Taman Rimba Bukit Kerinchi

Taman Rimba Bukit Kerinchi terletak berhampiran dengan kawasan pembangunan Pantai Hillpark, Jalan Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Mempunyai keluasan keseluruhan tapak, seluas 63.463 ekar. Taman ini telah dirasmikan oleh Y.B Dato’ Raja Nong Chik Bin Dato’ Raja Zainal Abidin ( Menteri Wilayah Persekutuan & Kesejahteraan Bandar ) pada 07 Julai 2012.

Topografi taman ini tidak rata, diliputi oleh hutan sekunder dan bekas ladang tanaman getah yang tidak diusahakan lagi. Pada amnya ia merupakan kawasan bukit yang berfungsi sebagai kawasan tadahan air dan telah digazetkan sebagai kawasan hijau.

Konsep pembangunan bagi taman ini adalah untuk mewujudkan sebuah taman awam yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan prasarana rekreasi dan riadah bagi semua golongan masyarakat dipelbagai peringkat umur. Rekabentuk pembangunan taman ini sangat mengambil kira keperluan pengguna dengan bercirikan konsep mesra pengguna, pembangunan mental dan fizikal dari sudut kesihatan diri.

Kemudahan-kemudahan asas yang disediakan adalah seperti taman permainan kanak-kanak, siarkaki, wakaf, tandas, tempat letak kenderaan dan sebagainya.

Bagi mereka yang berminat untuk menganjurkan aktiviti secara ’outdoor’ seperti aktiviti Hari Keluarga, Penggambaran, dan lain-lain, bolehlah membuat tempahan melalui Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi di talian 03-26176386 /6402.

Waktu taman dibuka adalah bermula dari jam 7.00 pagi hingga 7.00 malam setiap hari. Para pengunjung diharap dapat mematuhi Undang-Undang Kecil Taman 2012 untuk memastikan keselesaan semua.

en_GBEN