[ English ]   [ Malay ]

Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020

Prakata

Penghargaan

1 Pengenalan

2 Konteks Pertumbuhan Antarabangsa dan Nasional

3 Wawasan dan Matlamat Kuala Lumpur


4 Asas Ekonomi dan Penduduk

5 Pendapatan dan Kualiti Hidup

6 Guna Tanah dan Strategi Pembangunan

7 Perdagangan

8 Pelancongan

9 Industri
  9.1 Pengenalan
  9.2 Keadaan dan Isu Semasa
  9.2.1 Pembangunan Sektor Perindustrian
  9.2.2 Kawasan Perindustrian
  9.3 Objektif
  9.4 Dasar Dan Cadangan
  9.4.1 Pembangunan Sektor Industri
  9.4.2 Pembangunan Kawasan Industri
9.5 Keperluan Masa Depan

10 Pengangkutan

11 Infrastruktur dan Utiliti

12 Perumahan

13 Kemudahan Masyarakat

14 Reka Bentuk Bandar dan Landskap

15 Alam Sekitar

16 Kawasan Khusus

17 Zon Strategik

18 Perlaksanaan


Singkatan


Glosari


 


INDUSTRI
9.1 PENGENALAN
  337.

Sektor perindustrian di Kuala Lumpur sedang mengalami perubahan, seiring dengan perkembangan Bandar Raya dan MSC, yang menerajui Malaysia menuju ke arah K-Ekonomi. Industri pengeluaran berskala besar yang dahulunya merupakan perindustrian terpenting di Bandar Raya tidak lagi sesuai dengan peranan barunya sebagai pusat perdagangan dan kewangan antarabangsa.

  338.

Walaupun perindustrian kini memainkan peranan yang agak kecil dalam ekonomi Bandar Raya berbanding dengan sektor perdagangan, komponen perindustrian masih diperlukan bagi menyediakan perkhidmatan kepada penduduk Kuala Lumpur dan menyediakan perkhidmatan sokongan kepada syarikat-syarikat perdagangan di Kuala Lumpur dan konurbasinya (KLK). Sebagai tambahan, DBKL berhasrat membawa perubahan yang akan menghidupkan sektor perindustrian Bandar Raya dengan menggalakkan industri yang bersih dan menggunakan tenaga kerja mahir, khususnya yang menerajui teknologi terkini. Penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan latihan kemahiran tinggi adalah komponen penting ke arah pembangunan perindustrian berasaskan pengetahuan. Sebagai memenuhi sebahagian strategi ini serta untuk meningkatkan kualiti persekitaran hidup Bandar Raya, pembangunan semula kawasan industri lama di Kuala Lumpur serta pembasmian industri haram dan mencemar hendaklah ditekankan.


9.2 KEADAAN DAN ISU SEMASA
  9.2.1 PEMBANGUNAN SEKTOR PERINDUSTRIAN
   
a)
Sektor Pembuatan
   
i.
Keadaan Semasa
    339. Antara tahun 1984 dan 1998, guna tanah perindustrian telah meningkat sebanyak 19.1 peratus daripada 579.5 hektar kepada 690.2 hektar. Guna tanah industri merupakan 2.4 peratus daripada jumlah keseluruhan guna tanah tahun 1998. Industri pembuatan menyumbang sebanyak 66 peratus daripada jumlah pertubuhan industri dan selebihnya merupakan industri perkhidmatan. Hasil keluaran logam, kertas, hasil kertas, kaca, pencetakan dan penerbitan merupakan majoriti sektor industri pengeluaran manakala aktiviti bengkel membaiki motor, stor dan gudang menguasai industri perkhidmatan. Oleh kerana kekurangan tanah dan nilai tanah yang tinggi di Bandar Raya, pertubuhan industri pembuatan besar lebih cenderung untuk berpindah keluar dari Kuala Lumpur.
   
ii.
Isu
    340. Walau pun sektor pembuatan merosot, masih terdapat lagi sebilangan industri pembuatan yang masih beroperasi di Kuala Lumpur. Sebilangan besar industri ini adalah tidak sesuai dan tidak mematuhi peraturan semasa.

Industri pembuatan yang tidak sesuai.
   
b)
Industri Perkhidmatan
   
i.
Keadaan Semasa
    341.

Industri perkhidmatan terdiri daripada bengkel membaiki kenderaan, kemudahan penyimpanan dan gudang, adalah penting dalam memberi perkhidmatan kepada penduduk Bandar Raya yang tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan di luar Bandar Raya.


   
ii.
Isu
    342. Walau pun industri ini seperti bengkel membaiki kenderaan adalah berkelompok di pelbagai lokasi di Bandar Raya, bengkel-bengkel ini agak berselerak serta kurang kemudahan dan infrastruktur. Dalam kes-kes tertentu industri ini wujud tanpa dirancang dan sesetengahnya haram. Kebanyakannya beroperasi di kawasan perumahan dan rumah kedai yang menyebabkan berlakunya kacau ganggu kepada masyarakat setempat, pencemaran dan kesesakan lalu lintas.

Industri perkhidmatan adalah berselerak di lokasi tidak sesuai yang mengakibatkan pencemaran alam sekitar dan menimbulkan kesesakan lalu lintas.
    343.

Dengan pemilikan kenderaan yang meningkat, permintaan untuk bengkel membaiki kenderaan dan perkhidmatan auto yang berkaitan juga telah meningkat. Walaupun terdapat bengkelbengkel di kawasan perindustrian, terdapat juga yang beroperasi di kawasan perdagangan. Peruntukan dalam Kaedah Kelas Kegunaan membenarkan pertubuhan industri di bawah 200 meter persegi atau mempunyai kurang daripada 20 mesin beroperasi di dalam premis perdagangan. Akibatnya, bengkel-bengkel membaiki motor ini dan industri-industri lain yang tidak sesuai dengan kawasan sekitar banyak beroperasi di kawasan perdagangan.

Peraturan Kelas Kegunaan tidak menyekat industri-industri yang tidak sesuai daripada beroperasi di kawasan perdagangan.

   
c)
Pertalian Antara Industri
   
i.
Keadaan Semasa
    344.

Lebih daripada 90 peratus pertubuhan industri di Bandar Raya adalah bersaiz kecil. Purata keluasan tanah bagi setiap pertubuhan adalah hanya 0.24 hektar. Lebih kurang 8 peratus daripada pertubuhan industri di Kuala Lumpur telah beroperasi lebih daripada 30 tahun dan sebanyak 36 peratus dimiliki oleh pengusaha persendirian. Kebanyakan industri kecil ini beroperasi secara bersendirian tanpa sebarang pertalian antara mereka.

   
ii.
Isu
      Kurang pertalian antara industri.
   
d)

Industri Tidak Wajar

   
i.
Keadaan Semasa
    345. Kebanyakan industri pembuatan yang beroperasi di Kuala Lumpur terlibat dengan pengeluaran mesin dan jentera, plastik, kejuruteraan besi dan percetakan. Hanya lebih kurang 61 peratus industri pembuatan sedia ada beroperasi di kawasan perindustrian yang diluluskan.
   
ii.
Isu
    346. Terdapat lebih kurang 28 peratus pertubuhan industri pembuatan sedia ada yang beroperasi di bangunan perdagangan di kawasan guna tanah perdagangan. Daripada pertubuhan ini, sebahagiannya dikenal pasti tidak mematuhi peraturan ruang lantai dalam garis panduan yang telah ditetapkan oleh DBKL. Selebihnya, 11 peratus industri tersebut beroperasi di kawasan-kawasan kediaman terutamanya di Jinjang, Bukit Indah dan Bukit Jalil.

Terdapat industri-industri yang beroperasi di bangunan perdagangan atau di kawasan kediaman.
    347.

Beberapa kawasan industri terletak berhampiran sungai, terutamanya di Jinjang, Bukit Indah dan Chan Sow Lin. Ini telah menimbulkan masalah pengawalan dan pengurusan alam sekitar dari segi pembuangan sisa industri dan sampahsarap, yang menyekat pengaliran dan kebersihan sungai.

Perletakan industri mencemar yang tidak sesuai berhampiran sungai.

    348. Terdapat juga industri yang beroperasi tanpa lesen dan industri berlesen menduduki tanah kerajaan terutamanya di sepanjang rizab sungai dan lebuh raya utama.

Industri setinggan di tanah kerajaan.
    349.

Di samping itu, terdapat aktiviti mengumpul dan menjual barangan lusuh dan alat gantian terpakai beroperasi berdekatan kawasan kediaman dan jalan utama yang menyebabkan kacau ganggu dari segi pencemaran pandangan, bunyi dan persekitaran.

Terdapat industri-industri yang tidak bersesuaian dengan persekitaran hidup bandar yang berkualiti.

  9.2.2 KAWASAN PERINDUSTRIAN
   
a)
Keadaan Kawasan Perindustrian
   
i.
Keadaan Semasa
    350.

Rajah 9.1 dan Jadual 9.1 menunjukkan taburan kawasan perindustrian sedia ada dan komited di Kuala Lumpur. Lebih kurang 80 peratus pertubuhan industri pembuatan sedia ada terletak di Bukit Indah, Jinjang, Bukit Anggerik, Chan Sow Lin, Sentul, Bandar Tun Razak dan Seputeh, manakala pertubuhan industri perkhidmatan sedia ada kebanyakannya beroperasi di Jinjang, Bukit Anggerik dan Sentul. Kebanyakan guna tanah industri terletak di Jinjang, Bukit Indah, Maluri dan Bukit Jalil.


     

 


    351.

Sejak tahun 1984, hanya beberapa kawasan perindustrian baru telah dimajukan. Taman Teknologi Malaysia di Bukit Jalil seluas 280 hektar telah dibangunkan dalam tiga fasa sebagai sebuah taman industri berteknologi tinggi. Tiga fasa tersebut akan menempatkan tiga sektor utama iaitu kejuruteraan, bioteknologi dan teknologi komunikasi. Setiap sektor mengandungi pusat-pusat sumber, inovasi, inkubator, R&D, ICT dan multi-media serta perumahan.


   
ii.
Isu
    352. Kebanyakan kawasan perindustrian lama sedia ada terutamanya di Chan Sow Lin, Jinjang dan Jalan Klang Lama berada dalam keadaan yang sangat usang dan kekurangan kemudahan infrastruktur asas.
    353. Di Jinjang, sesetengah kawasan perindustrian terletak di rumah kedai atau di kawasan kediaman dan terdapat juga banyak industri haram. Kawasan industri ini menyumbang kepada kesesakan lalu lintas, menjejaskan keselamatan awam, menimbulkan risiko kebakaran dan mewujudkan persekitaran kurang sihat.

Kebanyakan kawasan perindustrian lama di Kuala Lumpur berkeadaan usang dan kekurangan kemudahan asas.
   
b)
Kemudahan di Kawasan Perindustrian
   
i.
Keadaan Semasa
    354. Berdasarkan kepada Bancian Perindustrian Kuala Lumpur 1999, terdapat beberapa kepincangan dalam kawasan perindustrian sedia ada.
    355. Terdapat ketidakcukupan perumahan bagi pekerja di kawasan industri kecuali di Chan Sow Lin dan juga tiada kemudahan rekreasi. Kemudahan perbankan seperti perkhidmatan mesin automasi tidak disediakan di kawasan industri. Kemudahan pusat penjaja yang dirancang atau medan selera yang bersih juga tidak terdapat di kawasan perindustrian dan hanya 2.4 peratus premis perindustrian mempunyai kantin di dalamnya. Hanya 26 peratus premis perindustrian menyediakan kemudahan tempat letak kereta dan motosikal.
   
ii.
Isu
      Kemudahan awam di kawasan perindustrian tidak mencukupi.
    356.

Perkhidmatan pengangkutan awam ke kawasan perindustrian sedia ada di Kuala Lumpur tidak mencukupi.

Perkhidmatan pengangkutan awam yang tidak mencukupi ke kawasan perindustrian.


9.3 OBJEKTIF
  358.

Bagi mencapai matlamat menjadikan Kuala Lumpur sebagai Pusat Perdagangan dan Kewangan Antarabangsa, DBKL bertujuan untuk:

mempromosi pembangunan industri yang berkaitan dengan K-Ekonomi;

• mempromosikan industri terkini dengan pengambilan tenaga pekerja mahir;

• menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan yang meluas kepada semua penduduk; dan

• mengekalkan keseimbangan sektoral dalam pembangunan perindustrian.

  359.

Bagi mewujudkan struktur Bandar Raya yang efisien dan saksama, DBKL bertujuan untuk:

mencapai agihan kawasan perindustrian yang optimum di Bandar Raya; dan

• memastikan guna tanah perindustrian diintegrasikan dengan rangkaian jalan raya dan pengangkutan awam.


9.4 DASAR DAN CADANGAN
  9.4.1 PEMBANGUNAN SEKTOR INDUSTRI
   
a)
Sektor Pembuatan
    360. Lokasi Kuala Lumpur yang berhampiran dengan MSC akan mempunyai kesan besar terhadap jenis industri yang akan dibangunkan di Kuala Lumpur pada masa hadapan. Terdapat peluang dalam membangunkan industri berteknologi tinggi dan berteraskan pengetahuan sebagai penyokong kepada perusahaan di MSC. Pusat R&D berkaitan dengan industri teknologi tinggi akan digalakkan di kawasan-kawasan tertentu di Bandar Raya.
    361.

DBKL akan menggalakkan industri yang khusus dalam reka bentuk dan kemahiran tinggi. Ini termasuk industri yang mengkhusus dalam mengeluarkan peralatan muzik, mainan elektronik, fesyen, penghasilan barang kemas dan kraf tangan. Jenis industri ini mempunyai potensi eksport yang baik dan boleh dihubungkaitkan dengan perusahaan-perusahaan perdagangan di Bandar Raya.


    362. Hala tuju baru perindustrian di Kuala Lumpur akan menggalakkan pengambilan tenaga buruh mahir. Kemudahan latihan kemahiran teknologi tinggi kini boleh didapati di Taman Teknologi Malaysia dan institusi-institusi lain seperti Institut Jerman- Malaysia yang menawarkan latihan kemahiran tinggi. DBKL akan menggalakkan pembangunan kemudahan latihan kemahiran tinggi di institusiinstitusi sedia ada dan juga di kawasan-kawasan perniagaan serta perindustrian baru.

Dasar:

IN 1: DBKL akan menggalakkan pembangunan industri berteknologi tinggi dan berteras pengetahuan.
    363.

Bagi memastikan keseimbangan sektoral dalam asas ekonomi, Bandar Raya Kuala Lumpur akan terus mengekalkan kewujudan sebilangan kecil industri pembuatan yang berteknologi tinggi.

Dasar:

IN 2: DBKL akan mengekalkan sebahagian kecil komponen pembuatan berkaitan dengan industri teknologi tinggi.


    364. Industri pembuatan yang tidak sesuai dengan strategi dan objektif industri Kuala Lumpur akan dipindahkan keluar dari Bandar Raya.

Dasar:

IN 3: DBKL akan memastikan tiada industri pembuatan yang tidak sesuai di Bandar Raya.
   
b)
Industri Perkhidmatan
    365.

Taman perniagaan automobil akan dibangunkan di lokasi yang strategik, termasuk kawasan yang telah ditetapkan di Chan Sow Lin, untuk mempertingkatkan pengurusan alam sekitar di samping memberi perkhidmatan yang efisien kepada pelanggan. Taman ini akan membekalkan kemudahan ‘pusat setempat’ bagi operasi bengkel membaiki motor, jualan kereta terpakai dan tempat letak kereta, bilik pameran, kedai aksesori dan alat ganti kereta, bengkel mengecat kenderaan, servis kenderaan, pusat membaik pulih kenderaan dan keperluan-keperluan lain berkaitan dengan industri perkhidmatan yang akan meningkatkan perniagaan automobil.

Dasar:

IN 4: DBKL akan mengekhaskan lokasi strategik sebagai taman perniagaan automobil.


    366. Industri-industri perkhidmatan akan digalakkan di pusat kejiranan dan daerah untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada penduduk, begitu juga dengan industri-industri ringan berskala kecil yang dapat menyediakan peluangpeluang pekerjaan kepada penduduk berdekatan.
    367.

Walau bagaimanapun, Kaedah Kelas Kegunaan akan disemak bagi memastikan aktiviti industri berbahaya dan mencemar tidak dibenarkan beroperasi di kawasan perdagangan.

Dasar:

IN 5: DBKL akan menyemak Kaedah Kelas Kegunaan.

   
c)
Pertalian Perindustrian
    368.

Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memerlukan perkhidmatan sokongan agar dapat membentuk rangkaian yang lebih efektif dan dapat menggunakan sumber-sumber sedia ada seperti sumber modal, kemudahan latihan pembangunan sumber manusia dan maklumat peraturan yang mengawal operasi mereka.

    369. Di samping itu, kemudahan sokongan untuk meningkatkan dan memperkukuhkan hubungan antara pelanggan-pembekal-pengeluar berkaitan industri servis hendaklah diadakan, bagi memastikan industri servis yang mapan dan dapat memberi perkhidmatan kepada penduduk secara berkesan.

Dasar:

IN 6: DBKL akan menyelaras dengan agensi-agensi kerajaan dan sektor swasta bagi menyediakan rangkaian dan perkhidmatan sokongan untuk pertumbuhan Industri Kecil dan Sederhana.
   
d)

Industri Tidak Wajar

    370. Industri tidak wajar dan haram merupakan elemen yang tidak digalakkan di Bandar Raya dan akan dikeluarkan secara berfasa. Walau bagaimanapun, kebanyakan industri ini adalah industri perkhidmatan ringan yang menyumbang kepada ekonomi Bandar Raya dan oleh itu perlu ditempatkan di lokasi yang lebih sesuai.

Dasar:

IN 7: DBKL akan menetapkan kawasan bagi menempatkan industri perkhidmatan ringan.
    371. Kawasan pertumbuhan industri yang terletak berhampiran sungai, proses pembangunan semula akan mengambil kira langkah-langkah kawalan dan pengurusan alam sekitar yang efisien untuk mengelakkan pencemaran sungai.
    372.

Dasar-dasar berhubung dengan pencemaran sungai dinyatakan dalam Bab 15: Alam Sekitar.

    373. Industri-industri yang tidak bersesuaian dengan persekitaran hidup bandar yang berkualiti seperti industri mengumpul dan menjual barangan lusuh dan alat gantian terpakai perlu dikeluarkan dari Kuala Lumpur.

Dasar:

IN 8: DBKL tidak akan membenarkan industri yang tidak bersesuaian dengan persekitaran hidup bandar yang berkualiti.
  9.4.2 PEMBANGUNAN KAWASAN PERINDUSTRIAN
   
a)
Pembangunan Perindustrian Berteraskan Zon
    374.

Bagi mengawal perkembangan pembangunan industri, DBKL akan menggunakan pendekatan zon dengan menetapkan tiga zon industri khusus (rujuk Rajah 9.2).

     

 


    375.

Kawasan perindustrian zon utara yang menumpukan kepada industri perkhidmatan kejuruteraan dan pembuatan terdiri daripada Jinjang, Bukit Maluri, Wangsa Maju, Maluri, Sentul dan Setapak. Zon ini adalah agak berhampiran dengan kilang kereta kedua Malaysia di Serendah dan cadangan Bandar Proton di Lembah Bernam. Aktiviti perkhidmatan automobil, pembuatan makanan, percetakan, penyimpanan, kraf tangan dan pembungkusan dijangka merupakan industri utama di zon ini. Industri sokongan untuk keperluan tempatan dan pengeluaran barangan buatan logam juga digalakkan.

    376. Kawasan perindustrian tengah yang menumpukan kepada perkhidmatan terdiri daripada Pusat Bandar Raya, Damansara dan Penchala mengkhusus kepada industri fesyen, kraf tangan dan percetakan.
    377. Kawasan perindustrian zon selatan yang menumpukan kepada R&D, perkhidmatan dan pembuatan terdiri daripada Bukit Jalil, Bukit Indah, Bukit Anggerik, Seputeh, Bandar Tun Razak dan Chan Sow Lin. Zon ini berdekatan dengan MSC dan juga mudah sampai ke KLIA. MSC dan Taman Teknologi Malaysia di Bukit Jalil memberi peluang untuk pengelompokan R&D seperti kejuruteraan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi dan bioteknologi, percetakan, penyimpanan, pembuatan makanan, perkhidmatan automobil dan pembungkusan.
    378. Pembangunan perindustrian di ketiga-tiga zon ini perlu digalakkan bagi mengambil kesempatan daripada pembangunan semasa di kawasan tadahan.

Dasar:

IN 9: DBKL akan melaksanakan strategi pembangunan perindustrian yang berteraskan zon sebagai pelengkap kepada pembangunan sub wilayah.
   
b)
Pembangunan Infrastruktur Kawasan Perindustrian
    379.

Langkah-langkah akan dilaksanakan untuk membekalkan semua kawasan perindustrian dengan infrastruktur asas yang sempurna serta perkhidmatan dan kemudahan termasuk jalan raya yang lebih luas, perkhidmatan punggah memunggah dan sistem perparitan yang lebih baik, kemudahan tempat letak kenderaan dan pengangkutan awam serta pertubuhan perdagangan yang sesuai, kemudahan perbankan, medan selera dan kawasan rekreasi.

Dasar:

IN 10: DBKL akan memastikan semua kawasan perindustrian dilengkapi dengan kemudahan awam yang mencukupi termasuk tempat letak kenderaan berat.


   
b)
Pembangunan Perindustrian Berdekatan Terminal Transit
    380.

Pembangunan berorientasikan transit merupakan sebahagian utama daripada strategi pembangunan. Dasar-dasar pembangunan akan memastikan kawasan perumahan, perkhidmatan dan kemudahan perdagangan mempunyai kemudahsampaian kepada kemudahan transit. Di mana sesuai, strategi ini juga akan melibatkan kawasan perindustrian terutama yang memberi peluang pekerjaan yang tinggi. Perkhidmatan bas pengantara akan menghubungkan kawasankawasan perindustrian dengan sistem utama pengangkutan awam berasaskan rel.

Dasar:

IN 11: DBKL akan menggalakkan pembangunan kawasan perindustrian baru dan pembangunan semula kawasan perindustrian lama yang berdekatan dengan terminal transit.


9.5 KEPERLUAN MADA HADAPAN
  381.

Unjuran keperluan masa hadapan bagi industri menganggarkan peningkatan keseluruhan ruang lantai dengan kawasan industri berteknologi tinggi dan industri bersih berkemahiran tinggi secara beransur mengambil alih industri pembuatan lama. Kawasan-kawasan pembangunan utama ialah Sentul - Menjalara dan Bukit Jalil - Seputeh. Industri perkhidmatan yang memberi perkhidmatan kepada penduduk Kuala Lumpur akan diselerakkan secara sama rata di semua enam zon strategik.