LAMAN WEB RASMI PELAN PEMBANGUNAN KUALA LUMPUR 2040

  • klmycity2040@dbkl.gov.my
  • 03-2617 9000

Ringkasan Eksekutif

BANDAR UNTUK SEMUA

Pelan Struktur Kuala Lumpur

Pelan Struktur Kuala Lumpur (PSKL) merupakan dokumen perancangan yang mengandungi wawasan, matlamat, dasar dan cadangan untuk memandu pembangunan Kuala Lumpur bagi 20 tahun akan datang. PSKL menetapkan rangka kerja perancangan dan pembangunan spatial untuk diterjemah secara terperinci pada peringkat pelan pembangunan seterusnya iaitu pelan tempatan dan lain-lain pelan induk dan pelan tindakan.

Pelan Struktur merupakan dokumen perancangan  tertinggi bagi Kuala Lumpur yang memacu pembangunan strategik secara indikatif. Pelan ini  membantu dalam menguruskan pertumbuhan fizikal khususnya serta sektoral amnya melalui satu set  matlamat, dasar ataupun langkah perlaksanaan sejajar dengan visi Bandar Raya Kuala Lumpur.

PSKL

Bandar Raya yang Dinamik, Efisien dan Selesa

PSKL yang pertama telah digubal dan  diwartakan pada tahun 1984. Dokumen merupakan pelan pembangunan pertama  yang disediakan untuk Kuala Lumpur yang melihat hala tuju pembangunan di masa  hadapan bagi Kuala Lumpur sehingga tahun 2000.

PSKL2020

Bandar Raya Bertaraf Dunia

PSKL 2020 disediakan berikutan  kebanyakan dasar dalam PSKL pertama  perlu disemak semula disebabkan oleh  ledakan ekonomi dan perubahan pesat  pembangunan Kuala Lumpur dalam  tempoh 20 tahun. PSKL 2020 telah  diwartakan pada tahun 2004.

PSKL2040

Bandar Untuk Semua

PSKL2040 akan mentransformasikan Kuala  Lumpur sebagai ibu negara Malaysia  dengan pendekatan yang inklusif,  saksama, berdaya huni dan mampan  kepada enam perkara

Hala Tuju Strategik dan Tindakan Kuala Lumpur 2040

Visi dan matlamat pertumbuhan Kuala Lumpur akan disokong oleh hala tuju strategik yang juga merupakan prinsip dan hasil yang disasar sehingga tahun 2040. Mekanisme khusus dan terperinci bagi penterjemahan dan pelaksanaan hala tuju strategik akan disediakan melalui pelan tempatan, pelan tindakan pelaksanaan, parameter kawalan pembangunan dan garis panduan.

21 Hala Tuju Strategik dan 71 Tindakan

Matlamat Kuala Lumpur 2040

Visi Kuala Lumpur akan tercapai dengan memberi fokus kepada enam matlamat yang telah digariskan sebagai teras yang mencakupi aspek ekonomi, sosial, persekitaran hidup, alam sekitar dan perancangan fizikal. Setiap matlamat yang digariskan adalah matlamat yang holistik bagi mencapai pelbagai agenda bersama dan kesinambungan aspek perancangan.

Inovatif dan Produktif

3 HALA TUJU STRATEGIK

Kuala Lumpur juga mempunyai kelebihan daya saing yang akan mewujudkan ekonomi yang pelbagai, fleksibel dan berdaya tahan. Ini termasuklah tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, penduduk yang pelbagai bangsa, kedudukannya di rantau Asia yang pesat berkembang, rangkaian pengangkutan yang baik serta akses kepada sektor ekonomi yang produktif.

13 TINDAKAN

Kemakmuran ekonomi Kuala Lumpur akan terus berkembang melalui peningkatan kepada nilai tambah dan suntikan kepada aktiviti yang inovatif, penggunaan ruang yang cekap serta penyediaan ekosistem yang lengkap. Kuala Lumpur akan memudahkan perkembangan kreatif dan inovasi, menceburi kepelbagaian pengetahuan dan mengembangkan idea dan teknologi baharu bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan berterusan.

Inklusif dan Saksama

2 HALA TUJU STRATEGIK

Kuala Lumpur adalah sebuah bandar raya yang menjadi tumpuan pelbagai golongan masyarakat termasuk warga asing. Pelbagai kemudahan perumahan, kemudahan masyarakat dan infrastruktur telah disediakan bagi memenuhi keperluan semua golongan masyarakat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

9 TINDAKAN

Bagi mencapai visi BANDAR UNTUK SEMUA, usaha ini akan diteruskan dengan memberi tumpuan kepada penyediaan perumahan dan kemudahan masyarakat yang berkualiti dan pengagihan yang saksama, peningkatan kualiti persekitaran kehidupan terutama kawasan kejiranan bagi meningkatkan aksesibiliti serta memupuk integrasi sosial yang berterusan demi kemakmuran sejagat.

Sihat dan Vibran

4 HALA TUJU STRATEGIK

Bandar Raya Sihat dan Vibran adalah matlamat yang akan dicapai untuk meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan warga Kuala Lumpur. Antaranya dengan meningkatkan kualiti alam sekitar, menyediakan lebih banyak ruang hijau yang boleh diakses dengan pelbagai aktiviti, menyediakan persekitaran bandar raya yang vibran dan memiliki ciri-ciri tersendiri serta mempunyai kualiti reka bentuk bandar yang baik.

12 TINDAKAN

Hasilnya, lebih ramai warga kota akan menjalankan aktiviti riadah, gaya hidup aktif dan bandar raya akan lebih meriah untuk meraikan kepelbagaian dalam seni, budaya dan warisan.

Pintar Iklim dan Rendah Karbon

4 HALA TUJU STRATEGIK

Perancangan dan pembangunan bandar harus memberi pertimbangan terhadap perubahan iklim yang turut memberi implikasi dari segi ekonomi, sosial, alam sekitar dan kesihatan awam. Ini adalah bagi mewujudkan sebuah bandar raya yang peka dan berdaya tahan terhadap kesan perubahan iklim dan mengurangkan risiko bencana terhadap Bandar Raya Kuala Lumpur.

14 TINDAKAN

Selain itu, matlamat ini adalah mengukuhkan hasrat Bandar Raya Kuala Lumpur dalam usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan membentuk sebagai sebuah bandar global yang rendah karbon dan cekap dalam pengurusan sumber terutamanya dalam aspek pengangkutan hijau, sisa pepejal, air dan tenaga.

Mobiliti Cekap dan Mesra Alam

4 HALA TUJU STRATEGIK

Perancangan bandar mestilah diintegrasi dengan pembangunan pengangkutan awam bagi memastikan satu rangkaian pengangkutan awam dan mobiliti adalah cekap, bersih dan mesra alam, di samping untuk menjadikan rangkaian pengangkutan awam sebagai tulang belakang kepada perancangan pertumbuhan spatial dan pengangkutan yang mampan di Bandar Raya Kuala Lumpur.

10 TINDAKAN

Hasilnya, penggunaan pengangkutan awam akan meningkat dan dapat mencapai sasaran pengangkutan awam sebanyak 70:30 menjelang tahun 2040.

Pembangunan Bersepadu dan Mampan

5 HALA TUJU STRATEGIK

Memperkasa potensi pertumbuhan Kuala Lumpur sepenuhnya dengan pengurusan tanah dan pembangunan yang mampan serta menggalakkan perancangan dan pembangunan yang bersepadu.

13 TINDAKAN

Peningkatan penduduk dan pembangunan yang berterusan di Kuala Lumpur dijangka akan memberi penekanan kepada perancangan guna tanah. Ketersediaan tanah yang terhad merupakan aset dan cabaran utama pengurusan pembangunan di Kuala Lumpur.

Mengenai Kami

Portal rasmi PPKL2040 ini adalah medium hebahan dan komunikasi di antara DBKL dengan pihak berkepentingan seperti warga kota dalam menyalur maklumat yang berkaitan perancangan dan pembangunan Kuala Lumpur secara umum.

Penafian

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini. Data peribadi pelanggan yang dikumpul adalah selaras dengan PDPA (Personal Data Protection Act 2010)

Ikuti Kami

© Hakcipta Terpelihara 2019-2020
Jabatan Perancangan Bandaraya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur