June 23rd, 2025 by Admin JPRK
Pada hari ini telah berlangsungnya Sesi Town Hall Belanjawan DBKL 2026 bertempat di Dewan Perdana Mestika, Institut Latihan DBKL, yang telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Program ini menjadi platform penting buat warga kota menyuarakan harapan, cadangan dan keperluan bagi membentuk belanjawan yang lebih inklusif, responsif dan berimpak tinggi. Pendekatan ini sejajar dengan aspirasi #BajetKita iaitu belanjawan yang berpaksikan rakyat dan keutamaan tempatan.
Sesi pagi dimulakan dengan dialog terbuka bersama pelbagai pemegang taruh termasuk Ahli Parlimen, Majlis Perwakilan Penduduk, persatuan profesional, NGO dan komuniti. Manakala pada sesi petang, perbincangan kumpulan tumpu (Focus Group Discussion) telah dijalankan secara terperinci mengikut 11 kawasan Parlimen di Kuala Lumpur.
Datuk Bandar turut berkongsi lima keutamaan utama di bawah Program Flagship DBKL dan pelaksanaan visi CHASE CITY, yang memacu Kuala Lumpur sebagai bandar raya yang bersih, sihat, maju, selamat dan mesra alam. Inisiatif seperti Dialog Bandar Raya 2025 dan pelancaran Tabung Endowmen DBKL pada Julai ini turut diumumkan sebagai pelengkap kepada usaha memperkasakan kesejahteraan sosial dan pembangunan mampan.
DBKL juga menyasarkan Belanjawan Seimbang 2026 dengan menekankan perbelanjaan berimpak tinggi, pengurusan kewangan berhemah dan pengukuhan hasil melalui inovasi serta kerjasama strategik.
Setiap pandangan dan cadangan yang dikongsikan hari ini adalah bukti jelas bahawa masa depan Kuala Lumpur dibentuk oleh suara warganya sendiri dalam menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar yang berdaya huni dan disayangi.
Melalui prinsip 4P – Public, Private, People, Partnership, DBKL percaya bahawa kerjasama erat antara semua pihak adalah kunci kepada pembangunan yang lebih inklusif, mampan dan berdaya tahan.
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox , Google Chrome, Internet Explorer 11 ke atas
Hak Cipta Terpelihara. © 2023 - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)