[ English ]   [ Malay ]

Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020

Prakata

Penghargaan

1 Pengenalan

2 Konteks Pertumbuhan Antarabangsa dan Nasional

3 Wawasan dan Matlamat Kuala Lumpur

4 Asas Ekonomi dan Penduduk

5 Pendapatan dan Kualiti Hidup

6 Guna Tanah dan Strategi Pembangunan

7 Perdagangan

8 Pelancongan
  8.1 Pengenalan
  8.2 Keadaan dan Isu Semasa
  8.2.1 Pemasaran Dan Promosi Pelancongan
  8.2.2 Ketibaan,Perbelanjaan Dan Purata Tempoh Penginapan Pelancong
  8.2.3 Sumber-Sumber Pelancongan
  8.2.4 Kemudahan Dan Infrastruktur Pelancongan
  8.2.5 Kemudahan Dan Perkhidmatan Sokongan Pelancongan
  8.3 Objektif
  8.4 Dasar Dan Cadangan
  8.4.1 Pemasaran Dan Promosi Pelancongan
  8.4.2 Pembangunan Sumber-Sumber Perlancongan
  8.4.3 Membeli-Belah, Makanan Dan Hiburan
  8.4.4 Tarikan Rekreasi
  8.4.5 Kesihatan Dan Pendidikan
  8.4.6 Kemudahan Dan Infrastruktur Pelancongan
  8.4.7 Kemudahan Dan Perkhidmatan Sokongan Pelancongan
8.5 Keperluan Masa Depan

9 Industri

10 Pengangkutan

11 Infrastruktur dan Utiliti

12 Perumahan

13 Kemudahan Masyarakat

14 Reka Bentuk Bandar dan Landskap

15 Alam Sekitar

16 Kawasan Khusus

17 Zon Strategik

18 Perlaksanaan


Singkatan


Glosari


 

PELANCONGAN
8.1 PENGENALAN
  261. Seperti bandar raya utama lain, pelancongan memainkan peranan penting dalam ekonomi Kuala Lumpur, dengan menyumbang kepada pendapatan, pekerjaan dan memperluaskan peluang-peluang perniagaan. Industri pelancongan mencakupi bidang perkhidmatan yang luas dan kemudahan yang diperlukan adalah pelbagai serta mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada semua lapisan penduduk.
  262. Pelancongan memberi manfaat sampingan yang tidak kurang pentingnya kepada penduduk Kuala Lumpur. Dengan menampung asas penduduk yang lebih besar daripada penduduk Bandar Raya sendiri, kemudahan membeli-belah, hiburan, rekreasi dan kebudayaan yang lebih pelbagai dapat ditampung. Pelancongan juga membantu dalam memberi dorongan dan justifikasi kewangan terhadap langkah langkah yang memberi faedah kepada penduduk Bandar Raya seperti projek-projek pemuliharaan, pengindahan dan siar kaki, serta menjadi tuan rumah kepada acara-acara khas dan perayaan-perayaan yang bertujuan untuk menarik pelancong.
  263.

Kuala Lumpur juga mendapat banyak faedah melalui pendedahan kepada pelancong asing. Pelancong pelancong asing akan lebih memahami dan menghargai budaya dan kejayaan yang dicapai oleh Bandar Raya dan penduduknya. Tanggapan yang dibawa balik ke negara asal mereka dapat memberi kesan dalam meningkatkan profil Bandar Raya dan negara.


  264.

Kuala Lumpur mempunyai banyak kelebihan untuk ditawarkan sebagai destinasi pelancongan. Ia mempunyai iklim yang nyaman dengan ciri-ciri tropika yang unik, infrastruktur dan sektor perkhidmatan yang baik serta pelbagai tarikan pelancongan, kemudahan membeli-belah, hiburan, hotel dan persidangan. Kuala Lumpur juga boleh maju berasaskan masyarakatnya yang berbilang kaum, agama dan kebudayaan bagi mewujudkan identiti dan imej tersendiri. DBKL berhasrat memaksimumkan kekuatan yang ada bagi menjadikannya sebuah destinasi pelancongan antarabangsa.


8.2 KEADAAN DAN ISU SEMASA
  8.2.1 PEMASARAN DAN PROMOSI PELANCONGAN
   
i.
Keadaan Semasa
    265.

Tanggungjawab mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan sebahagian besarnya dijalankan oleh pejabat-pejabat Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) di luar negara dengan kerjasama agensi-agensi pelancongan, syarikat penerbangan dan pejabatpejabat pelancongan nasional. Promosi yang dijalankan termasuklah misi jualan, pengisian slot iklan di media, penyertaan dalam acara dan pameran pelancongan antarabangsa dan menjemput wartawan, penulis pengembaraan asing dan personel agensi pelancongan.

    266. Selain pemasaran dan promosi Kuala Lumpur oleh LPPM, promosi turut dijalankan oleh DBKL dan Persatuan Pelancong Kuala Lumpur (PPKL) yang merupakan persatuan yang dianggotai syarikat syarikat yang terlibat dalam industri pelancongan.
    267.

Pada tahun 2000, Majlis Tindakan Pelancongan Kuala Lumpur (MTPKL) telah ditubuhkan dengan dipengerusikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur. Melalui kerjasama rapat dengan LPPM dan organisasi perniagaan seperti PPKL, majlis ini bertanggungjawab memasarkan dan mempromosikan Kuala Lumpur.

   
ii.
Isu
    268. Tahap promosi pemasaran Kuala Lumpur masih kurang berbanding dengan bandar raya pelancongan utama lain. Di sesetengah destinasi pelancongan antarabangsa, terdapat majlis-majlis pelancongan peringkat bandar raya atau wilayah yang kerap menjalankan promosi dengan disokong oleh industri pelancongan yang berpengalaman, pengusaha-pengusaha hotel, syarikat syarikat penerbangan nasional dan serantau serta organisasi-organisasi perniagaan.

Kekurangan promosi dan pemasaran untuk Kuala Lumpur
  8.2.2 KETIBAAN, PERBELANJAAN DAN PURATA TEMPOH PENGINAPAN PELANCONG
   
i.
Keadaan Semasa
    269.

Walaupun mengalami krisis ekonomi pada 1998, ketibaan pelancong ke Malaysia meningkat daripada 6,210,900 pada tahun 1997 kepada 10,221,600 pada tahun 2000. Ini terutamanya disebabkan oleh promosi intensif untuk menggalakkan kemasukan pelancong, menjadi tuan rumah kepada persidangan-persidangan dan acaraacara sukan antarabangsa yang utama seperti perlumbaan Formula One di Sepang. Jumlah perolehan daripada pelancong meningkat dengan ketara, iaitu RM4.5 bilion pada tahun 1990 kepada RM17.3 bilion pada tahun 2000. Jumlah ketibaan pelancong dan perolehan di Malaysia ditunjukkan di dalam Jadual 8.1.


    270. Selain itu, bilangan pelancong tempatan yang melawat Kuala Lumpur dari pelbagai pelosok negara telah bertambah daripada 2,493,100 orang pada 1997 kepada 2,803,300 orang pada tahun 2000. Jumlah ketibaan pelancong asing juga meningkat daripada 3,536,300 orang pada tahun 1997 kepada 3,946,900 orang pada tahun 2000. Purata tempoh penginapan (ALS) pelancong di Malaysia pada tahun 2000 adalah 5.88 malam dan kira-kira 1.6 malam di Kuala Lumpur. Secara perbandingan, ALS di United Kingdom pada tahun 1997 adalah lebih daripada 8.7 malam dan destinasi wilayah seperti Thailand mempunyai ALS sekitar 7.0 malam. ALS pelancong dari Singapura, yang merupakan menyumbang tunggal yang terbesar kepada jumlah pelancong dan pendapatan, adalah sangat singkat.
   
ii.
Isu
     

• Purata tempoh penginapan pelancong yang singkat.

  8.2.3 SUMBER-SUMBER PELANCONGAN
   
a)
Umum
   
i.
Keadaan Semasa
    271.

Kuala Lumpur mempunyai kepelbagaian sumber yang sesuai untuk pelancongan walaupun terdapat perbezaan tahap pembangunan atau daya tarikan. Sebahagian sumber ini telah begitu mantap dan dikenali sementara yang lain baru dibangunkan atau belum berorientasikan pelancongan. Sebahagiannya adalah lebih menarik atau lebih mudah dikunjungi berbanding yang lain. Tidak dinafikan, Kuala Lumpur mempunyai kelebihan sumber dan lokasi yang menyokong atau penting kepada pembangunan industri pelancongan yang berdaya saing. Rajah 8.1 menunjukkan taburan produk pelancongan di Kuala Lumpur.

     
   
ii.
Isu
    272. Sumber-sumber pelancongan sedia ada adalah tidak mudah dikunjungi, tidak berpadu, tidak dihubungkan dengan laluan pejalan kaki atau disokong oleh kemudahan seperti restoran dan membeli-belah. Walaupun Kuala Lumpur mempunyai potensi sumber pelancongan yang pelbagai, masa kini ‘produk pelancongan menyeluruh’, yang merupakan keseluruhan spektrum perkhidmatan pelancongan, masih bersegmen dan tidak mencukupi.

• Pembangunan produk pelancongan masih bersegmen dan tidak mencukupi.
   
b)

Tarikan Warisan Budaya

   
i.
Keadaan Semasa
    273. Dari aspek seni bina, Kuala Lumpur telah mengekalkan beberapa bangunan bersejarah dan kawasan-kawasan yang memaparkan sejarah silamnya. Dataran Merdeka dan bangunan di sekitarnya, bersama-sama Stesen Kereta Api dan kawasan rumah kedai lama memaparkan imej asal Kuala Lumpur. Kebelakangan ini, bangunan seperti Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkembar Petronas di KLCC menyerlahkan imej sebuah bandar raya moden, di samping mengekalkan ciri-ciri budaya tempatan.
    274.

Terdapat beberapa kemudahan kebudayaan moden untuk seni pentas, termasuk muzik dan persembahan kebudayaan. Kemudahan teater dan dewan konsert ini bukan hanya sebagai tempat untuk persembahan kesenian oleh artis tempatan dan antarabangsa, tetapi juga menyerlahkan lagi suasana dan ciri-ciri kebudayaan di Kuala Lumpur. DBKL juga aktif dalam mempromosi dan memberi sokongan kepada kumpulan kebudayaan tempatan.


   
ii.
Isu
    275. Walaupun ramai pelancong berminat untuk membeli hasil-hasil seni, kraf tangan, hiasan diri dan cenderamata, namun pasarannya di Malaysia masih tidak dibangunkan sepenuhnya berbanding tempat-tempat lain di rantau ini. Hasil-hasil kemahiran tradisional seperti barangan perak dan gangsa, barangan piuter, sulaman songket, hasil memanik, ukiran kayu dan pencetakan batik mempunyai potensi untuk diperluaskan.
    276.

Kilang piuter Royal Selangor di Setapak merupakan contoh terbaik bagi pelancongan industri di Kuala Lumpur, di mana pelancong dapat melihat hasil seni pertukangan artifak dan cenderamata.
Walau bagaimanapun, tanpa mengambil kira Pusat Kraf Tangan Infokraf dan Kompleks Kraf Budaya, masih terdapat kekurangan tempat-tempat untuk kraf tangan tradisional dan cenderamata.

Kekurangan promosi untuk industri kraftangan tradisional dan cenderamata.


   
c)
Membeli-belah, Makanan dan Hiburan
   
i.
Keadaan Semasa
    277. Kuala Lumpur sedang muncul sebagai destinasi membeli-belah antarabangsa yang kompetitif. Di samping terdapat banyak pusat belibelah, pusat peruncitan bentuk baru seperti pasar raya besar, pusat beli-belah mega, pusat beli-belah bebas cukai dan kedai diskaun juga telah dibangunkan di Kuala Lumpur.
    278.

Selain itu, juga terdapat rumah kedai tradisional, pasar malam dan pasar tani yang merupakan sumber pelancongan penting. Pasar malam menjadi tarikan kepada pelancong kerana dapat mencerminkan cara hidup tradisi rakyat Malaysia. Begitu juga laluan-laluan kaki lima rumah kedai khususnya, di kawasan-kawasan lama Bandar Raya, masih mengekalkan ciri-ciri masa lampau.


   
ii.
Isu
    279.

Isu-isu umum berkaitan aktiviti membelibelah diperincikan dalam Bab 7: Perdagangan.

    280. Kuala Lumpur menawarkan pelbagai jenis restoran dan tempat makan yang menghidangkan masakan tempatan dan antarabangsa. Selain daripada beberapa kawasan terpencil, sebahagiannya di luar Pusat Bandar Raya, tempattempat makan dan hiburan yang mudah dikenal pasti masih berkurangan di Pusat Bandar Raya.

Tempat-tempat makan dan hiburan yang mudah dikenal pasti masih berkurangan di Pusat Bandar Raya.
   
d)
Tarikan Rekreasi
   
i.
Keadaan Semasa
    281. Kemudahan sukan telah melalui transformasi di Kuala Lumpur dengan pembangunan kemudahan sukan bertaraf dunia, Kompleks Sukan Nasional di Bukit Jalil. Selain itu terdapat pelbagai kemudahan sukan seperti badminton, basikal, hoki, golf, tenis, bola keranjang, bola jaring, bola sepak, skuasy, gimnastik, olah raga, renang, ekuestrian dan boling padang. Litar lumba kereta Formula One bertaraf dunia di Sepang berdekatan KLIA turut juga meningkatkan potensi untuk pelancongan sukan.
    282.

Terdapat juga banyak taman yang menarik untuk dilawati seperti Taman Rama-rama, Taman Burung dan Taman Orkid di Taman Tasik Perdana. Taman Tasik Titiwangsa yang mempunyai tasik yang besar dan restoran terapung turut menawarkan aktiviti-aktiviti lain seperti menunggang kuda dan berkayak.

   
ii.
Isu
    283. Isu-isu berkaitan aktiviti rekreasi dan riadah diperincikan dalam Bab 13: Kemudahan Masyarakat.
    284. Walaupun Kuala Lumpur mempunyai kemudahan-kemudahan sukan bertaraf dunia namun ianya kurang digunakan dengan sepenuhnya.

Kemudahan sukan utama tidak digunakan sepenuhnya.
   
e)
Kesihatan dan Pendidikan
   
i.
Keadaan Semasa
    285. Pelancongan kesihatan bukanlah satu fenomena baru. Negara-negara seperti Australia, Singapura dan Amerika Syarikat telah mendapat reputasi kerana mempunyai kemudahan dan perkhidmatan bertaraf dunia yang memberi penekanan kepada aspek kecergasan, kesihatan, pemulihan dan penyembuhan. Malaysia juga mempunyai potensi menjadi destinasi pelancongan kesihatan yang kompetitif. Jumlah kedatangan pelancong, khususnya dari Indonesia, Brunei dan Singapura untuk rawatan di Malaysia pada tahun 2000 adalah sebanyak 175,000 orang dengan peningkatan sebanyak 127 peratus berbanding tahun 1999. Memandangkan taraf kemudahan yang tinggi dan kos rawatan yang ditawarkan adalah rendah dan kompetitif berbanding Singapura dan Brunei, Malaysia dijangka mampu menarik lebih ramai lagi pelancong asing untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan.
    286. Selain hospital-hospital kerajaan, terdapat beberapa pusat rawatan pakar swasta termasuklah Institut Jantung Negara di Bandar Raya. Di samping memberi perkhidmatan kesihatan umum, hospital kerajaan dan swasta menyediakan pelbagai rawatan dan pembedahan pakar.
    287. Kuala Lumpur juga mendapat banyak kelebihan dengan penumpuan institusi-institusi pendidikan di sekitarnya yang menawarkan pelbagai kursus. Contoh institusi pendidikan awam adalah seperti Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia dan Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Terdapat juga sebilangan besar kolej swasta termasuk Universiti Tun Abdul Razak, Kolej Tunku Abdul Rahman di dalam dan di sekitar Kuala Lumpur yang menawarkan pelbagai kursus yang menarik pelajar dari seluruh Malaysia dan juga dari negara-negara lain.
   
ii.
Isu
    288. Walaupun terdapat peningkatan kemudahan dan perkhidmatan pendidikan dan kesihatan, ia tidak dipromosikan dan dipasarkan sebagai produk pelancongan.

Kekurangan promosi untuk industri pelancongan kesihatan dan pendidikan.
  8.2.4 KEMUDAHAN DAN INFRASTRUKTUR PELANCONGAN
   
a)
Hotel
   
i.
Keadaan Semasa
    289.

Antara tahun 1996 dan 2000 jumlah bilangan bilik hotel di Kuala Lumpur meningkat sebanyak 12.18 peratus daripada 16,510 kepada 26,144 bilik. Jadual 8.2 menunjukkan bilangan taburan bilik hotel mengikut status pembangunan.


    290.

Majoriti hotel adalah dalam kategori 300 bilik ke atas. Rajah 8.2 dan Jadual 8.3 menunjukkan lokasi dan bilangan hotel mengikut saiz di Bandar Raya.


     


    291.

Kadar purata penginapan (AOR) hotel di Kuala Lumpur telah menurun sebanyak 15.3 peratus daripada 76.2 peratus pada 1995 kepada 60.9 peratus pada 2000. Penurunan AOR ini adalah untuk semua kategori hotel, dengan penurunan terbesar sebanyak 28.6 peratus untuk kategori saiz 50-99 bilik seperti ditunjukkan di dalam Rajah 8.3.


   
ii.
Isu
    292. Terdapat kurang kepelbagaian jenis penginapan yang ditawarkan untuk memenuhi pelbagai keperluan dan kemampuan pelancong asing dan domestik.

Kurang kepelbagaian jenis penginapan pelancong.
   
b)
Persidangan, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE)
   
i.
Keadaan Semasa
    293. Pelancongan berasaskan perniagaan dan persidangan telah berkembang sejak kebelakangan ini dan menjadi komponen penting dalam industri pelancongan. Peserta MICE dan pelancong perniagaan adalah pelancong yang memberi pulangan besar, kebiasaannya akan berbelanja lebih dalam sehari berbanding pelancong lain. Industri MICE menyumbang pendapatan kepada aktiviti aktiviti perniagaan berkaitan seperti sektor hospitaliti, penerbangan, penghantaran barangan serta kontraktor dan pembekal bahan-bahan pameran dan hiburan.
    294. Bilangan acara dan peserta MICE telah berkembang secara berterusan dalam tahun-tahun kebelakangan ini dan perolehan daripada MICE di Malaysia pada tahun 2000 adalah sebanyak RM1,164.7 juta, iaitu hampir 7 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan sektor pelancongan tahun tersebut. Kemudahan-kemudahan utama MICE di Kuala Lumpur ketika ini adalah MALTRADE (Malaysia External Trade Development Corporation) di Jalan Duta dan Pusat Dagangan Dunia Putra manakala Kompleks Sukan Bukit Jalil mempunyai salah satu pusat konvensyen dan pameran perdana di rantau ini. Ruang tambahan konvensyen dan pameran sedang dibangunkan di Pusat Konvensyen dan Pameran, KLCC. Kemudahan-kemudahan utama yang lain di Kuala Lumpur dan konurbasinya termasuklah Pusat Konvensyen Sunway Lagoon, Mines Wonderland dan Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa, Subang.
   
ii.
Isu
    295. Masih terdapat kekurangan kemudahan MICE di Kuala Lumpur dan kemudahan perlu dinaiktarafkan agar dapat bersaing dengan destinasi-destinasi utama MICE lain.

Kemudahan untuk MICE perlu ditambah, dinaiktarafkan dan dipromosikan.
  8.2.5 KEMUDAHAN DAN PERKHIDMATAN SOKONGAN PELANCONGAN
   
a)
Perkhidmatan Sokongan
   
i.
Keadaan Semasa
    296. Bagi memastikan industri pelancongan berfungsi secara berkesan, perkhidmatan dan kemudahan sokongan yang kuat seperti agensi pelancongan, pemandu pelancong, pusat maklumat pelancong dan latihan sumber manusia adalah penting.
    297. Terdapat pusat-pusat maklumat pelancongan utama di Bandar Raya serta di pintu masuk utama lapangan-lapangan terbang. Maklumat tambahan turut disediakan oleh DBKL dan pihak swasta termasuk hotel-hotel dan agensi-agensi pelancongan. Pusat Maklumat Pelancong Malaysia (MTC) yang terletak di Jalan Ampang merupakan pusat maklumat pelancong yang terbesar dan serba lengkap di Malaysia. Pusat ini dilengkapi dengan dewan pameran, panggung terbuka, bilik pandangdengar, kaunter maklumat, restoran, kedai cenderamata dan kaunter perkhidmatan pelancong.
   
ii.
Isu
    298. Walau bagaimanapun, jika dibandingkan dengan pusat-pusat maklumat pelancongan luar negara, Kuala Lumpur masih jauh ketinggalan di mana terdapat banyak maklumat yang mudah diperolehi di lapangan-lapangan terbang, stesenstesen bas dan kereta api, hotel-hotel, di dalam majalah majalah percuma dan oleh pemandupemandu pelancong yang berpengetahuan luas.
    299. Promosi pasaran bergantung kepada maklumat yang terkini tetapi kos untuk mendapatkan maklumat relevan, tepat dan boleh dipercayai adalah tinggi.

Kekurangan maklumat yang terkini dan kos carian yang tinggi.
    300. Walaupun papan-papan tanda di Kuala Lumpur telah semakin baik, masih terdapat kekurangan dalam penyediaan petunjuk arah ke sesetengah destinasi pelancongan dan panel penerangan di tempat-tempat tarikan utama, serta pelan jalan yang terkini dan komprehensif.

Kekurangan papan tanda dan maklumat-maklumat lain berkaitan kawasan tarikan pelancong.
    301. Sesetengah ‘pekerja barisan hadapan’ termasuk pemandu teksi, pemandu bas pelancong dan kakitangan di pintu-pintu masuk pengangkutan utama kurang berpengetahuan tentang kawasan-kawasan tarikan pelancong di Bandar Raya.

Kekurangan pengetahuan tentang kawasankawasan tarikan pelancong di kalangan ‘pekerja barisan hadapan’.
   
b)
Kemudahan Sokongan
   
i.
Keadaan Semasa
    302. Kerajaan telah memulakan program nasional untuk menyediakan pelbagai kemudahan seperti pencahayaan bertema, laluan pejalan kaki, tandas awam dan landskap di kawasan-kawasan tarikan
pelancong. DBKL juga sedang giat melaksanakan program tersebut di seluruh Kuala Lumpur.
   
ii.
Isu
    303. Ketika ini, beberapa kawasan masih kekurangan kemudahan pelancongan dan terdapat keperluan untuk meningkatkan daya tarikan melalui penyediaan perkhidmatan sokongan yang berkaitan.

Kekurangan perkhidmatan sokongan untuk pelancong.
   
c)
Kemudahsampaian
   
i.
Keadaan Semasa
    304. Pengangkutan awam dan perkhidmatan teksi memerlukan pembaikan. The Departing Visitors’ Survey (1999) LPPM menunjukkan terdapat aduan pelancong mengenai kelemahan perkhidmatan pengangkutan dan kesukaran untuk mendapatkan teksi dan pengangkutan awam yang lain. PRT yang menghubungkan hotel-hotel utama dan kawasan-kawasan beli-belah ke sistem LRT, dijangka akan dapat mengurangkan masalah ini.
    305. Isu-isu berkaitan pengangkutan awam diperincikan dalam Bab 10: Pengangkutan.
   
ii.
Isu
    306. Pada masa ini, terdapat masalah kemudahsampaian ke destinasi-destinasi pelancongan di Kuala Lumpur disebabkan oleh kesesakan lalu lintas di laluan-laluan utama khususnya pada waktu puncak. Tambahan pula,kerja-kerja pembinaan yang dijalankan dan tahap penggunaan kenderaan persendirian yang tinggi menambahkan lagi masalah kepada pejalan-pejalan kaki untuk bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain.
    307.

Isu-isu berkaitan laluan pejalan kaki diperincikan dalam Bab 14: Reka Bentuk Bandar dan Landskap.


8.3 OBJEKTIF
  308. Untuk meningkatkan peranan Kuala Lumpur sebagai sebuah pusat perdagangan dan kewangan antarabangsa, DBKL bertujuan untuk:

membangunkan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan antarabangsa yang menarik; dan

• meningkatkan Purata Tempoh Penginapan (ALS) kepada 3.0 malam menjelang tahun 2010.
  309.

Untuk mewujudkan sebuah bandar raya yang mempunyai identiti dan imej yang tersendiri, DBKL bertujuan untuk:

mewujudkan sebuah bandar raya yang memelihara persekitaran, seni bina dan warisan budaya yang terbaik serta menawarkan gabungan mantap ciri-ciri moden dan tradisional;

• mempromosikan aktiviti kesenian dan kebudayaan, sukan, pendidikan dan kesihatan di Bandar Raya sebagai produk pelancongan dan faktor-faktor bagi meningkatkan kualiti hidup keseluruhan; dan

• mewujudkan sebuah bandar raya taman tropika yang sensitif kepada alam semula jadi dan sesuai dengan lokasi wilayah tropika.


8.4 DASAR DAN CADANGAN
  8.4.1 PEMASARAN DAN PROMOSI PELANCONGAN
    310.

Pelan pemasaran pelancongan Kuala Lumpur yang komprehensif perlu disediakan dengan segera bagi mengenal pasti strategi pembangunan dan promosi pelancongan. Pelan ini harus meliputi semua aspek pasaran pelancongan dan penyediaan kalendar pelancongan tahunan. Aktiviti-aktiviti di dalam Bandar Raya yang melengkapi acara-acara antarabangsa utama di Malaysia akan digalakkan dan dipromosikan.

    311. Segala sokongan yang perlu akan diberikan kepada MPKL agar pemasaran dan promosi untuk Kuala Lumpur dapat dilakukan dengan berkesan. Ini termasuk dana yang mencukupi untuk projek dan kempen serta pembangunan kemudahan dan tarikan pelancong bertujuan untuk mengembangkan dan mempelbagaikan asas pelancongan.

Dasar:

TO 1: DBKL akan, bersama-sama dengan Majlis Tindakan Pelancongan Kuala Lumpur, memasarkan dan mempromosikan pelancongan di Kuala Lumpur.

TO 2: DBKL akan, bersama-sama dengan Majlis Tindakan Pelancongan Kuala Lumpur, membangunkan produk pelancongan bertujuan mengembangkan dan mempelbagaikan asas pelancongan.
  8.4.2 PEMBANGUNAN SUMBER-SUMBER PELANCONGAN
   
a)
Umum
    312.

Kuala Lumpur sebagai sebuah ibu negara menjadi gerbang masuk ke Malaysia yang juga berperanan sebagai jendela yang mencerminkan keunikan dan kepelbagaian produk-produk pelancongan yang berasaskan sosiobudaya masyarakat negara.

Dasar:

TO 3: DBKL akan, bersama-sama Majlis Tindakan Pelancongan Kuala Lumpur, memastikan pembangunan produk-produk pelancongan yang menonjolkan identiti dan imej masyarakat negara aman yang berbilang kaum, agama dan budaya.

    313. Cadangan pembangunan pelancongan utama adalah berdasarkan analisis kekuatan sumber dan pasaran serta kelemahan dan potensi pembangunan Kuala Lumpur dan konurbasinya. Pendekatan zon pembangunan pelancongan, promosi dan operasi pelancongan akan dilaksanakan dengan Pusat Bandar Raya sebagai teras yang memfokuskan kepada membeli-belah, MICE, kebudayaan, hiburan, makan, kesihatan dan pendidikan. Kawasan-kawasan utama di dalam zonzon strategik akan memfokuskan kepada aktiviti pelancongan yang lebih spesifik. Bukit Jalil - Seputeh akan memfokuskan kepada sukan dan MICE; Wangsa Maju - Maluri untuk pelancongan industri;Damansara - Penchala untuk pendidikan dan agropelancongan, manakala Bandar Tun Razak - Sungai Besi untuk eko-pelancongan.
    314.

Rajah 8.4 menggambarkan cadangancadangan utama dan fungsi-fungsi pelancongan di Pusat Bandar Raya dan zon-zon strategik lain.

Dasar:

TO 4: DBKL akan melaksanakan pendekatan zon untuk pembangunan pelancongan di Bandar Raya.

     

 


   
b)
Tarikan Warisan Budaya
    315.

DBKL akan menggalakkan pihak swasta untuk menyokong kumpulan seni dan budaya yang memperlihatkan persembahan kesenian.

    316.
Pihak swasta juga digalakkan memainkan peranan penting dalam mempromosikan industri pelancongan melalui penyediaan kemudahan, perkhidmatan dan aktiviti. Pihak swasta digalakkan menyediakan lebih banyak kemudahan seperti muzium, galeri seni, teater dan dewan konsert bagi melengkapi dasar dan usaha mempromosikan aktiviti kebudayaan di Bandar Raya.
    317. Selain itu DBKL akan menggalakkan dan memudahkan penganjuran pertunjukan kesenian, persembahan konsert, teater dan sebagainya perlu diatur untuk memastikan kemudahan ini digunakan dengan optimum.

Dasar:

TO 5: DBKL akan mempromosikan, menggalakkan dan memudahkan aktiviti kesenian dan kebudayaan dengan lebih aktif di peringkat tempatan dan antarabangsa.
    318. Bahan-bahan sejarah, tradisi dan budaya negara adalah merupakan sumber tarikan pelancong. Kawasan bersejarah utama yang terletak di Pusat Bandar Raya merupakan sumber pelancongan berharga yang mempamerkan kawasan penempatan serta pusat perdagangan awal dan bangunan-bangunan dengan seni bina menarik yang dibina di penghujung abad ke-19. Kawasan ini akan dijadikan sebagai Pusat Warisan Budaya Negara untuk memaksimumkan potensinya sebagai pusat
tarikan pelancongan. Infrastruktur dan kemudahan di kawasan ini perlu dipelbagaikan dan dipertingkatkan.
    319. Isu-isu berkaitan pemuliharaan diperincikan dalam Bab 14: Reka Bentuk Bandar dan Landskap.

Dasar:

TO 6: DBKL akan menetapkan kawasan bersejarah utama sebagai pusat utama warisan kebudayaan negara dan mempelbagaikan infrastruktur kebudayaan untuk memastikan terdapat tarikan yang mencukupi.
  8.4.3 MEMBELI-BELAH, MAKANAN DAN HIBURAN
    320.

Satu tunggak membeli-belah utama di Pusat Bandar Raya akan dibangunkan dan dipromosikan sebagai presint membeli-belah bertaraf dunia. Tambahan pula, bagi mempromosikan produk dan reka bentuk tempatan kepada pelancong mahu pun penduduk tempatan, satu pusat atau plaza beli belah yang khas perlu disediakan. ‘Plaza Produk’ ini akan menjadi popular kerana harga barangannya yang lebih kompetitif berbanding barangan import yang sama kualiti.


    321.

Dasar-dasar umum berkaitan beli-belah diperincikan dalam Bab 7: Perdagangan.

    322. Terdapat banyak peluang untuk memaksimumkan potensi pelancongan kemudahan membeli-belah, makanan dan hiburan sedia ada di Kuala Lumpur dengan mempromosikan Bandar Raya secara lebih berkesan sebagai destinasi membeli-belah, makanan dan hiburan antarabangsa. Tahap kebersihan dan kesihatan perlu selaras dengan piawaian bertaraf dunia.

Dasar:

TO 7: DBKL akan, bersama-sama dengan Majlis Tindakan Pelancongan Kuala Lumpur, menyelaraskan dengan sektor swasta untuk mempromosikan Kuala Lumpur sebagai destinasi membeli-belah, makanan dan hiburan antarabangsa.
  8.4.4 TARIKAN REKREASI
    323. Langkah-langkah sedang diambil untuk meningkatkan kualiti dan mempelbagaikan aktiviti rekreasi termasuk penyediaan lebih banyak taman dan kemudahan sukan. Selain memberi kemudahan kepada penduduk Kuala Lumpur, ianya juga bertujuan menarik lebih ramai pelancong.
    324.

Dasar-dasar berkaitan aktiviti rekreasi diperincikan dalam Bab 13: Kemudahan Masyarakat.

    325.

Eko-pelancongan semakin dipromosikan sebagai kaedah untuk memelihara alam semula jadi yang semakin diancam pembangunan. Hutan Simpan Bukit Nanas, Bukit Sungai Putih dan Bukit Sungai Besi, rabung di Bukit Gasing dan Bukit Dinding serta kawasan-kawasan berbukit lain yang belum dibangunkan seperti sebahagian Kampong Sungai Penchala, memberi peluang untuk pembangunan eko-pelancongan.

Dasar:

TO 8: DBKL akan mewujudkan dan membangunkan peluang-peluang eko-pelancongan di rizab hutan simpan dan kawasan-kawasan berbukit lain yang sesuai.


    326. Kemudahan-kemudahan sukan di Bukit Jalil dan lokasi-lokasi sukan lain bertaraf dunia di Bandar Raya menawarkan potensi untuk penganjuran acara sukan utama bertaraf nasional dan antarabangsa yang dapat menarik pelancong-pelancong dalam dan luar negara. Kebanyakan kompleks sukan utama juga boleh digunakan sebagai tempat untuk acara berkaitan pelancongan seperti pameran perdagangan dan konsert.

Dasar:

TO 9: DBKL akan, bersama-sama Majlis Tindakan Pelancongan Kuala Lumpur dan agensi serta pihak berkuasa berkaitan, mempromosikan kompleks sukan utama sebagai tempat untuk sukan dan acara-acara lain yang bertaraf antarabangsa.
  8.4.5 KESIHATAN DAN PENDIDIKAN
    327.

Terdapat peluang untuk menggunakan sepenuhnya potensi pelancongan dari penumpuan kemudahan perubatan dan pendidikan di Bandar Raya, terutamanya yang mempunyai program yang dipakejkan dengan tujuan menarik pelanggan dari luar negara.

Dasar:

TO 10: DBKL akan, bersama-sama dengan Majlis Tindakan Pelancongan Kuala Lumpur dan organisasi pendidikan dan perubatan, membangunkan serta mempromosikan pelancongan pendidikan dan kesihatan.


  8.4.6 KEMUDAHAN DAN INFRASTRUKTUR PELANCONGAN
   
a)
Hotel
    328. Seiring dengan pembangunan dan kepelbagaian pelancongan di Kuala Lumpur, terdapat keperluan untuk industri hospitaliti bagi menyediakan lebih banyak kemudahan penginapan yang pelbagai seperti penginapan ‘bed and breakfast’ dan hotel butik. Selain itu juga kemudahan hotel kelas ekonomi, asrama belia dan kemudahan kampus pengajian untuk menampung pasaran belia kembara dan percutian pelajar turut digalakkan.

Dasar:

TO 11: DBKL akan mempromosikan kepelbagaian jenis penginapan.
   
b)
Persidangan, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE)
    329.

Bagi memaksimumkan potensi pelancongan MICE, Kuala Lumpur akan dipromosikan secara agresif sebagai destinasi MICE dan kemudahan tambahan MICE perlu dibangunkan.

    330.

Persaingan antara destinasi MICE adalah hebat dan kejayaannya adalah bergantung kepada mutu kemudahan yang disediakan dan terdapatnya tarikan sekitar dan aktiviti tambahan. Untuk menambah tarikan kemudahan MICE di Kuala Lumpur, ianya perlu sentiasa ditingkatkan agar setaraf dengan piawaian antarabangsa dan tarikan pelancongan sokongan perlu dibangunkan berhampiran kemudahan MICE.


Dasar:

TO 12: DBKL akan mempromosikan Kuala Lumpur sebagai pusat mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran antarabangsa dan menggalakkan pembangunan kemudahan yang sesuai.

  8.4.7
KEMUDAHAN DAN PERKHIDMATAN SOKONGAN PELANCONGAN
   
a)
Perkhidmatan Sokongan
    331. Pengumpulan dan pengemaskinian maklumat pelancong yang terkini adalah penting dalam menggalakkan industri pelancongan khususnya dalam menarik pelancong asing yang kurang pengetahuan tentang Bandar Raya atau negara.
    332. Papan tanda dan sistem-sistem maklumat lain untuk keperluan pelancong perlu diperbaiki. Lebih banyak panel penerangan untuk tarikan utama seperti di bangunan-bangunan warisan juga perlu disediakan.

Dasar:

TO 13: DBKL akan, bersama-sama Majlis Tindakan Pelancongan Kuala Lumpur menyelaraskan dengan agensi-agensi berkaitan dan sektor swasta untuk membangunkan sistem maklumat sokongan untuk pelancong.
    333. Latihan kemahiran dalam sektor pelancongan perlu diperbanyakkan untuk memastikan ianya memenuhi keperluan dan perubahan pasaran pelancongan baru.

Dasar:

TO 14: DBKL akan, bersama-sama Majlis Tindakan Pelancongan Kuala Lumpur, menyediakan program latihan dan maklumat sokongankepada pekerja pelancong barisan hadapan.
   
b)
Kemudahan Sokongan
    334.

Industri pelancongan yang semakin berkembang akan memerlukan tambahan kemudahan kemudahan di kawasan tarikan pelancong sedia ada termasuk tandas dan ruang letak koc pelancong, teksi dan kereta sewa. Kemudahan-kemudahan sokongan lain seperti restoran dan kedai cenderamata juga akan disediakan atau dinaiktaraf dan prosedur penyelenggaraan di kawasan pelancong yang popular akan disemak seiring dengan peningkatan kehadiran pelancong.

Dasar:

TO 15: DBKL akan, bersama sama Majlis Tindakan Pelancongan Kuala Lumpur, menyelaraskan dengan agensi-agensi dan pihak-pihak berkuasa berkaitan untuk memastikan semua kawasan tarikan pelancongan utama disediakan dengan kemudahan yang berkualiti tinggi dan sentiasa diselenggara.


8.5 KEPERLUAN MASA HADAPAN
  335. Industri pelancongan bergantung kepada beberapa faktor luaran seperti keadaan ekonomi negara dan antarabangsa yang boleh mengubah unjuran pada jangka masa pendek ke sederhana. Walau bagaimanapun, berdasarkan kepada arah aliran jangka panjang, Kuala Lumpur menjangkakan purata peningkatan pelancong sebanyak lebih kurang 3 peratus setahun untuk 20 tahun akan datang.
  336.

Unjuran keperluan ruang lantai hotel adalah berasaskan unjuran peningkatan ketibaan pelancong dan ALS sebanyak 3.0 malam menjelang 2010. Pengagihan kemudahan hotel mencerminkan kesinambungan peranan Pusat Bandar Raya sebagai pusat pelancongan dan penekanan terhadap pelancongan sukan dan MICE di zon strategik Bukit Jalil - Seputeh.