Usaha mempertingkatkan kualiti infrastruktur jalan raya di ibu negara terus diperkasa menerusi pelaksanaan kerja-kerja pengisaran dan penurapan jalan bagi memastikan permukaan jalan raya lebih selamat, selesa dan berkualiti untuk kegunaan warga kota.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Hannah Yeoh, bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Datuk Seri TPr Fadlun bin Mak Ujud, telah mengadakan Program Turun Padang (TUPA) bagi meninjau pelaksanaan kerja-kerja pengisaran dan penurapan jalan di beberapa lokasi utama di Kuala Lumpur.
Tinjauan melibatkan tiga lokasi, iaitu Lebuhraya Kuala Lumpur–Seremban (arah masuk), Lebuhraya Sultan Iskandar (arah masuk) dan Jalan Ampang (arah masuk).
Pelaksanaan kerja-kerja ini merangkumi proses pengisaran permukaan jalan sedia ada sebelum lapisan baharu jenis Stone Mastic Asphalt (SMA) diturap bagi meningkatkan kualiti permukaan jalan serta ketahanan infrastruktur jalan raya.
Kerja-kerja dilaksanakan pada waktu malam, bermula jam 10.00 malam hingga 5.00 pagi, bagi mengurangkan gangguan terhadap aliran trafik dan aktiviti harian pengguna jalan raya.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) komited untuk memastikan penyelenggaraan infrastruktur jalan raya dilaksanakan secara berterusan, terancang dan berkesan demi meningkatkan keselamatan pengguna serta memberikan pengalaman perjalanan yang lebih baik di ibu negara.
Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan DBKL dalam merealisasikan aspirasi “Bandar Raya Sejahtera Untuk Semua”, dengan mengutamakan kesejahteraan, keselamatan dan keselesaan seluruh warga kota.