Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melaksanakan Operasi Bersepadu (Ops.TEBAH) bersama agensi Siri 5/2026 sekitar Jalan Telawi Bangsar, Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Imbi Bukit Bintang bermula pada jam 11.00 malam, Sabtu 25 Julai 2026 dan berakhir pada jam 7.00 pagi pada Ahad 26 Julai 2026.
Sebanyak 5 buah premis telah di buat serbuan dan pemeriksaan secara menyeluruh oleh DBKL, PDRM, JAWI, JKDM dan AADK terhadap premis yang menjalankan dan mengadakan aktiviti hiburan tanpa lesen serta langgar syarat lesen yang dikeluarkan termasuk juga pemeriksaan ke atas individu dan pengujung yang hadir di pusat hiburan berkenaan oleh pihak berkuasa.
Hasil daripada pemeriksaan tersebut, DBKL telah melaksanakan 3 tindakan sitaan terhadap pelbagai barangan peralatan muzik dan mengeluarkan 10 notis kompaun ke atas premis yang tidak memiliki lesen hiburan bagi penganjuran aktiviti hiburan, melantik pembantu warga negara asing tanpa permit sah, menjalankan aktiviti perniagaan selain dalam lesen, pengendali tiada suntikan typod serta membenarkan pengunjung bawah umur mmasuki premis hiburan menerusi kesalahan di bawah UUK Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016, Kaedah-Kaedah Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1993 dan Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992.
Kesemua peralatan dan barangan muzik yang dikenakan tindakan sita telah dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL,untuk tindakan rekod dan dokumentasi.
Manakala pihak AADK menahan dan membawa 5 orang individu ke ibu pejabat AADK WPKL selepas keputusan saringan air kencing mereka didapati positif bahan terlarang menerusi Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 , pihak JKDM mengeluarkan 2 notis kepada pemilik premis hiburan untuk hadir ke pejabat kerana melanggar peraturan eksais dan menjual secara runcit liquor yang memabukkan tanpa lesen di bawah Akta Eksais 1976 dan pihak JAWI pula mengeluarkan 52 surat notis perintah hadir untuk memberi keterangan kepada pengunjung kelab hiburan yang beragama Islam berkaitan meminum minuman yang memabukkan (arak) bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenalpasti. Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di pautan tertera seperti berikut.
https://adukl.dbkl.gov.my/