Taman Bukit Jalil seluas 20.23 hektar menawarkan istirehat, pendidikan alam semulajadi dan keseronokan kepada pengunjung yang datang beriadah sambil melihat keindahan tasik buatan yang menyejukkan pemandangan di taman tersebut.
Tapak Taman Bukit Jalil ialah bekas kawasan kebun getah berbukit dengan permukaan bumi yang berlereng, berlembah dan lurah rendah. Keadaan topografi, tumbuhan dan saliran di kawasan ini merupakan ciri asal yang perlu dikekalkan dan sesuaikan dengan rekabentuk landskap yang disediakan.
Terletak di selatan Kuala Lumpur, pengunjung mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk sampai ke Taman Bukit Jalil dari pusat bandaraya sejauh 25 km. Taman ini juga turut menyediakan kemudahan-kemudahan bagi pengunjung seperti peralatan senam riang, taman permainan kanak-kanak, wakaf, perabut taman, tandas, tempat letak kenderaan dan lain-lain.
Bagi mereka yang berminat untuk menganjurkan aktiviti secara ’outdoor’ seperti aktiviti Hari Keluarga, Penggambaran dan lain-lain, bolehlah membuat tempahan melalui Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi di talian 03-2617 6393.
Waktu taman dibuka adalah bermula dari jam 6.00 pagi hingga 7.00 malam setiap hari. Para pengunjung diharap dapat mematuhi Undang-Undang Kecil Taman 2012 untuk memastikan keselesaan semua.