Hebahan Pendaftaran Kerja Undi Secara Atas Talian, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

Sukacita dimaklumkan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan menjalankan integrasi bagi modul kerja undi di bawah sistem e-Perolehan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang merangkumi pendaftaran pembekal (syarikat), pembaharuan maklumat pembekal, penyertaan cabutan kerja undi dan lain-lain yang berkaitan proses kerja undi. Sistem e-Perolehan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur boleh dilayari di pautan seperti berikut;

Pautan : https://eperolehan.dbkl.gov.my

2. Seiring dengan matlamat negara dalam membendung penularan wabak COVID-19 serta memperkasakan strategi pendigitalan penyampaian perkhidmatan kerajaan pasca-COVID-19, segala urusan pendaftaran baharu dan pembaharuan maklumat syarikat pembekal di kaunter Bahagian Pengurusan Perolehan di Tingkat 32, Menara DBKL 3 telah dihentikan bermula 4 Disember 2021 (Kenyataan Bagi Pendaftaran Kerja Undi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 26 November 2021). Penggunaan kad undi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur juga adalah tidak diperlukan. Pembekal boleh mendaftar baharu serta mendaftar masuk sistem e-Perolehan dan memuat naik sijil / dokumen berkaitan pada bila-bila masa mulai tarikh iklan ini disiarkan.

3. Bagi pendaftaran baharu pembekal kerja undi, pembekal perlu mendaftar di sistem e-Perolehan menggunakan alamat emel yang AKTIF, melengkapkan maklumat syarikat dan memuat naik dokumen-dokumen seperti berikut;

    • i) Perakuan Pendaftaran Kontraktor (PPK) oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) ;
    • ii) Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK) oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB);
    • iii) Sijil Taraf Bumiputera (STB) oleh Pusat Khidmat Masyarakat; dan
    • iv) Perakuan Pendaftaran Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)

4. Pendaftaran baharu sebagai pembekal kerja undi akan dikenakan caj sebanyak RM50.00 sekali pendaftaran. Bayaran pendaftaran hendaklah dibuat secara atas talian. Pengesahan pendaftaran baharu ini akan disahkan setelah maklumat syarikat lengkap diisi dan bayaran pendaftaran sebagai pembekal kerja undi berjaya dibuat.

5. Pembaharuan / pengemaskinian maklumat syarikat boleh dibuat pada bila-bila masa dengan mendaftar masuk menggunakan alamat emel dan kata laluan yang telah ditetapkan semasa pendaftaran baharu seperti di para 3.

6. Kepada pembekal yang telah berjaya disahkan seperti di para 3, 4 dan 5, pembekal boleh menyertai cabutan kerja undi secara atas talian apabila terdapat sebarang iklan kerja undi. Iklan kerja undi akan disiarkan di laman utama sistem e-Perolehan.

7. Satu video tutorial manual pengguna boleh dirujuk di sudut pautan laman utama sistem e-Perolehan. Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Bahagian Pengurusan Perolehan di talian 03-2617 6711 atau emel kepada eperolehan@dbkl.gov.my.