Taman Tasik Metropolitan Kepong
Taman Tasik Metropolitan Kepong merupakan taman rekreasi terbesar di Kuala Lumpur. Ia terletak di sebelah utara Kuala Lumpur. Keluasan keseluruhan taman ini ialah 218.8 ekar di penuhi dengan landskap menghijau, kelengkapan riadah, istirehat, kawasan lapang dan tasik yang luas.
Antara kemudahan yang disediakan di taman ini adalah seperti Rumah Sampan dan Jeti untuk aktiviti air khususnya bagi penglibatan program badan-badan beruniform seperti Penguatkuasa DBKL, Bomba, Persatuan-persatuan berkaitan untuk membuat latihan kemahiran ketahanan di dalam air seperti ‘boating’, scuba, kayak dan sebagainya. Turut disediakan bilik persalinan dan tandas awam di Rumah Sampan.
Selain itu, sejauh 3.5km laluan siar kaki disediakan bagi kegunaan secara bersama untuk berbasikal, berjogging dan berjalan. Peralatan senam riang pula disediakan untuk pengunjung yang gemar melakukan aktiviti sihat dan bersenam. Setiap peralatan senam riang dilengkapi dengan panduan pengguaan secara khusus seperti senaman untuk bahagian bawah badan, bahagian atas badan, abdomen, kardio dan sebagainya.
Kemudahan peralatan permainan kanak-kanak seperti set permaian integerasi, papan luncur, buaian, jongkang-jongkit, alatan memanjat dan sebagainya disediakan untuk kegunaan kanak-kanak berusia 2 sehingga 12 tahun. Pengunaan alatan permaian oleh kanak-kanak haruslah dibawah pemantauan ibubapa dan penjaga.
Terdapat 3 buah menara tinjau telah dibina di Taman Tasik Metropolitan Kepong. Ianya dibina untuk pengunjung menghayati dan meninjau keindahan taman dari paras tinggi. Pengunjung akan dapat melihat secara keseluruhan taman dari atas menara tinjau dan berswa foto dari aras ini.
Terdapat satu kawasan pentas terbuka amphitheatre telah dibina untuk pengunjung melakukan pelbagai aktiviti terbuka khususnya bagi penganjuran program dan persembahan. Disediakan bangku berteres kepada pengunjung agar dapat duduk melihat amphitheatre secara terbuka.
Sebuah padang juga disediakan bagi pengunjung yang berhasrat untuk melakukan sukan bola sepak atau acara sukan lain yang berkaitan. Kawasan padang juga berdekatan dengan kawasan parkir bagi memudahkan pengguna melakukan acara berkaitan.
Waktu taman dibuka adalah bermula dari jam 6.00 pagi hingga 7.00 malam setiap hari. Pengunjung diharap dapat mematuhi Undang-Undang Kecil Taman 2012 untuk memastikan keselesaan semua.





