Default Banner

Cerita Kota, Cerita Kita | Hormati Giliran, Lancarkan Perjalanan

Utama / Berita & Acara / Cerita Kota, Cerita Kita | Hormati Giliran, Lancarkan Perjalanan

September 6th, 2026 by Admin JPRK

Kuala Lumpur ialah sebuah bandar raya yang sentiasa bergerak. Setiap pagi dan petang, ribuan kenderaan berkongsi jalan untuk ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah, menjalankan urusan harian dan pulang ke rumah.

Dalam memastikan pergerakan ini kekal lancar dan selamat, pelbagai usaha terus dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), termasuk penambahbaikan infrastruktur jalan, pengurusan trafik serta pemantauan keadaan lalu lintas.

Namun, kelancaran jalan raya bukan bergantung kepada infrastruktur dan pengurusan trafik semata-mata. Sikap kita sebagai pengguna jalan raya turut memainkan peranan.

Antara perkara yang sering menguji kesabaran ialah apabila ada pemandu yang memilih untuk memotong barisan dengan menyelit di saat akhir ketika pengguna lain sudah lama menunggu giliran.

Mungkin niatnya sekadar mahu cepat beberapa minit. Tetapi tindakan kecil ini boleh menyebabkan kenderaan lain membrek secara mengejut, mengganggu aliran trafik dan menyebabkan kesesakan menjadi lebih panjang. Lebih buruk, ia boleh meningkatkan risiko kemalangan serta mencetuskan kemarahan dan tindakan agresif di jalan raya.

Bayangkan jika setiap orang memilih untuk melakukan perkara yang sama. Jalan yang sepatutnya bergerak secara teratur akhirnya menjadi berserabut dan semua orang terpaksa menunggu lebih lama.

Sebab itu, membina Kuala Lumpur yang lebih selesa bukan hanya tentang membina jalan atau mengurus trafik dengan lebih baik. Ia juga tentang membina budaya warga kota yang saling menghormati.

Kekal di lorong yang betul. Beri isyarat lebih awal. Tunggu giliran dan bertolak ansur sesama pengguna jalan raya. Apabila kita menghormati giliran, perjalanan menjadi lebih teratur, risiko kemalangan dapat dikurangkan dan tekanan di jalan raya juga dapat diminimumkan.

Sedikit sabar daripada setiap daripada kita mampu memberi keselesaan kepada ramai.

Kuala Lumpur milik kita bersama.

Hormati giliran, lancarkan perjalanan, jaga keselamatan.

793893006 1114380421265814 6015538571309576197 n