Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah melaksanakan Operasi Bersepadu Meroboh Struktur dan Pindah Halangan Penjaja di Jalan Raja Bot, Chowkit pada Rabu, 14 Oktober 2026.
Operasi bersepadu meroboh struktur dan pindah halangan ke atas aktiviti perniagaan melibatkan penjaja pakaian terpakai (bundle) setelah tamat notis pengosongan tapak diberikan kepada pemilik perniagaan sebelum ini.
Sejumlah 8 aktiviti perniagaan pakaian terpakai (bundle) telah diambil tindakan sita dan pindah halangan termasuk merobohkan struktur-struktur binaan gerai yang dibuat tanpa kelulusan di laluan siar kaki dan jalan awam berkenaan menerusi kesalahan di bawah Seksyen 46, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.
Kesemua barangan dan peralatan perniagaan seperti khemah, gerobok besi, seluar, baju, topi dan lain-lain telah dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL bagi proses penyimpanan dan dokementasi lanjut.
DBKL akan meneruskan tindakan penguatkuasaan dari masa ke semasa dan mengingatkan agar pemilik perniagaan mematuhi syarat-syarat lesen yang diberikan, termasuk tidak membuat sebarang halangan di laluan, atas jalan, petak letak kereta dan tempat awam. Sebarang aduan atau maklum balas, orang awam boleh salurkan dipautan tertera.
https://adukl.dbkl.gov.my