YAB Perdana Menteri Luncur Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040

Pada hari ini, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia telah menyempurnakan Majlis Peluncuran Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) bertempat di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
 
PSKL 2040 telah diwartakan pada Oktober 2023 bagi menggantikan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 (PSKL2020) sebagai dokumen perancangan masa hadapan Kuala Lumpur dalam memacu pembangunan strategik ibu negara Malaysia secara indikatif sehingga 2040. Pelan ini akan berkuatkuasa mulai 23 November 2023.
 
PSKL2040 menterjemah wawasan jangka panjang dengan visi ‘Bandar Untuk Semua’. Pelan ini merupakan rangka tindakan komprehensif yang mengambil kira perubahan semasa dan masa hadapan seperti perubahan iklim, ekonomi, demografi, gaya hidup dan infrastruktur Kuala Lumpur mendepani persaingan antarabangsa pada abad ke-21.
 
Pelan ini akan diguna pakai oleh DBKL dalam membuat keputusan perancangan dan permohonan perancangan bangunan, pembangunan infrastruktur dan menjalankan kerja-kerja berkaitan dengan pembangunan bandar raya. Dokumen ini menyediakan rangka kerja pentadbiran dan panduan kepada DBKL dalam melaksanakan fungsi sebagai pihak berkuasa tempatan.
 
Dokumen PSKL2040 boleh diperolehi atau dibeli mulai 23 November 2023. Seterusnya, Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) akan dibuka untuk pandangan awam pada suku pertama tahun 2024 selaras dengan peruntukan seksyen 14, Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267)”.
 
Hadir sama dalam majlis tersebut adalah, YAbhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah binti Dr. Wan Ismail, Isteri kepada YAB Perdanan Menteri, YB Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil, Menteri Komunikasi dan Digital merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, YBhg. Datuk Awang Alik bin Jeman, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, YBhg Dato’ Indera Noridah binti Abdul Rahim, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan dan YBhg. Datuk Sr Hj. Kamarulzaman bin Mat Salleh, Datuk Bandar Kuala Lumpur.
401144407_883441850011172_1673147585274897654_n
399876034_883441823344508_4444783144107927665_n
401157440_883441920011165_6826477173657515049_n
399844722_883441886677835_1386845882999473108_n
Skip to content