- Details
- Category: Berita
- Last Updated on Thursday, 27 September 2012 18:52
BERITA |
DBKL Teruskan Aktiviti Senamrobik |
Tarikh : 9 September 2012 |
![]() Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memulakan Program Senamrobik bersama warga kota sejak dari tahun 2005 lagi di lokasi-lokasi seperti Taman Tasik Titiwangsa, Taman Tasik Manjalara, Taman Tasik Permaisuri, Taman Pudu Ulu dan Taman Lembah Kiara. Walau bagaimanapun, program tersebut telah dihentikan seketika dan mula disambung semula bermula pada 8 September 2012 (Sabtu). Majlis perasmian semula Program Senamrobik 2012 ini telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Hj. Ahmad Phesal Talib, Datuk Bandar Kuala Lumpur di Astaka, Taman Tasik Titiwangsa.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata, DBKL melalui Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Sukan akan mengenal pasti beberapa lokasi lain untuk mengadakan aktiviti senamrobik dan Tai Chi dalam masa terdekat dalam menarik minat orang ramai beriadah di hujung minggu. “Seperti mana kita sedia maklum, senaman Tai Chi semakin popular bukan sahaja di kalangan orang-orang Cina tetapi juga kaum Melayu dan India. Saya berharap mulai sekarang kumpulan-kumpulan ini boleh bersatu dan bergabung membentuk satu kumpulan yang lebih besar supaya menambahkan kemeriahan serta persaudaraan di kalangan masyarakat Malaysia”, katanya lagi.
Sementara itu pada majlis tersebut juga, DBKL telah melancarkan pertandingan Raja Band Kuala Lumpur yang bertujuan untuk mencari kumpulan kugiran terbaik di ibu negara. Acara pertandingan secara mingguan ini akan diadakan pada setiap hujung minggu selama lapan minggu bermula 16 September 2012 di mana juara mingguan akan layak untuk dipertandingkan pada Pertandingan Akhir Raja Band Kuala Lumpur yang akan diadakan pada 24 November 2012 di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana Kuala Lumpur. |











