Sempena dengan sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2023 Peringkat Kebangsaan yang telah diadakan pada 9 November 2023, Kuala Lumpur menerima Anugerah Penarafan Bandar Pintar – Smart City Early Adopter berdasarkan penilaian indikator dalam MS ISO 37122:2019.
YBrs. Encik Muhamad Azwal Bin Ab Azis, Pengarah Jabatan Pengurusan Maklumat (JPM) telah hadir mewakili Datuk Bandar untuk menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh YBhg. Datuk Wira M Noor Azman bin Taib, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menerima anugerah ini bersama-sama 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang lain yang mana program Penarafan Bandar Pintar ini telah bermula pada 17 Julai 2023 sehingga 31 Ogos 2023. Seterusnya penilaian bagi penarafan telah melalui beberapa jawatankuasa sebelum disahkan dalam Majlis Bandar Pintar Negara yang dipengerusikan oleh YB Menteri KPKT.
Untuk kesekian kalinya, Tahniah Kuala Lumpur!

