Isu lif yang membelenggu penduduk di PA Desa Rejang sentiasa diberi perhatian yang serius oleh Dato’ Seri TPr. (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur. Pada 19 Disember 2024 lalu, beliau telah hadir ke lokasi bagi melihat dan bertemu dengan penduduk berhubung isu kerosakan lif di Blok D, PA Desa Rejang.
Hari ini beliau sekali lagi hadir ke lokasi bagi melihat status terkini kerja-kerja pembaikan lif di blok tersebut. Terkini, 1 unit lif telah siap dibaiki dan telah dibuka untuk kegunaan penduduk, manakala 2 unit lif lagi sedang dalam proses penggantian di fasa ke-2.
Pada lawatan tersebut, Datuk Bandar turut menyeru agar penduduk menjaga harta guna sama, khususnya lif, agar kemudahan tersebut dapat digunakan dalam jangka masa yang panjang. Beliau turut mengingatkan agar penduduk tidak menyalahgunakan kemudahan lif dengan membawa basikal atau motosikal ke dalam lif, membuang air kecil, merosakkan butang, menconteng, atau melakukan tindakan lain yang boleh merosakkan kemudahan tersebut.
Datuk Bandar turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di atas bantuan untuk menyegerakan proses pengeluaran Permit Mesin Angkat (PMA), yang menjadi komponen penting dalam memastikan lif dapat digunakan dengan selamat dan berfungsi dengan baik.
Lawatan ini menunjukkan komitmen Datuk Bandar terhadap kebajikan dan keselesaan penduduk, serta usaha berterusan DBKL untuk menangani isu-isu yang dihadapi oleh warga kota.



