Profil Jabatan Kawalan Bangunan

Latar Belakang Jabatan

Jabatan Kawalan Bangunan (JKB) melaksanakan fungsi kawalan bangunan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) melalui perwakilan kuasa oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Akta 133], Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] dan Undang-Undang Kecil Bangunan (WPKL) 1985 serta pindaan-pindaan yang berkuatkuasa.

Kawalan bangunan merangkumi aspek kelulusan, pemantauan pembinaan dan penguatkuasaan sebelum, semasa dan selepas bangunan siap dibina. Antara lain proses kawalan melibatkan pengeluaran kelulusan pelan bangunan, kebenaran mendirikan bangunan, permit kerja pengubahsuaian, permit bangunan sementara, permit struktur pemancar TELCO, permit kerja perobohan bangunan, permit kerja lebih masa, pemantauan tapak bina dari peringkat kerja pembinaan dimulakan sehingga Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dikeluarkan PSP.

Dalam aspek penguatkuasaan, JKB melaksanakan tindakan fizikal dan undang-undang terhadap kesalahan-kesalahan yang dilakukan dibawah Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dan Undang-Undang Kecil Bangunan (WPKL) 1985. Disamping itu JKB turut mengambil tindakan terhadap aduan awam, melaksanakan kerja-kerja meruntuhkan bangunan yang tidak diluluskan serta mengambil bahagian dalam menjalankan operasi-operasi khas yang dijalankan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kekukuhan struktur dan integriti bangunan-bangunan tinggi dalam WPKL dipantau dengan melaksanakan Penguatkuasaan Pemeriksaan Berkala mengikut Seksyen 85A Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Pindaan Akta A1286) dengan mengeluarkan notis kepada pemunya bangunan-bangunan tinggi yang melebihi 5 tingkat supaya mengemukakan Laporan Pemeriksaan Bangunan Visual/Struktur Secara Berkala setiap 10 tahun selepas CF atau CCC dikeluarkan.

Bangunan usang dan terbiar turut dikawalselia supaya dibersihkan atau dibaikpulih oleh pemunya dan program mengecat bangunan diselaraskan bagi memastikan semua bangunan dalam Bandaraya Kuala Lumpur bersih dan teratur.

Struktur organisasi jabatan terdiri daripada 3 bahagian utama:

  • Bahagian Kawalan Bangunan
  • Bahagian Penguatkuasaan Tapakbina, Permit dan Forensik Bangunan
  • Bahagian Pentadbiran dan Pengurusan Kualiti

JKB sentiasa berusaha mempertingkatkan sistem penyampaian dan perkhidmatan kepada warga kota dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya bertaraf dunia dan bandar raya lestari untuk generasi yang akan datang.

Visi

Ke arah menjadikan jabatan terunggul dalam mencapai hasrat DBKL sebagai bandar raya sejahtera untuk semua menjelang tahun 2030 dari aspek pembangunan.

Misi

Memberikan perkhidmatan yang efisien, cekap dan telus dari segi kawalan bangunan untuk semua warga kota Kuala Lumpur.

Hubungi Kami

  • Telefon: 03-2617 6641
  • Faks: 03-2698 3869
  • Emel: jkb[at]dbkl[dot]gov[dot]my
  • Alamat: Tingkat 26, 28 - 31, Menara DBKL 3, Bandar Wawasan,Jalan Raja Abdullah, 50300 Kuala Lumpur.

OBJEKTIF

  1. Melaksanakan perkhidmatan kawalan bangunan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur secara teratur dan efisyen serta mematuhi peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 dan Undang-Undang Kecil Bangunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1985).
  2. Memastikan fungsi jabatan dilaksanakan selaras dengan strategi Pelan Struktur Kuala Lumpur, Kelulusan Perancangan, Dasar, Polisi dan Garis Panduan yang berkuatkuasa.
  3. Memastikan perkhidmatan yang diberikan cekap dan mesra bertepatan dengan piagam pelanggan JKB.
  4. Memastikan sistem penyampaian perkhidmatan JKB diurus dan dilaksanakan dengan telus dan berkesan serta menepati dasar kualiti DBKL dan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2015

    FUNGSI

Melaksanakan kawalan dan pemantauan terhadap bangunan yang akan/sedang/telah dibina di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan:

  1. Mengeluarkan Kelulusan Pelan Bangunan / Kebenaran Mendirikan Bangunan / Permit selaras dengan keperluan Akta / Undang-Undang / Polisi dan Garis Panduan yang dikuatkuasakan
  2. Melaksanakan pemantauan dan kawalan tapak bina dari aspek keselamatan, kesihatan dan keselesaan serta mematuhi waktu bekerja selaras dengan kehendak undang-undang dan peraturan serta memproses permohonan kerja lebih masa sekiranya perlu meluluskan
  3. Mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pembinaan yang menyeleweng dari pelan yang diluluskan
  4. Memantau dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pembangunan yang telah disiapkan dan diduduki / digunakan tanpa mengemukakan CF/CCC
  5. Memastikan pemeriksaan bangunan secara berkala dilaksanakan oleh pemilik bangunan-bangunan yang melebihi lima (5) tingkat selepas sepuluh (10) tahun CF/CCC dikeluarkan
  6. Mengenalpasti, memantau dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap bangunan using, terbiar dan kotor
  7. Mengeluarkan kelulusan permit telco selaras dengankeperluan Akta / Undang-Undang / Polisi dan Garis Panduan yang dikuatkuasakan
  8. Membuat pengesyoran lesen premis bagi yang telah mematuhi undang-undang kecil bangunan WPKL
  9. Menguatkuasakan penyediaan kemudahan aksesibiliti ke atas bangunan bagi keperluan Orang Kurang Upaya (OKU) selaras dengan kehendak rekabentuk sejagat
  10. Mengambil tindakan dan memantau aduan awam serta memberi maklumbalas dalam tempoh yang ditetapkan
  11. Memastikan notis dan kompaun yang dikeluarkan dipatuhi serta memantau sehingga penyediaan kertas siasatan untuk dibawa ke makhamah sekiranya berkaitan
  12. Menyediakan Garis Panduan Jabatan Kawalan Bangunan mengikut keperluan semasa atau arahan dari pengurusan atasan DBKL
Skip to content