Profil Jabatan Undang - Undang dan Pendakwaan
Latar Belakang Jabatan
Jabatan Undang-Undang & Pendakwaan ditubuhkan sekitar tahun 1960-an dan dikenali dengan nama Bahagian Pendakwaan dan diletakkan di bawah Urusetia Bandaraya. Pada tahun 1970-an, ia dikenali pula dengan nama Bahagian Undang-Undang dan masih berada di bawah Urusetia Bandaraya. Pada tahun 1973, ia dijadikan sebuah jabatan yang tersendiri dengan nama Jabatan Undang-Undang dan ditukar pula kepada Jabatan Hal Ehwal Undang-Undang pada tahun 1976. Mulai 1 Julai 2011, jabatan ini dikenali sebagai Jabatan Undang-Undang & Pendakwaan.
Jabatan Undang-Undang & Pendakwaan diletakkan di bawah seliaan Datuk Bandar Kuala Lumpur mengikut Carta Organisasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sedia ada. Jabatan Undang-Undang & Pendakwaan terbahagi kepada dua (2) bahagian utama, iaitu :
- Bahagian Perancangan dan Pentadbiran Perundangan (BPPP); dan
- Bahagian Pelaksanaan Perundangan (BPP).
Visi
Menyediakan perundangan yang progresif dan efisien bagi membantu Datuk Bandar Kuala Lumpur ke arah menjadikan Bandaraya Kuala Lumpur bandaraya bertaraf dunia.
Misi
Menjaga kepentingan Datuk Bandar Kuala Lumpur dari segi undang-undang.
Hubungi Kami
- Telefon: 03-2617 9245
- Faks: 03-2691 8185
- Emel: jup[at]dbkl[dot]gov[dot]my
- Alamat: Tingkat 20 & 22, Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur.
Objektif
Jabatan Undang-Undang & Pendakwaan ditubuhkan dengan objektif berikut :
- Menjaga kepentingan Datuk Bandar Kuala Lumpur sebagai sebuah Perbadanan Tunggal dan Pihak Berkuasa Tempatan dari segi undang-undang dalam semua transaksi dan dokumentasi perundangan.
- Memberi perkhidmatan yang cekap kepada pelanggan-pelanggan dengan menjangkakan isu-isu perundangan dan membantu pentadbiran menyelesaikan isu-isu / masalah berdasarkan amalan pengurusan dan perundangan yang baik.
Fungsi
Jabatan Undang-Undang & Pendakwaan dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan fungsi-fungsi perundangan untuk pengurusan pentadbiran Bandar Raya Kuala Lumpur yang lebih mantap dan berkesan seperti berikut:
- Memberi nasihat undang-undang kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur dan jabatan-jabatan di dalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
- Penggubalan dan penyemakan semua perundangan yang dikuatkuasakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur.
- Menyediakan dokumen-dokumen kontrak dan instrumen-instrumen perundangan.
- Menjalankan pendakwaan berkaitan dengan kesalahan-kesalahan di bawah undang-undang yang dikuatkuasakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur.
- Menyelaraskan dan meneliti kes-kes berkaitan tuntutan sivil.
PIAGAM PELANGGAN
(a) PENGGUBALAN:
(1) Dokumen perundangan
(i) Menyediakan draf pertama perundangan dalam tempoh enam puluh (60) hari bekerja dari tarikh arahan diterima, sekiranya maklumat yang diterima adalah lengkap.
(2) Dokumen kontrak
(i) Menyediakan draf kerja dokumen kontrak dalam tempoh tiga puluh (30) hari bekerja dari tarikh permohonan bertulis penyediaannya dikemukakan oleh jabatan-jabatan.
(b) PENDAKWAAN:
(i) Menyemak aduan mahkamah yang diterima dari Jabatan Pelaksana dan mengemukakan sebarang ulasan dan arahan kepada Jabatan Pelaksana dalam tempoh tiga puluh (30) hari bekerja dari tarikh aduan lengkap diterima.
(ii) Memaklumkan keputusan kes kepada jabatan-jabatan yang berkenaan dalam tempoh tiga puluh (30) hari bekerja dari tarikh keputusan diterima dari Mahkamah.
(c) SIVIL:
(i) Melantik panel peguam untuk mewakili Datuk Bandar dalam tempoh lima (5) hari bekerja dari tarikh terima saman kes litigasi sivil terhadap Datuk Bandar Kuala Lumpur.
(ii) Memaklumkan keputusan kes-kes mahkamah kepada jabatan-jabatan yang berkenaan dalam tempoh lima (5) hari bekerja dari tarikh keputusan diterima.