Rumah yang selamat dan peluang menjana pendapatan merupakan antara keperluan paling dekat dengan kehidupan rakyat.
Sehubungan itu, Kerajaan MADANI melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan sebanyak RM2,587,100 bagi kerja penyelenggaraan dan naik taraf di Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai.
Dalam program yang sama, DBKL turut menyerahkan surat tawaran PPR kepada 29 penerima terdiri daripada 15 penerima Melayu dan 14 penerima India serta surat tawaran pengisian premis pusat penjaja kepada 40 peniaga tempatan di lapan kawasan Parlimen Kuala Lumpur.
PPR Seri Pantai yang mula beroperasi pada tahun 1998 mempunyai 936 unit kediaman terdiri daripada 615 unit sewa dan 321 unit milik. Penyelenggaraan berterusan penting bagi memastikan kemudahan yang digunakan penduduk setiap hari kekal selamat, selesa dan berfungsi dengan baik.
Pecahan peruntukan RM2,587,100 adalah seperti berikut:
1. RM1,599,800 bagi kerja naik taraf kemudahan lif;
2. RM421,000 bagi kerja penurapan jalan;
3. RM300,000 bagi penambahbaikan sistem pencahayaan;
4. RM220,430 bagi sistem pam air;
RM25,000 bagi taman permainan kanak-kanak; dan
5. RM20,870 bagi sistem pencegahan kebakaran.
Kerja tersebut memberi manfaat secara langsung kepada penduduk khususnya warga emas, orang kurang upaya, keluarga yang mempunyai anak kecil serta penghuni yang bergantung pada kemudahan bersama setiap hari.
Lif yang berfungsi dengan baik memudahkan pergerakan penduduk manakala pencahayaan, sistem pam air dan sistem pencegahan kebakaran yang diselenggara membantu meningkatkan keselamatan serta keselesaan kawasan kediaman.
PPR Seri Pantai turut dilengkapi tempat letak kereta bertingkat dengan 370 petak, sebuah dewan serbaguna, tiga gelanggang badminton, sebuah gelanggang futsal serta 21 unit kedai bagi menyokong keperluan sosial dan ekonomi komuniti setempat.
Penyerahan surat tawaran PPR kepada 29 penerima memberi peluang kepada mereka dan keluarga untuk mendapatkan kediaman yang lebih stabil dan teratur. Usaha ini merupakan sebahagian daripada komitmen DBKL untuk memastikan kemudahan perumahan awam terus disalurkan kepada warga kota yang memerlukan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Hannah Yeoh berkata, dasar perumahan rakyat perlu mengambil kira keseluruhan kehidupan sesebuah keluarga termasuk keadaan kediaman dan keupayaan mereka membina pendapatan.
“Rumah yang selamat memberi kestabilan kepada keluarga manakala peluang berniaga membolehkan mereka membina pendapatan melalui usaha sendiri. Kerajaan MADANI mahu setiap dasar diterjemahkan kepada perubahan yang dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat.”
Bagi pengisian premis pusat penjaja, seramai lima peniaga dipilih bagi setiap kawasan Parlimen melibatkan Wangsa Maju, Bukit Bintang, Bandar Tun Razak, Segambut, Cheras, Setiawangsa, Seputeh dan Titiwangsa.
Premis yang ditawarkan terletak di:
1. Bazaria Wangsa Maju;
2. Kiosk Pocket Park Imperial Hotel;
3. Kiosk Hadapan Masjid Az-Zubair;
4. Pasar Taman Tun Dr. Ismail;
5. Pusat Penjaja Tempat Letak Kereta Taman Segar;
6. Medan Selera D’Tasik Titiwangsa;
7. Pusat Penjaja Mega Mendung; dan
8. Kompleks Pasar Raja Bot.
Pemilihan 40 peniaga dilaksanakan melalui proses pengiklanan kekosongan dan penilaian berdasarkan syarat serta kriteria yang ditetapkan oleh DBKL.
Penawaran tersebut membolehkan peniaga menjalankan perniagaan di premis yang sah dan tersusun di samping mengoptimumkan penggunaan premis milik DBKL. Bagi penerima, peluang ini menyediakan ruang untuk membina pendapatan, menyara keluarga dan mengembangkan perniagaan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud berkata, DBKL akan memastikan semua inisiatif berkenaan dilaksanakan mengikut skop, syarat dan tujuan yang ditetapkan.
“DBKL akan memantau kemajuan dan mutu kerja naik taraf di PPR Seri Pantai. Pemantauan turut dilaksanakan terhadap pengisian unit PPR dan premis penjaja bagi memastikan kemudahan serta premis yang disediakan digunakan dengan baik, mematuhi syarat dan memberi manfaat kepada kumpulan sasaran.”
DBKL akan terus memantau pelaksanaan semua inisiatif ini bagi memastikan setiap peruntukan dibelanjakan secara bertanggungjawab, kemudahan berfungsi dengan baik dan manfaatnya sampai kepada rakyat.