Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ingin memaklumkan bahawa Jalan Masjid India, yang sebelum ini terlibat dengan insiden lubang benam pada 23 Ogos 2024, kini telah dibuka sepenuhnya kepada orang awam.
Insiden tersebut membabitkan seorang mangsa, wanita warganegara India, Puan Vijaya Lakshmi yang berusia 48 tahun. Selepas sembilan hari, operasi mencari dan menyelamat telah dihentikan dan mangsa gagal ditemui. Fasa berikutnya, kerja-kerja telah diteruskan kepada operasi pemulihan dan pembaikan. Alhamdulillah, dengan kesungguhan semua pihak, kerja-kerja pemulihan dan pembaikan ini telah berjaya disiapkan lebih awal berbanding jadual asal iaitu pada Februari 2025.
Susulan insiden ini, DBKL telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menilai keselamatan struktur tanah, menyediakan cadangan teknikal, mengkoordinasi tindakan pelbagai agensi dan pada masa yang sama untuk menangkis persepsi negatif yang timbul. Antara agensi luar yang terlibat adalah Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Kerja Raya (Cawangan Kejuruteraan Geoteknik), Institusi Jurutera Malaysia serta Pertubuhan Geoteknikal Malaysia.
Pasukan Khas yang dibentuk telah bermesyuarat lebih dari 5 kali secara fizikal dan maya dan yang terakhir pada 18 Disember 2024 yang lalu, bagi membincangkan penyediaan Laporan Akhir Insiden Lubang Benam. Ulasan daripada ahli Pasukan Khas ini telah diterima dan dikumpulkan oleh DBKL.
DBKL sedang membuat penelitian terhadap keseluruhan isi kandungan laporan dan setelah itu laporan tersebut akan dikemukakan ke Kabinet pada awal tahun 2025 sebelum disahkan untuk disiarkan kepada umum.
Sepanjang tempoh fasa pemulihan dan pembaikan, pemeriksaan terperinci telah dilaksanakan melibatkan kerja-kerja penyiasatan tanah secara deep boring bagi mendapatkan profail tanah di sekitar Jalan Masjid India. Sebanyak 4 ujian deep boring telah dijalankan bagi menentu ukur lapisan tanah dan hasil dapatan telah dimasukkan di dalam laporan akhir Insiden Jalan Masjid India.
Selain itu, beberapa kerja telah dilaksanakan termasuk baik pulih saluran kumbahan yang rosak oleh pihak Indah Water Konsortium (IWK), kerja-kerja pembaikan kemasan siar kaki di “Ground Zero” yang rosak serta pembaikan dan naik taraf saluran longkang di kawasan sekitar Wisma Melayu dan Jalan Masjid India yang telah disiapkan oleh DBKL. Pihak syarikat utiliti seperti syarikat telekomunikasi juga telah membaikpulih aset-aset mereka di kawasan tapak insiden tersebut.
Sebagai langkah proaktif DBKL turut melakukan pemantauan secara visual di kawasan-kawasan sekitar insiden secara berkala. Pemeriksaan seumpama ini akan terus dijalankan oleh DBKL bersama pihak Syarikat Utiliti dari semasa ke semasa bukan hanya di Jalan Masjid India malahan meliputi seluruh bandar Kuala Lumpur bagi menjamin keselamatan warga Kuala Lumpur. Peruntukan sebanyak RM10 juta yang diberikan oleh Kerajaan Pusat kepada DBKL untuk tahun 2025, akan digunakan untuk melaksanakan kajian geoteknikal dan pengesanan utiliti di kawasan pusat perniagaan bandar bagi mencegah kejadian yang sama daripada berulang.
DBKL ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam operasi pemulihan ini. Selain itu, DBKL juga amat menghargai kesabaran dan kerjasama orang ramai sepanjang tempoh kerja-kerja pemulihan ini dijalankan. Dengan pembukaan semula Jalan Masjid India, DBKL bertekad untuk terus menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang selamat, mampan, dan selesa untuk didiami.
Sekiranya terdapat tanda-tanda mendapan di rezab jalan awam atau wujudnya lubang benam, orang ramai boleh membuat aduan melalui portal Adu@KL atau menghubungi talian skuad penyelamat di talian 03-40106337.



