Seusai daripada mengadakan pertemuan bersama Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan, YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur telah mengadakan pertemuan bersama dengan Persatuan CityNet. Kehadiran Datuk Bandar telah disambut oleh Mdm Yongmin Chang Pengarah Program CityNet.
Dalam pertemuan tersebut, antara perkara yang disentuh adalah mengenai kepentingan dalam membangunkan modal insan terutamanya dalam cara berfikir bagi merealisasikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya global.
Selain itu, beliau juga turut berkongsi mengenai pengalaman beliau dalam memimpin organisasi antarabangsa sebelum beliau dilantik menjadi Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Datuk Bandar Kuala Lumpur juga turut membincangkan mengenai bentuk kerjasama yang boleh dilaksanakan oleh DBKL dan pertubuhan CityNet seperti kerjasama yang telah dilaksanakan iaitu sesi perkongsian kepakaran melalui program Kuala Lumpur Regional Training Centre.
Beliau juga turut membicarakan mengenai hala tuju bagi merapatkan hubungan Seoul dan Kuala Lumpur dengan mengadakan kerjasama lebih erat melalui agreement of action (AOA).
Persatuan CityNet merupakan persatuan antarabangsa yang komited terhadap pembangunan mampan di rantau Asia Pasifik.