- Details
- Category: Keprihatinan Awam
- Last Updated on Tuesday, 02 April 2013 11:37
Keprihatinan Awam |
Pelihara Keselamatan Diri Semasa Bertugas – Yang Berbahagia Dato’ Hj. Ahmad Phesal |
![]() Yang Berbahagia Dato’ Ahmad Phesal Talib, Datuk Bandar Kuala Lumpur menggesa pegawai dan kakitangan DBKL supaya menjaga etika ketika menjalankan tugas untuk mengelakkan kesulitan berlaku. Semua pegawai dan kakitangan harus menjaga imej DBKL dengan baik. Walau bagaimanapun mereka haruslah tegas ketika mengambil tindakan kepada warga kota yang melakukan kesalahan. Tindakan yang diambil juga perlulah berdasarkan undang-undang serta akta yang telah ditetapkan.
![]()
Beliau berkata demikian ketika sesi perjumpaan bersama pegawai penguatkuasa DBKL yang cedera dalam kejadian serangan oleh penjaja menjual bunga api dan mercun di Jalan Masjid India pada 12 Ogos 2012. Kejadian itu berlaku jam 12 malam ketika kumpulan petugas Bazar Ramadan Masjid India melakukan rondaan dan telah menegur penjaja bunga api dan mercun tanpa lesen yang menjual barang larangan itu di dalam kawasan zon sita supaya tidak menjalankan perniagaan. Selepas teguran kali ketiga, mereka diserang oleh peniaga itu dan menyebabkan kecederaan dimuka dan seorang lagi anggota penguatkuasa mengalami patah hidung.
Pada sesi perjumpaan itu juga, Datuk Bandar Kuala Lumpur melahirkan rasa simpati kepada semua anggota penguatkuasa yang cedera dan mengingatkan mereka supaya mengutamakan keselamatan diri ketika menjalankan tugas. Beliau juga melahirkan rasa bangganya kerana mereka menjalankan tugas dengan baik walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran yang mengundang bahaya.
Dalam satu sesi perjumpaan yang lain pada 16 Ogos 2012 (Khamis), Yang Berbahagia Dato’ Hj. Ahmad Phesal telah menyampaikan sumbangan penghargaan kepada pegawai dan anggota penguatkuasa yang cedera dalam kejadian serangan itu. Beliau sempat memberitahu bahawa anggota penguatkuasa DBKL akan diberi latihan untuk menangani situasi cemas semasa menjalankan tugas. |











