DBKL Sentiasa Peduli

Kuala Lumpur, 20 Januari 2021- Hari ini merupakan hari pertama pelajar di Wilayah Persekutuan menghadirkan diri ke sekolah untuk tahun 2021.
 
Walaupun ianya tidak semeriah seperti tahun-tahun sebelumnya, namun bagi pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan BESAR tahun ini pastinya tidak sabar untuk menghadirkan diri.
Dalam keadaan negara masih berdepan dengan suasana pandemik covid-19, kerajaan telah memutuskan hanya pelajar SPM dan STPM tahun 2020 sahaja yang akan ke sekolah secara bersemuka biarpun dalam perasaan yang bercampur baur.
 
Prihatin dengan kesukaran rakyat dalam mengharungi situasi ini, DBKL dengan kerjasama KWP telah menyediakan perkhidmatan bas sekolah Percuma melalui Program MySchoolBus yang turut bermula hari ini.
 
Seramai 482 pelajar SPM dan SPTM yang layak telah dibawa pergi dan balik ke sekolah pada hari ini melibatkan 67 kawasan PA/PPR dan 91 kawasan perumahan swasta kos rendah.
 
Dalam menyediakan perkhidmatan bas sekolah ini, pengamalan SOP yang ketat tidak lupa dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan.
 
Pastinya keceriaan terserlah di wajah pelajar-pelajar ini kerana yakin DBKL telah berusaha memastikan mereka sentiasa berada dalam keadaan selamat sewaktu menuntut ilmu.
 
DBKL berharap program ini mampu memberikan sedikit kelegaan kepada para ibubapa serta pelajar ketika menggunakan perkhidmatan ini.
DBKL_SENTIASA_PEDULI2
DBKL_SENTIASA_PEDULI1
en_GBEN