DBKL Terus Komited Menangani Isu Gelandangan Di Kuala Lumpur

DBKL selaku agensi di bawah KWP sentiasa komited dalam menangani isu gelandangan di Kuala Lumpur dari semasa ke semasa. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan, antaranya adalah dengan mewujudkan Pusat Transit Gelandangan di Jalan Pahang dan Pusat Khidmat Gelandangan di Jalan Medan Tuanku.
 
Selaras dengan pelaksanaan PKP 2.0, DBKL sekali lagi turun padang untuk melaksanakan operasi menyelamat golongan gelandangan ini.
 
DBKL dengan kerjasama lain-lain agensi sahabat seperti PDRM, JKM, KKM, JIM, AADK telah turun ke lapangan pada lewat malam 23 Januari 2021 ( Sabtu) untuk memastikan gelandangan ini dapat diurus sewajarnya. Platform yang digunakan untuk mengendalikan isu ini adalah melalui Crisis Management Centre (CMC) yang diselaraskan oleh MKN.
 
Program malam ini adalah bertujuan untuk menyelamatkan golongan gelandangan ini dan menempatkan mereka di Pusat Sementara Gelandangan (PSG).
 
Operasi telah melibatkan 95 anggota penguatkuasa pelbagai agensi sahabat dan seramai 140 orang gelandangan telah berjaya diselamatkan. Datuk Bandar Kuala Lumpur telah turut serta dalam operasi ini untuk melihat situasi sebenar di lapangan.
 
Sebagai langkah keselamatan, mereka disaring dalam beberapa peringat terlebih dahulu mengikut tahap kesihatan sebelum dihantar ke PSG yang bersesuaian. Terdapat 2 PSG yang menempatkan golongan ini iaitu di PSG Sentul Perdana dan PSG Setiawangsa.
 
Mereka dijangka akan ditempatkan di PSG ini sehingga penghujung Februari 2021. Pada awal Mac 2021, mereka akan dibawa ke Pusat Transformasi Gelandangan di Taman Desa (Tapak bekas Desa Water Park) di mana mereka akan dibantu untuk mendapatkan pekerjaan.
 
Di sini, mereka akan diberi latihan kemahiran agar mudah bagi mereka untuk mendapat pekerjaan yang tetap bagi menyara hidup. Antara latihan yang dirancang adalah menjalankan pertanian bandar dan kemahiran lain yang bersesuaian.
 
Dalam waktu yang sama, DBKL juga sedang mencari penyelesaian yang total dalam menangani isu gelandangan ini termasuk menyediakan perlindungan untuk mereka.
Satu program yang lebih tersusun juga sedang dirangka bagi memudahkan pengurusan dari sudut pengagihan makanan kepada golongan ini oleh pihak NGO atau pihak persendirian. Sistem pengagihan makanan pada ketika ini dilihat tidak lagi sesuai dilakukan di pusat bandaraya kerana ia menyebabkan kesesakan lalulintas dan meninggalkan kesan negatif dari aspek pengurusan perbandaran. Satu pendekatan yang strategik akan dicari dengan mendapatkan kerjasama daripada NGO dan orang perseorangan yang ada menyumbang makanan ini.
 
Adalah diharap penyelesaian total dapat diperolehi dalam masa terdekat ini dengan kerjasama semua pihak.
Ops_Selamat_Gelandangan1
Ops_Selamat_Gelandangan2
Ops_Selamat_Gelandangan3
Ops_Selamat_Gelandangan4
ms_MYMS