Default Banner

DBKL Anjur Sesi Townhall Bersama Komuniti Pelari Dan Penganjur Acara Larian

Utama / Berita & Acara / DBKL Anjur Sesi Townhall Bersama Komuniti Pelari Dan Penganjur Acara Larian

June 13th, 2026 by Admin JPRK

Aktiviti larian kini semakin berkembang sebagai budaya hidup sihat yang mendapat sambutan meluas dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda. Seiring dengan perkembangan ini, ruang awam dan laluan bandar turut dimanfaatkan sebagai lokasi rekreasi yang aktif dan inklusif.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini telah menganjurkan Sesi Townhall YB Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) bersama pengurus-pengurus acara larian serta wakil kelab-kelab pelari dari Kuala Lumpur dan Lembah Klang bagi mendapatkan pandangan, maklum balas serta cadangan berkaitan pembangunan ekosistem aktiviti larian dan rekreasi di ibu negara.

Turut hadir YBhg. Datuk Seri TPr Fadlun bin Mak Ujud, Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Sesi townhall ini menjadi platform penting untuk mendengar pandangan komuniti pelari mengenai pelbagai isu, cabaran dan keperluan yang dihadapi dalam melaksanakan aktiviti larian sama ada pada waktu siang mahupun malam. Peserta turut diberikan ruang untuk mengemukakan cadangan dan maklum balas ke arah memperkukuh pembangunan ekosistem aktiviti larian dan rekreasi di Kuala Lumpur.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk aspek keselamatan laluan larian, kesesuaian serta kebolehcapaian kemudahan untuk komuniti pelari, keberkesanan penganjuran acara-acara larian di Kuala Lumpur serta cadangan penambahbaikan terhadap infrastruktur dan kemudahan awam yang menyokong gaya hidup aktif.

Penganjuran sesi ini mencerminkan usaha berterusan DBKL dalam menghidupkan ruang awam melalui aktiviti sihat dan berimpak positif yang mampu memperkukuh interaksi sosial, meningkatkan kesejahteraan komuniti serta menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang lebih mesra rekreasi dan aktif.

Selain itu, program KL Car Free Morning yang diadakan pada setiap hari Ahad terus menjadi antara produk utama DBKL dalam menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti riadah dan gaya hidup sihat, di samping mengoptimumkan penggunaan ruang awam secara lebih inklusif.

Komitmen berterusan daripada semua pihak diyakini mampu menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang lebih sihat, selamat, aktif dan berdaya huni selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

logo dbkl
background grey

Hubungi Kami

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut 50350 Kuala Lumpur, Malaysia

03 2617 9000

03 2698 0460

dbkl@dbkl.gov.my

Jumlah Pelawat

Hari Ini:

0

Keseluruhan:

0

Kemaskini Terakhir:

23/06/2026

Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox , Google Chrome, Internet Explorer 11 ke atas

Hak Cipta Terpelihara. © 2023 - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)

ISO