Operasi Tindakan Khas Berikutan Aduan Awam Terhadap Hotel Yang Menjalankan Aktiviti Tidak Bermoral

KUALA LUMPUR, SELASA 19 JANUARI 2021 – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Jabatan Penguatkuasaan (JPK) dengan kekuatan 5 orang pegawai dan 21 orang lain-lain pangkat telah melaksanakan Operasi Tindakan Khas Aduan Awam terhadap premis hotel yang menawarkan dan menjalankan aktiviti tidak bermoral di Setapak, Kuala Lumpur.
 
Hasil risikan yang telah dijalankan sebelum ini di lokasi telah membuahkan hasil dengan pembuktian 24 orang wanita warganegara Vietnam, Thailand dan Indonesia yang menjalankan aktiviti pelacuran dengan menggunakan perkhidmatan bilik hotel.
 
Tindakan Khas ini diambil di bawah Seksyen 29 Akta Hotel (WPKL) 2003 kerana melanggar syarat umum lesen hotel dengan membenarkan pelanggan-pelanggan yang menginap di premis hotel menjalankan / melakukan kerja berunsurkan pelacuran atau tidak bermoral.
 
Turut disita barang-barang berkaitan aktiviti pelacuran iaitu kondom dan bahan pelincir. Kesemua barangan yang disita telah dihantar ke setor sitaan DBKL untuk proses dokumentasi.
 
Sejumlah 1 Notis Pemberitahuan Tentang Kesalahan Akta Hotel (WPKL) 2003 Seksyen 29 di bawah kesalahan melanggar syarat lesen dan 1 notis tawaran Kompaun di bawah Undang Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016 atas kesalahan tidak memiliki lesen petempatan makanan (restoran/café) dari Datuk Bandar Kuala Lumpur.
 
Tangkapan ditahan sementara bagi tujuan dokumentasi.
Tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan mengikut SOP dan peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan oleh pihak DBKL.
 
Operasi khas seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa.
Maklumat daripada orang awam adalah amat dihargai dan diucapkan terima kasih.
OPERASI_TINDAKAN_KHAS_BERIKUTAN_ADUAN_AWAM_TERHADAP_HOTEL_YANG_MENJALANKAN_AKTIVITI_TIDAK_BERMORAL
OPERASI_TINDAKAN_KHAS_BERIKUTAN_ADUAN_AWAM_TERHADAP_HOTEL_YANG_MENJALANKAN_AKTIVITI_TIDAK_BERMORAL_1
OPERASI_TINDAKAN_KHAS_BERIKUTAN_ADUAN_AWAM_TERHADAP_HOTEL_YANG_MENJALANKAN_AKTIVITI_TIDAK_BERMORAL_3
OPERASI_TINDAKAN_KHAS_BERIKUTAN_ADUAN_AWAM_TERHADAP_HOTEL_YANG_MENJALANKAN_AKTIVITI_TIDAK_BERMORAL_4
ms_MYMS