Default Banner

DBKL Roboh 2 Struktur Binaan Kedai Runcit Kendalian Warga Asing Tanpa Kelulusan

Utama / Berita & Acara / DBKL Roboh 2 Struktur Binaan Kedai Runcit Kendalian Warga Asing Tanpa Kelulusan

August 4th, 2026 by Admin JPRK

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dan Telekom Malaysia Berhad (TM) melaksanakan Operasi Bersepadu Meruntuhkan Binaan Struktur Binaan Tanpa Kelulusan Atas Rezab Jalan Awam di Lorong Segambut Dalam, Kuala Lumpur pada Isnin, 3 Ogos 2026.

Tindakan penguatkuasaan meroboh 2 struktur binaan dilaksanakan setelah pemilik struktur aktiviti perniagaan melibatkan kedai runcit dan kedai gunting rambut dikendalikan oleh warga negara asing dan gagal mematuhi 2 notis penguatkuasaan bagi pengosongan tapak berkaitan pembinaan struktur sambungan kekal tanpa kebenaran di atas rezab jalan dan lorong tepi bangunan yang dikeluarkan sebelum ini pada 29 Julai 2026 dan 31 Julai 2026 menerusi kesalahan di bawah Seksyen 69, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

Kerja-kerja meroboh 2 buah struktur dan pembersihan kawasan berkenaan berjalan dengan lancar setelah barangan dan peralatan perniagaan telah di pindah keluar oleh pemilik premis termasuk pemotongan bekalan air dan sumber bekalan elektrik mengikut proses dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan oleh pihak DBKL, Air Selangor dan TNB.

DBKL turut menyita dan memindahkan ayam hidup dan ikan hidup ke stor Unit Kawalan Pest, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL untuk tindakan dokumentasi. Manakala pihak JIM turut menahan 5 orang pekerja warga negara asing untuk tindakan selanjutnya berkaitan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa. Sebarang aduan atau maklumbalas, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat dipautan tertera seperti berikut.