Usaha memperkukuh integriti dan tadbir urus dalam perkhidmatan awam memberi kesan langsung kepada rakyat melalui penyampaian perkhidmatan yang lebih telus, berakauntabiliti, cekap dan diyakini.
Atas komitmen tersebut, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menghadiri Sesi Libat Urus bersama Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berlangsung di Ibu Pejabat SPRM.
Sesi ini menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama strategik antara SPRM dan DBKL dalam memperkasakan agenda integriti, tadbir urus dan pencegahan rasuah, khususnya dalam memastikan mekanisme penyampaian perkhidmatan kepada warga kota sentiasa berada pada tahap terbaik.
Pelbagai perkara berkaitan pengurusan dan pengukuhan fungsi integriti telah dibincangkan, termasuk usaha meningkatkan keberkesanan inisiatif pencegahan rasuah, pemantauan isu-isu integriti serta pengukuhan mekanisme tadbir urus dalam organisasi.
Sesi libat urus dipengerusikan oleh YBrs. Puan Lim Bee Kean, Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA), SPRM.
Turut hadir mewakili DBKL ialah YBrs. Puan Nor Azlina binti Mohd Saad, Pengarah Eksekutif Pengurusan DBKL, bersama barisan pegawai daripada kedua-dua pihak.
Komitmen ini mencerminkan usaha berterusan DBKL untuk membudayakan nilai integriti, akauntabiliti dan ketelusan dalam setiap aspek penyampaian perkhidmatan.
DBKL akan terus memperkukuh hubungan strategik bersama SPRM dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan amalan tadbir urus yang baik serta budaya integriti dapat dilaksanakan secara menyeluruh, demi meningkatkan kepercayaan warga kota dan memastikan perkhidmatan awam yang lebih berintegriti, responsif dan diyakini.