Kenyataan Akhbar : Majlis Perasmian Laporan Kajian Perancangan Wilayah Persekutuan

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ingin memaklumkan bahawa Jabatan Perancangan Bandaraya telah menghasilkan Laporan Kajian Perancangan Wilayah Persekutuan bagi Pelan Induk Bandar Pintar Kuala Lumpur 2021-2025 dan Pelan Tindakan Iklim KualaLumpur 2050.

Pelan Induk Bandar Pintar Kuala Lumpur 2021-2025 merupakan dokumen yang mengandungi inisiatif DBKL dalam menaiktaraf perkhidmatan teknologi khususnya bagi penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat yang merangkumi pembangunan ekonomi dan mobiliti  sosial. 

Manakala Pelan Tindakan Iklim Kuala Lumpur 2050 merupakan kesinambungan kepada usaha berterusan DBKL menerusi program-program yang telah diperkenalkan dalam Pelan Induk Masyarakat Rendah Karbon Kuala Lumpur 2030 dalam memerangi perubahan iklim yang dihadapi oleh KualaLumpur kini. Kuala Lumpur kini tidak terkecuali dari menghadapi cabaran kota. Cabaran ini termasuklah dari segi perancangan, pembangunan, alam sekitar, teknologi, penguatkuasaan dan lain-lain. Oleh itu, kajian-kajian perancangan seperti ini akan menjadi platform terbaik kepada Kuala Lumpur dalam menghadapi cabaran kota.

Kehidupan masyarakat kini berkait rapat dengan arus teknologi yang menjadi elemen penting dalam revolusi industri 4.0 yang telah mempengaruhi cara pergerakan, bekerja serta mendapatkan maklumat. Pembangunan pesat Kuala Lumpur dengan kemajuan teknologi ini sering juga diduga dengan kejadian banjir kilat,ribut taufan dan tanah runtuh yang merupakan kesan daripada perubahan iklim kepada KualaLumpur.

Sehubungan itu, DBKL tidak lagi bekerja sendiri. DBKL dan agensi-agensi kerajaan lain,universiti tempatan dan masyarakat Kuala Lumpur telah bersama-sama membantu DBKL menghasilkan laporan kajian ini.

Pelbagai usaha oleh DBKL telah pun dilaksanakan seperti perlaksanaan program bersama komuniti bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dari pelbagai aspek menerusi Local Agenda 21 Kuala Lumpur agar ‘no one left behind’.

Usaha seperti ini amatlah penting bagi menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar pintar dan mencapai sasaran pengurangan pelepasan gas rumah hijau yang mendokong matlamat ‘Sustainable Develpoment Goals’ (SGDs).

Kajian ini akan menjadi asas kepada usaha dan program-program yang akan dilaksanakan oleh DBKL dalam mencapai matlamat kelestarian dan kemampanan Kuala Lumpur untuk masa hadapan.

Laporan ini akan dikongsi kepada semua pihak berkepentingan dan warga kota pada awal tahun hadapan. 

Sekian, terima kasih.

DATO’ NOR HISHAM BIN A. DAHLAN
Datuk Bandar Kuala Lumpur

28 September 2020

ms_MYMS
ms_MYMS en_GBEN