Kuala Lumpur, DBKL dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan merencanakan projek rumah mampu milik di bawah Projek Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip) iaitu sebanyak 94 projek.

 

Seperti mana pengumuman oleh Menteri Wilayah Persekutuan, projek perumahan Council Homes turut dibangunkan khusus untuk warga muda, bujang dan yang bekerja di Kuala Lumpur dengan anggaran kos RM345 juta.

 

Secara keseluruhannya, Bajet DBKL 2017 disediakan de­ngan realistik, ekonomik dan mengamalkan prinsip ‘value for money’ selain dirancang selari dengan Pelan Strategik DBKL 2010 – 2020. Bertemakan ‘Bandarku Rumahku, Warga Kota Sejahtera’, sebanyak RM2.871 bilion diperuntukkan, iaitu 60% Peruntukan Mengurus dan 40% Peruntukan Pembangunan.

 

 

 

Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Bin Abdul Aziz

Datuk Bandar Kuala Lumpur