Default Banner

DBKL Perkasa Kebersihan Premis Makanan Dan Gaya Hidup Sihat Komuniti Kampong Bharu

Utama / Berita & Acara / DBKL Perkasa Kebersihan Premis Makanan Dan Gaya Hidup Sihat Komuniti Kampong Bharu

August 18th, 2026 by Admin JPRK

Usaha memperkukuh amalan kebersihan premis, keselamatan makanan dan gaya hidup sihat dalam kalangan peniaga serta komuniti Kampong Bharu terus diperkasa menerusi Program Pemerkasaan Kebersihan Premis dan Keselamatan Makanan Peniaga serta Gaya Hidup Sihat Komuniti Kampong Bharu yang berlangsung pada 16 Ogos 2026 di Laman@Pusat Komuniti Kg. Sungai Baru, Kampong Bharu.

Program anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) ini mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan seramai 135 orang yang terdiri daripada warga kerja DBKL, agensi luar, peniaga serta penduduk komuniti Kampong Bharu.

Program telah dirasmikan oleh Dr. Azaruddin bin Husin, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Kesihatan Persekitaran, DBKL, dan memberi penekanan kepada peningkatan kesedaran serta pengetahuan peniaga berkaitan kebersihan premis, keselamatan makanan, pematuhan syarat pelesenan dan amalan gaya hidup sihat.

Pelbagai pengisian turut dilaksanakan termasuk aktiviti senamrobik, ceramah kebersihan premis dan pengendalian makanan, penerangan berkaitan penggunaan produk biodegradasi serta pengurangan plastik sekali guna, selain pameran kesihatan, Program 1C1R, suntikan tifoid dan saringan kesihatan menerusi Bas Medik Xpress.

Pelaksanaan program ini bukan sahaja memperkukuh kesedaran peniaga terhadap kepentingan penyediaan makanan yang bersih dan selamat, malah turut menggalakkan penglibatan komuniti dalam membudayakan persekitaran yang lebih sihat, bersih dan lestari.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan DBKL dalam memperkukuh kerjasama bersama PKB, peniaga dan komuniti bagi memastikan kesejahteraan serta kualiti persekitaran kehidupan warga kota terus diberi keutamaan.