Default Banner

D’Tebing Recharge Rider Sebagai Hab P-Hailing Kuala Lumpur Perkukuh Sokongan Kepada Komuniti Pekerja Gig

Utama / Berita & Acara / D’Tebing Recharge Rider Sebagai Hab P-Hailing Kuala Lumpur Perkukuh Sokongan Kepada Komuniti Pekerja Gig

June 16th, 2026 by Admin JPRK

Komuniti penghantar makanan dan barangan yang menjadi antara penggerak penting ekonomi bandar kini mempunyai sebuah ruang khusus untuk berehat dan mendapatkan kemudahan asas menerusi D’Tebing Recharge Rider yang diperkenalkan sebagai Hab P-Hailing Kuala Lumpur.

Hab tersebut telah dirasmikan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) bersama YBhg. Datuk Seri TPr Fadlun bin Mak Ujud, Datuk Bandar Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesejahteraan komuniti pekerja gig di ibu negara.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam menyediakan kemudahan awam yang lebih inklusif, responsif dan mesra pengguna bagi memenuhi keperluan komuniti rider yang sentiasa berkhidmat di lapangan tanpa mengira cuaca dan waktu.

D’Tebing Recharge Rider menyediakan pelbagai kemudahan untuk kegunaan komuniti p-hailing termasuk ruang rehat berbumbung, stesen pengecas telefon bimbit, surau, tandas awam serta ruang menunggu pesanan yang lebih selesa dan kondusif. Kemudahan ini diwujudkan bagi menyokong kesejahteraan komuniti penghantar yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran aktiviti ekonomi dan kehidupan harian warga kota.

Sebanyak dua unit ruang rehat D’Tebing Recharge Rider disediakan dan boleh digunakan 24 jam sehari untuk komuniti penghantar makanan dan barangan berehat atau menunaikan solat. Stesen pengecas telefon bimbit pula beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 11.00 malam mengikut waktu operasi premis berhampiran. Lokasi hab ini juga ditempatkan secara strategik berdekatan kedai makanan dan minuman yang menawarkan Menu Rahmah serendah RM5 bagi membantu meringankan kos perbelanjaan harian komuniti rider.

Lebih daripada sekadar ruang rehat, D’Tebing Recharge Rider menjadi simbol pengiktirafan terhadap sumbangan komuniti rider yang memainkan peranan penting dalam menyokong kehidupan harian warga kota dan kelancaran ekonomi bandar.

Usaha memperkenalkan D’Tebing Recharge Rider ini merupakan langkah permulaan sebagai tanda penghargaan kepada komuniti pekerja gig. Berdasarkan maklum balas pengguna, kemudahan ini akan terus ditambah baik dari semasa ke semasa termasuk pemasangan lampu dan kipas di ruang rehat serta penambahan soket pengecas bagi memberikan keselesaan kepada lebih ramai pengguna.

Semoga kemudahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti rider yang sentiasa komited berkhidmat kepada warga kota. DBKL akan terus meneroka dan melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada warga kota serta memastikan pembangunan Wilayah Persekutuan dilaksanakan secara seimbang, inklusif dan berteraskan kesejahteraan rakyat, selaras dengan aspirasi Kuala Lumpur sebagai Bandar Raya Untuk Semua.