Isnin, 21 April 2014 23:43:54

PROFIL

 
Selaras dengan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2004, misi Jabatan Pelaksanaan Projek Dan Penyelenggaraan Bangunan adalah untuk membantu DBKL mencapai visinya untuk menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandaraya bertaraf dunia pada tahun 2020, dengan melaksanakan projek-projek perumahan rakyat, kemudahan awam seperti dewan orang ramai, dewan serbaguna, tandas awam, pusat komuniti, klinik awam, tanah perkuburan, krematorium, perpustakaan, pasar, gerai/pusat penjaja, kemudahan sukan dan rekreasi, taman permainan kanak-kanak, taman rekreasi dan sebagainya.
Selain itu, jabatan ini juga membantu mengurus dan melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan di bawah Tabung Penyelenggaraan 1 Malaysia seperti kerja-kerja mengecat, mengganti saluran paip air, mengganti bumbung dan lain-lain kerja penyelenggaraan.
Jabatan juga memberikan khidmat nasihat dan bantuan penyeliaan kepada kerja-kerja menaiktaraf bangunan pejabat di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar seperti Pejabat KWP&KB di Menara Sri Wilayah dan terbaru Pejabat Perbadanan Kampung Baru di Wisma ROHAS.
Untuk memantapkan lagi urusan perlaksanaan projek ini dan selaras dengan Pelan Strategik ICT DBKL, jabatan telah mewujudkan sistem ’Enterprise Content Management System’ (ECMS) iaitu pengurusan maklumat secara maya dalam semua aspek penyampaian dan storan dokumen seperti surat-surat, lukisan dan laporan.
Pada 27 September 2012, jabatan telah melaksanakan satu program kerjaya kepada pelajar Sekolah Menengah Puteri Wilayah sebagai tanggungjawab sosial kepada masyarakat (CSR). Selain mendekatkan kakitangan kerajaan kepada masyarakat, program ini juga bertujuan memberikan pemahaman pelajar sekolah kepada bidang kerja teknikal dan memilih tugas arkitek serta jurutera sebagai kerjaya pilihan.

 

SEJARAH
Jabatan ini beroperasi semenjak tahun 1976 dengan nama asalnya Jabatan Pelaksanaan Projek Khas, memainkan peranan penting dalam pembangunan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terutama sekali di dalam membangunkan projek-projek perumahan awam di kawasan Cheras, Lembah Pantai, Gombak, Sentul, Setapak Jaya dan kawasan berhampiran dengan Pusat Bandar 1.
Berikutan dengan penyusunan semula organisasi DBKL, pada tahun 1989 hingga 2005 nama jabatan ini ditukarkan kepada Jabatan Arkitek dan Projek Khas. Jabatan ini menintegrasikan disiplin arkitek, ukur tanah, kejuruteraan awam, kejuruteraan struktur dan kejuruteraan elektrik dalam melaksanakan projek-projek pembangunan dan penyelenggaraan bangunan.
Pada tahun 1997, Unit Pengekalan dan Seni Bandar dari Jabatan Perancang dan Kawalan Bangunan telah diserapkan ke Jabatan ini dan pada Jun 2000, tugas JAPK diperluaskan lagi dengan pengambilan alih semua tugas-tugas penyelenggaraan bangunan-bangunan DBKL seperti kuarters, kompleks sukan, pasar, bangunan Ibu Pejabat DBKL, panggung DBKL lama serta penyelenggaraan dan penggunaan Dataran Merdeka.
Selain terlibat dengan perlaksanaan projek-projek DBKL sendiri, Jabatan ini juga terlibat dengan projek-projek dibawah Kerajaan Pusat dan Negeri seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR), Kompleks Sukan dan Stadium, Pusat Komuniti, Kompleks Penjaja, Pasar, Masjid, Surau, Tanah Perkuburan, padang dan lain-lain lagi.
Pada tahun 2005, nama Jabatan Arkitek dan Projek Khas ditukarkan kepada Jabatan Arkitek.
Berikutan penyusunan semula organisasi DBKL pada 15 Julai 2011, jabatan ini telah digabungkan dengan bahagian penyelenggaraan perumahan awam dan dinamakan Jabatan Pelaksanaan Projek dan Penyelenggaraan Perumahan Awam. Seterusnya pada tahun 2012, Unit Penyelenggaraan Perumahan Awam telah dikembalikan ke Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti menjadikan jabatan ini kepada Jabatan Pelaksanaan Projek dan Penyelenggaraan Bangunan.

 

VISI JABATAN
Perancangan, rekabentuk, pelaksanaan dan penyelenggaraan projek pembangunan dan kemudahan awam diurus secara sistematik dan professional serta selamat sejahtera melalui penyelenggaraan yang efisyen dan berkualiti.

 

MISI JABATAN
Membangun, mentadbir dan mengurus projek-projek pembinaan dan penyelenggaraan bangunan milik DBKL.