Di tengah kesibukan Kuala Lumpur, ribuan penjaja kecil mencari rezeki setiap hari demi menyara kehidupan keluarga. Ada yang sudah puluhan tahun berniaga di lokasi yang sama, berdepan pelbagai cabaran termasuk ruang niaga yang sempit, kemudahan asas yang terhad serta persekitaran yang kurang selesa.
Bagi mereka, berniaga bukan sekadar mencari keuntungan. Di situlah sumber pendapatan untuk membesarkan anak-anak, memenuhi keperluan keluarga dan meneruskan kelangsungan hidup.
Menyedari realiti ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi inisiatif Lestari Niaga @ KL 2026 terus memberikan perhatian kepada usaha menaik taraf kawasan penjajaan agar lebih teratur, bersih, selamat dan selesa.
Sebanyak enam projek naik taraf di kawasan Parlimen Setiawangsa dan Batu melibatkan 175 penjaja sedang dilaksanakan, dengan kemajuan projek antara 10% hingga 98.3% setakat 14 Oktober 2026.
Penambahbaikan ini merangkumi penyusunan semula gerai, penyediaan kiosk dan gerai berkunci, ruang makan berbumbung serta peningkatan kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, tandas, sistem perparitan dan pencahayaan.
Bagi penjaja, persekitaran niaga yang lebih baik membolehkan mereka menjalankan perniagaan dengan lebih selesa, teratur dan berpotensi menarik lebih ramai pelanggan. Bagi warga kota pula, ia menyediakan pilihan tempat membeli-belah dan menjamu selera yang lebih bersih, selamat serta menyenangkan.
Usaha ini juga mencerminkan pendekatan DBKL bahawa pembangunan bandar raya tidak seharusnya hanya tertumpu kepada projek berskala besar, tetapi perlu turut menyentuh keperluan masyarakat yang menggerakkan ekonomi setempat.
Matlamat DBKL adalah untuk membentuk ekosistem penjajaan yang lebih moden, berdaya saing dan mampan, tanpa meminggirkan peniaga kecil yang menjadi sebahagian daripada identiti Kuala Lumpur.
Kerana Kuala Lumpur yang maju bukan sekadar sebuah bandar raya yang indah dipandang, tetapi sebuah bandar raya yang menyediakan ruang dan peluang untuk setiap warganya membina kehidupan yang lebih baik.




