Default Banner

DBKL Di Hicks Flat, Bukit Bintang

Utama / Berita & Acara / DBKL Di Hicks Flat, Bukit Bintang

July 1st, 2026 by Admin JPRK

Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Datuk TPr. Fadlun bin Mak Ujud pagi ini telah turun padang ke Hicks Flat, Bukit Bintang bagi meninjau sendiri keadaan di lokasi susulan aduan serta kebimbangan yang dibangkitkan oleh penduduk dan orang awam.

Sebelum ini, DBKL telah melaksanakan beberapa tindakan di lokasi berkenaan termasuk kerja-kerja pembersihan serta operasi penguatkuasaan bersama agensi berkaitan terhadap pelbagai pelanggaran undang-undang yang dikenal pasti. Hasil lawatan pagi ini bagaimanapun menunjukkan masih terdapat beberapa perkara yang memerlukan tindakan susulan bagi memastikan keadaan persekitaran terus bertambah baik.

Sehubungan itu, Datuk Bandar telah mengarahkan kerja-kerja pembersihan dilaksanakan dengan kadar segera sebagai tindakan awal bagi memperbaiki keadaan di kawasan berkenaan.

Pada masa yang sama, Pesuruhjaya Bangunan (COB) DBKL akan memanggil Badan Pengurusan Bersama (JMB) Hicks Flat untuk mengadakan satu sesi perbincangan khas yang akan dipengerusikan sendiri oleh Datuk Bandar. Sesi tersebut bertujuan mengenal pasti punca isu yang berbangkit, memperjelaskan tanggungjawab setiap pihak serta menyelaras pelan tindakan yang lebih tersusun khususnya berkaitan aspek kebersihan, penyelenggaraan bangunan dan pengurusan kawasan.

Memandangkan Hicks Flat merupakan sebuah bangunan strata, penyelesaian isu ini memerlukan komitmen semua pihak. Selain tindakan oleh DBKL, badan pengurusan bangunan, pemilik, penghuni dan agensi berkaitan turut memainkan peranan penting dalam memastikan bangunan diurus dengan baik demi keselesaan semua.

Penduduk berhak menikmati persekitaran yang bersih, selamat dan terurus. Justeru, lawatan ini bukan noktah kepada isu yang dibangkitkan, sebaliknya menjadi permulaan kepada tindakan yang lebih tersusun bersama semua pihak yang bertanggungjawab agar penambahbaikan yang dilaksanakan dapat dikekalkan.