[ English ]   [ Malay ]

Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020

Prakata

Penghargaan

1 Pengenalan

2 Konteks Pertumbuhan Antarabangsa dan Nasional
2.1 Pengenalan
2.2 Trend Global
2.2.1 Proses Globalisasi
2.2.2 Ekonomi Berasaskan Pengetahuan
2.2.3 Agenda 21
2.3 Perspektif Nasional
2.4 Konteks Sub Nasional
2.4.1 Wilayah Lembah Klang
2.4.2 Kuala Lumpur dan Konurbasinya
2.4.3 Koridor Raya Multimedia
2.5 Fungsi Kuala Lumpur dan Konurbasinya

3 Wawasan dan Matlamat Kuala Lumpur

4 Asas Ekonomi dan Penduduk

5 Pendapatan dan Kualiti Hidup

6 Guna Tanah dan Strategi Pembangunan

7 Perdagangan

8 Pelancongan

9 Industri

10 Pengangkutan

11 Infrastruktur dan Utiliti

12 Perumahan

13 Kemudahan Masyarakat

14 Reka Bentuk Bandar dan Landskap

15 Alam Sekitar

16 Kawasan Khusus

17 Zon Strategik

18 Perlaksanaan


Singkatan


Glosari


 
KONTEKS PERTUMBUHAN ANTARABANGSA DAN NASIONAL
2.1 PENGENALAN
  14.

Sebagai bandar raya ulung dan ibu kota sebuah negara yang mempunyai ekonomi berorientasikan perdagangan serta berhasrat menjadi negara maju menjelang tahun 2020, wawasan, matlamat, fungsi dan pertumbuhan Kuala Lumpur harus dilihat daripada perspektif global yang lebih luas, khususnya dalam konteks pertumbuhan di Rantau Asia Pasifik.


2.2 TREND GLOBAL
  2.2.1 PROSES GLOBALISASI
    15. Penurunan dalam sekatan perdagangan, kemajuan yang pesat dalam sistem pengangkutan dan perhubungan serta rangkaiannya pada beberapa dekad yang lalu telah menambahkan jumlah perdagangan antarabangsa untuk semua barangan dan perkhidmatan. Ini diikuti dengan peningkatan mobiliti sumber tenaga manusia di peringkat antarabangsa, modal jangka pendek dan panjang serta pertumbuhan dalam bilangan, kekuatan dan pengaruh syarikat-syarikat transnasional.
    16. Ekonomi dunia semakin menjadi lebih bersepadu dan global. Aktiviti utama ekonomi, terutamanya pembuatan telah menjadi semakin berkembang secara global dengan proses-proses dalam rangkaian pengeluaran barangan pengguna dan modal yang semakin kompleks berpindah ke tempat yang menawarkan kelebihan persaingan yang terbaik.
    17.

Penyelerakan perkembangan aktiviti pembuatan dan pemasaran syarikat transnasional secara global memerlukan penguraian global mengenai pengurusan, kawalan dan sokongan. Ini dapat dicapai dengan penubuhan pejabat/ibu pejabat serantau di Bandar Raya yang strategik yang dapat menawarkan infrastruktur yang sesuai, perkhidmatan sokongan, persekitaran hidup dan aktiviti aktiviti sampingan lain. Banyak bandar raya yang telah memainkan peranan penting sebagai pusat operasi yang efisien bagi perniagaan antarabangsa telah mencapai status bandar raya ‘global’ atau ‘bertaraf dunia’. Contoh bandar raya global adalah seperti London, New York, Paris dan Tokyo. Bandar raya lain yang memainkan peranan serantau atau sub global dalam Rantau Asia Pasifik adalah seperti Hong Kong, Singapura dan Sydney (rujuk Rajah 2.1).


  2.2.2 EKONOMI BERASASKAN PENGETAHUAN
    18. Di samping trend globalisasi, faktor lain yang akan mempengaruhi pertumbuhan negara dan Kuala Lumpur adalah peningkatan kepentingan aktiviti ekonomi berasaskan pengetahuan, terutamanya yang berkait dengan pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
    19. Industri yang menjana pengetahuan seperti penyelidikan dan pembangunan dalam bioteknologi, perisian komputer, aplikasi multimedia, teknologi baru untuk komputer dan perkakasan lain serta industri memproses, mengagih dan mengurus maklumat seperti institusi pendidikan, sistem telekomunikasi dan Internet, pengiklanan dan perkhidmatan profesional merupakan penggerak utama kepada Ekonomi Berasaskan Pengetahuan (K-Ekonomi).
  2.2.3 AGENDA 21
    20. Agenda 21, satu program komprehensif yang berkaitan dengan pembangunan mapan, telah diguna pakai dalam Persidangan Alam Sekitar dan Pembangunan Bangsa-bangsa Bersatu (the Earth Summit) di Rio de Janeiro pada tahun 1992. Prinsip asas Agenda 21 menekankan kemestian pembangunan mapan, yang dapat memenuhi keperluan generasi semasa tanpa mengkompromikan keupayaan generasi masa hadapan untuk memenuhi keperluan mereka. Strategi pembangunan mapan menggunakan pelbagai pendekatan pembangunan ekonomi yang memanfaatkan persekitaran masyarakat tempatan, dan pada masa yang sama mempertingkatkan kualiti
hidup.
    21.

Agenda Tempatan 21 yang dicetuskan daripada Agenda 21 adalah bertujuan menjalin perkongsian antara pihak berkuasa tempatan dengan orang awam agar mereka dapat bekerjasama dalam merancang dan menjaga persekitaran mereka dalam konteks pembangunan mapan.


2.3 PERSPEKTIF NASIONAL
  22. Wawasan 2020 mengenal pasti globalisasi sebagai salah satu trend mega utama yang mesti diikuti oleh Malaysia untuk menjamin asas yang kukuh bagi pembangunan ekonomi, hal ini juga ditekankan dalam Pelan Rangka Perspektif Ketiga (OPP3, 2001-2010) dan Pelan Induk Perindustrian Kedua (1996-2005). Walaupun Kuala Lumpur belum berhasrat untuk menyertai bandar raya global bertaraf tinggi dalam masa yang terdekat, sebagai bandar raya terulung negara, ia mesti mengamalkan orientasi global yang kuat.
  23. Industri dan perkhidmatan yang mempunyai potensi eksport yang tinggi adalah diperlukan untuk memberi dorongan ke arah globalisasi. Industri berteknologi dan berkemahiran tinggi, bersama dengan perkhidmatan-perkhidmatan kewangan, pengangkutan, pelancongan, perniagaan, maklumat dan profesional, membeli-belah dan aktiviti-aktiviti komersil lain adalah komponen utama ekonomi negara yang mesti dibangunkan pada tahap yang lebih cemerlang daripada tahap sedia ada. Dalam hal ini, Kuala Lumpur sebagai bandar raya ulung hendaklah memainkan peranan utama.
  24.

Kuala Lumpur dan konurbasinya (KLK) (rujuk Rajah 2.2) sudah bersedia untuk memainkan peranan global. KLIA sedang dipromosikan sebagai pusat serantau untuk perjalanan udara di samping usaha-usaha membangunkan Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan transit utama untuk Malaysia dan rantau ini. Begitu juga dengan pembangunan Koridor Raya Multimedia (MSC), dengan liberalisasi sektor perdagangan dan kewangan yang berterusan, akan membantu memperkukuh matlamat menjadikan Kuala Lumpur dan konurbasinya lebih berorientasikan global.


   


2.4 KONTEKS SUB NASIONAL
  2.4.1 WILAYAH LEMBAH KLANG
    25. Pertumbuhan bandar raya Kuala Lumpur mesti dilihat menjurus kepada perspektif subnasional. Semasa PSKL 1984, Wilayah Lembah Klang dilihat dalam konteks sub-nasional di mana pertumbuhan Kuala Lumpur telah ditentukan. Walau bagaimanapun, pembangunan-pembangunan baru yang utama di luar Kuala Lumpur, khususnya KLIA, Putrajaya dan Cyberjaya, telah menjadikan konsep Wilayah Lembah Klang sebagai satu entiti perancangan sub-nasional yang kurang relevan.
  2.4.2 KUALA LUMPUR DAN KONURBASINYA
    26. Satu asas rujukan yang lebih sesuai dalam konteks sub nasional Kuala Lumpur adalah Kuala Lumpur dan konurbasinya (KLK). KLK merujuk kepada seluruh kawasan Lembah Klang seperti didefinisikan dalam Kajian Lembah Klang (1972) termasuk juga sebahagian kecil daerah Kuala Langat dan selebihnya daerah Sepang di mana terletaknya KLIA. Ia meliputi kawasan keseluruhan seluas 4,000 kilometer persegi iaitu lebih kurang 40 peratus lebih besar daripada saiz Wilayah Lembah Klang yang luasnya 2,843 kilometer persegi.
    27. KLK adalah sebuah entiti bandar besar yang menggabungkan pelbagai fungsi bandar yang lengkap. Walau bagaimanapun, adalah penting untuk membezakan antara Kuala Lumpur, yang merupakan satu unit pentadbiran dengan KLK yang jauh lebih besar yang merupakan sebuah entiti bandar menyeluruh di mana terletaknya Kuala Lumpur yang berfungsi dalam banyak hal sebagai nukleus KLK. Peranan, status dan fungsi khusus Kuala Lumpur dalam keseluruhan KLK mesti didefinisikan dalam konteks entiti bandar yang lebih luas. Begitu juga, memandangkan hubungan simbiosis mereka, perancangan Kuala Lumpur perlu mengambil kira sepenuhnya pembangunan pembangunan di KLK secara keseluruhan.
    28. Sejak PSKL 1984, pusat-pusat bandar lain di Wilayah Lembah Klang, terutamanya Petaling Jaya, Shah Alam dan Subang Jaya, telah berkembang pesat mengatasi kadar pertumbuhan Bandar Raya. Terdapat kadar penghijrahan masuk yang tinggi ke KLK di luar Kuala Lumpur dari seluruh negara dan penghijrahan keluar bersih dari Kuala Lumpur ke dalam kawasan-kawasan kediaman di luar Bandar Raya. Pada tahun 2000, penduduk Kuala Lumpur adalah lebih kurang 1.42 juta berbanding dengan 4.30 juta untuk seluruh KLK, satu corak taburan penduduk yang tidak dijangkakan dalam PSKL 1984.
    29. Dengan perkembangan MSC, terutamanya Putrajaya dan Cyberjaya, maka jumlah kawasan tepu bina di KLK juga akan bertambah berbanding Kuala Lumpur. Kemerosotan relatif saiz Kuala Lumpur,dari segi penduduk dan kawasan tepu bina, menekankan kepentingan untuk mendefinisikan fungsi Kuala Lumpur dalam konteks KLK.
    30.

Pada masa ini, penyelarasan perancangan dan pembangunan Lembah Klang dilaksanakan oleh Majlis Perancangan Lembah Klang dan Jawatankuasa Kerja Wilayah Lembah Klang. Selaras dengan perkembangan kawasan perancangan Kuala Lumpur dan konurbasinya, bidang kuasa badanbadan tersebut perlu dikaji dan diperincikan.

    31. Isu-isu yang perlu ditekankan di peringkat perancangan wilayah adalah seperti penyelarasan fungsi pusat-pusat pertumbuhan dalam Kuala Lumpur dan konurbasinya, pengurusan alam sekitar, perancangan dan pembangunan industri, rangkaian pengangkutan, taburan kemudahan tanah perkuburan, kawalan banjir, pengumpulan dan pelupusan sampah serta pembangunan kemanusiaan dan kemasyarakatan.
  2.4.3 KORIDOR RAYA MULTIMEDIA
    32. Perkembangan paling penting dalam KLK yang akan mewujudkan implikasi yang amat mendalam terhadap pertumbuhan, fungsi, dasar dan strategi pembangunan Kuala Lumpur ialah pembangunan Koridor Raya Multimedia (MSC). MSC merupakan koridor berukuran 50 x 15 kilometer, bermula daripada KLIA di selatan ke Kuala Lumpur City Centre (KLCC) di sebelah utara. Di dalam koridor MSC tersebut terdapat dua pusat strategik iaitu Cyberjaya sebagai pusat multimedia dan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran. Di samping itu, terdapat juga 6 enam pusat utama iaitu Bandar Lapangan Terbang sebagai pusat perkhidmatan bagi menyokong pembangunan KLIA, Kampung Siber sebagai pusat pembangunan perusahaan kecil dan sederhana tempatan, Taman Teknologi Tinggi sebagai pusat yang menyediakan persekitaran bagi industri berteknologi tinggi, Tele- Pinggir Bandar (Tele-Suburb) sebagai kawasan perumahan dan pendidikan pintar serta Pusat Penyelidikan dan Pembangunan sebagai pusat institusi akademik serta penyelidikan dan pembangunan korporat.
    33. Terdapat 5 bandar siber (cyber cities) di dalam MSC di mana syarikat-syarikat berstatus MSC boleh menempatkan premis perniagaannya. Bandar siber tersebut adalah KLCC, Menara Kuala Lumpur, Taman Teknologi Malaysia, Universiti Putra Malaysia – Malaysia Technology Development Corporation (UPM-MTDC) dan Cyberjaya. Multimedia Development Corporation (MDC) akan mengaudit kesemua bandar siber tersebut setiap tahun agar mematuhi piawaian infrastruktur fizikal dan komunikasi bertaraf dunia.
    34. Putrajaya dan Cyberjaya dirancang untuk mempunyai unjuran penduduk seramai 500,000 pada tahun 2020. Pembangunan MSC dijangka akan memberi kesan kepada penghijrahan penduduk dan pekerjaan. Kesan utama MSC akan menyebabkan pertumbuhan pekerjaan dan penduduk yang pesat di KLK serta negara secara keseluruhan. Pertumbuhan aktiviti-aktiviti global akan mempercepatkan kadar penghijrahan masuk warga asing terutama yang mempunyai kepakaran khusus. Aktiviti Bandar Raya akan dirangsang oleh pembangunan dalam MSC melalui pembangunan penggunaan dan pengeluaran serta pertumbuhan dalam perkhidmatan eksport.
    35. Sungguhpun kejayaan pembangunan MSC mungkin menyumbang kepada pertumbuhan pekerjaan di Kuala Lumpur, tetapi ini tidak menjamin bahawa penghijrahan keluar yang cepat dari Bandar Raya dapat dibendung. Dasar yang berkesan adalah perlu untuk mendorong lebih ramai pekerja, terutama mereka yang berpendapatan tinggi dan berkemahiran untuk tinggal dalam Bandar Raya bagi meminimumkan penghijrahan keluar bersih.
    36.

Status MSC yang berorientasi global dan bertaraf dunia adalah sangat penting dalam menentukan asas untuk wawasan dan orientasi pembangunan masa hadapan Bandar Raya dan keseluruhan KLK.


2.5 FUNGSI KUALA LUMPUR DAN KONURBASINYA
  37. Fungsi utama Kuala Lumpur akan didefinisikan semula berikutan dengan pembangunan MSC, pemindahan pusat pentadbiran kerajaan persekutuan ke Putrajaya, serta pelbagai fungsi bandar dan aktiviti yang sekarang ini adalah sebahagian dari KLK. Dengan kadar kawasan tepu bina dan penduduk Kuala Lumpur yang menurun berbanding KLK secara keseluruhannya, peranan Kuala Lumpur dijangka akan lebih khusus. Bandar Raya harus menumpu kepada membangunkan kekuatannya dalam perkhidmatan dan industri pembuatan bertahap tinggi bagi membolehkan mereka beroperasi di dalam tadahan pasaran yang lebih luas di peringkat antarabangsa, nasional dan sub-nasional.
  38. Fungsi teras bandar akan terus terletak di pusat bandar Kuala Lumpur. Ibu pejabat syarikat global, hotel bertaraf tinggi dan pusat membeli-belah, rekreasi dan hiburan akan ditumpukan di pusat bandar raya, termasuk kemudahan latihan khusus, perkhidmatan pakar profesional dan perubatan. Kuala Lumpur akan juga menjadi fokus bagi pembangunan berasaskan pengetahuan dan industri yang tinggi nilai tambah. Sebagai ibu negara, Kuala Lumpur akan terus menampung kemudahankemudahan institusi pendidikan (knowledge-based), keagamaan dan kebudayaan. Selaras dengan statusnya di peringkat nasional dan antarabangsa, institusi dan kemudahan ini perlu ditingkatkan sewajarnya.
  39.

Rajah 2.3 menunjukkan satu ‘fungsi piramid’ bagi KLK dengan fungsi-fungsi bandar yang khusus ke arah mercu piramid, yang mewakili Kuala Lumpur dan fungsi-fungsi yang lebih umum ke arah tapak piramid, mewakili KLK selebihnya.