DBKL Prihatin Ringankan Beban Puan Mary

KUALA LUMPUR (10 November 2020) – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini telah memberikan lesen penjaja sementara di tapak Jalan Desa Utama dan juga rumah PPR di PPR Seri Cempaka kepada Puan Mary @ Nurajahan Mariamah Abdullah.
 
Puan Mary telah hilang pekerjaan pada Mac lalu akibat pandemik Covid-19. Sejak itu beliau menampung kehidupan dengan menjual nasi lemak dan bihun menggunakan troli di sekitar Taman Desa. Mary yang telah kehilangan suaminya 6 tahun lalu turut memikul tanggungjawab dengan menjaga ibu dan 3 anaknya.
 
Menteri Wilayah Persekutuan, YB Tan Sri TPr Annuar Hj Musa yang juga Pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan DBKL telah mengambil inisiatif untuk membantu meringankan beban beliau dengan memberikan lesen tapak perniagaan sementara serta gerai bergerak (YWP) .
 
Bantuan yang diberikan kepada beliau selaras dengan matlamat inisiatif Wilayah Prihatin, di bawah kluster Cakna Asnaf, yang memberi fokus membantu warga Wilayah Persekutuan terutama sekali golongan B40 yang terjejas akibat pandemik Covid19.
 
Menurut YB Tan Sri Annuar, “Gerai penjaja bergerak ini disumbangkan oleh YWP. Lokasi tepi jalan ini selalunya tidak dibenarkan. Tetapi kerana KWP prihatin dengan keadaan beliau dan lokasi ini juga merupakan pilihan Puan Mary sendiri, maka atas rasa prihatin, DBKL telah meluluskan lesen perniagaannya berasaskan kategori Lesen Penjaja Sementara untuk Waktu Terhad (PKPP) dari jam 7.00 – 10.00 pagi khas bagi urusan jualan nasi lemak secara pandu lalu”.
 
“Manakala rumah PPR di Seri Cempaka yang disewa secara bulanan pada harga RM124/ sebulan adalah yang terbaik untuk beliau buat masa ini atas dasar kecemasan dan keperluan mendesak”, tambah beliau lagi.
 
“Bantuan ini menunjukkan inisiatif dan keprihatinan KWP supaya dapat menyumbangkan perkhidmatan serta bantuan bagi mempertingkatkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah di Wilayah Persekutuan serta selari dengan 13 teras utama konsep ‘Wilayah Prihatin”, ujar beliau lagi.
 
Turut hadir di sesi ini adalah Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Tn. Zaizalnizam Zainun dan Pengarah Eksekutif Sosio Ekonomi DBKL, Y.Bhg Datuk Ibrahim bin Yusoff.
serahan-lesen-pnmary-1
serahan-lesen-pnmary-2
serahan-lesen-pnmary-4
serahan-lesen-pnmary-5
Skip to content