Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan projek naik taraf Kompleks Krematorium DBKL di Jalan Kuari, Cheras bagi mengurangkan tempoh menunggu waris dan meningkatkan kualiti perkhidmatan penghormatan terakhir kepada komuniti bukan Islam. Projek bernilai RM45 juta ini telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), Rancangan Pertama (RP1) Tahun 2026.
Beroperasi sejak tahun 1977, Kompleks Krematorium DBKL merupakan antara kemudahan krematorium awam terbesar di Malaysia dengan purata 5,844 operasi kremasi setiap tahun. Seiring peningkatan permintaan, projek ini akan menambah jumlah mesin kremator daripada tujuh kepada 10 unit sekali gus meningkatkan kapasiti harian daripada 18 kepada 27 operasi kremasi.
Projek yang kini berada di peringkat pra-pelaksanaan dijangka siap pada tahun 2029. Ia turut merangkumi penaiktarafan ruang menunggu dan kemudahan sokongan yang lebih moden, selesa dan mesra pengguna. Sepanjang tempoh pembinaan, DBKL akan menyediakan empat unit mesin kremator sementara bagi memastikan operasi kepada masyarakat tidak terjejas.
Pelaksanaan projek ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan DBKL meningkatkan standard penyampaian perkhidmatan awam melalui penambahbaikan sistem, tadbir urus dan kecekapan operasi. Pendekatan ini selaras dengan pembaharuan organisasi DBKL yang memberi penekanan kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, responsif dan berakauntabiliti.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr. Fadlun Mak Ujud berkata, setiap kemudahan awam perlu memenuhi standard yang jelas supaya rakyat menerima perkhidmatan yang boleh diharapkan apabila mereka memerlukannya.
”Keperluan rakyat sentiasa berubah. Sebab itu standard perkhidmatan DBKL juga mesti terus dipertingkatkan supaya setiap kemudahan awam mampu berfungsi dengan cekap dan memenuhi keperluan sebuah ibu negara,” katanya.
Beliau berkata kejayaan sesuatu projek tidak diukur berdasarkan nilai pelaburannya tetapi melalui peningkatan kualiti perkhidmatan yang benar-benar dirasai rakyat.
”Bagi DBKL, ukuran kejayaan bukan jumlah projek yang disiapkan tetapi kualiti perkhidmatan yang dirasai rakyat. Itulah standard prestasi yang kami pegang dalam setiap penambahbaikan yang dilaksanakan,” ujarnya.
DBKL akan terus memperkukuhkan standard penyampaian perkhidmatan awam melalui penambahbaikan kemudahan, sistem dan proses kerja agar Kuala Lumpur terus berfungsi dengan cekap sebagai sebuah ibu negara yang diyakini rakyat.
Matlamat DBKL jelas iaitu memastikan Kuala Lumpur terus berfungsi dengan cekap supaya setiap warga kota dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik.