Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia (JSPT PDRM), melaksanakan tindakan Operasi Bersepadu Pemandu Bukan Warganegara (Ops PBW) Siri1 Tahun 2026 sekitar Jalan 2/3a, Jalan 6/3a dan Jalan 9/3a di Pusat Bandar Utara, Pasar Borong Kuala Lumpur pada Khamis, 2 Julai 2026.
Operasi Bersepadu Pemandu Bukan Warganegara (Ops PBW) ini dijalankan bagi membuat tindakan penguatkuasaan ke atas mana-mana individu atau pemandu atau pemilik-pemilik kenderaan yang melakukan pelbagai kesalahan am melibatkan memandu tanpa lesen, kenderaan tamat lesen memandu tidak sah, cukai jalan tamat tempoh, ketiadaan perlindungan insurans, pelanggaran spesifikasi teknikal kenderaan, membuat halangan lalulintas, memandu secara merbahaya, pemandu warga negara asing termasuk pemegang kad UNCHR dan lain-lain pelanggaran kesalahan jalan raya.
Menerusi operasi bersepadu ini, DBKL telah mengeluarkan 8 notis kompaun, JSPT PDRM mengeluarkan 15 notis kompaun dan JPJ telah mengeluarkan 136 notis kompaun pelbagai kesalahan lalulintas kepada pemandu dan pemilik kenderaan menerusi Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
JPJ turut membuat sitaan terhadap 20 buah kenderaan yang melakukan kesalahan lalulintas melibatkan 7 buah ‘forklift’, 3 buah motokar, 8 buah motosikal dan 2 buah motosikal elektrik termasuk kenderaan yang dipandu oleh warga negara asing tanpa dokumen sah. Kesemua kenderaan yang di sita, dipindahkan ke JPJ Wangsa Maju untuk tindakan dokumentasi selanjutnya.
DBKL akan meneruskan operasi bersepadu dan pemantauan dari semasa ke semasa. Sebarang aduan atau maklumbalas, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat dipautan tertera seperti berikut.
https://adukl.dbkl.gov.my/