- Details
- Category: Berita
- Last Updated on Thursday, 21 June 2012 15:24
BERITA |
Program Hari Terbuka Pasar Raja Bot Dirasmi |
Tarikh : 21 Jun 2012 |
![]() Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Yang Berhormat Dato’ Raja Nong Chik Dato’ Raja Zainal Abidin telah merasmikan Program Hari Terbuka Projek Pembangunan Semula Pasar Raja Bot di Hotel Brisdale, Kuala Lumpur pada 21 Jun 2012 (Khamis). Turut hadir Yang Berbahagia Datuk Haji Ahmad Phesal Talib, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB), Yang Berbahagia Tan Sri Ahmad Fuad Ismail, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha KWPKB serta Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah DBKL. Hari terbuka anjuran bersama KWPKB dan DBKL ini akan berlangsung selama dua hari (21 Jun – 22 Jun 2012) dan akan membolehkan semua peniaga dan penjaja di Pasar Bot secara individu, para aktivis masyarakat dan orang perseorangan mendapat maklumat secara langsung melalui pelbagai medium. Antaranya adalah seperti pameran, taklimat dan sesi dialog bersama pegawai dari KWPKB dan DBKL yang terlibat dalam projek ini. Dalam ucapan perasmiannya, Yang Berhormat Dato’ Raja Nong Chik berkata, pertemuan bersemuka ini diharap dapat mengumpul semua pendapat secara terbuka mengenai projek ini secara keseluruhan. “Pihak kami di kementerian dan DBKL akan sentiasa mendengar dan menerima idea penjaja dan peniaga di sini supaya projek yang bakal dijalankan ini tidak ada masalah kelak. Saya berharap semua pihak dapat bekerjasama dalam merealisasikan hasrat kerajaan ini”, katanya lagi. |











