June 22nd, 2025 by Admin JPRK
Program Kuala Lumpur Car-Free Morning (KLCFM) edisi 22 Jun 2025 bertempat di Dataran DBKL telah menarik kehadiran lebih 4,500 peserta dan pengunjung yang hadir untuk menyertai pelbagai aktiviti riadah, kesihatan dan hiburan yang disusun khas buat warga kota.
Antara acara utama yang menjadi tumpuan pagi ini ialah larian sejauh 5KM yang digabungkan dengan beberapa program rakan kolaborasi termasuk Larian PPP (HKL) anjuran Hospital Kuala Lumpur yang memberi penekanan kepada kesedaran kesihatan awam; Kidslympik Fun Run 2025, sebuah inisiatif peringkat kebangsaan yang memupuk semangat bersukan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja serta Aspiro 5KM Fun Run 2025, larian korporat yang digerakkan oleh warga kerja syarikat Aspiro Sdn Bhd dalam usaha menggalakkan gaya hidup aktif.
Turut diadakan ialah GoCar EV Show, iaitu pameran kenderaan elektrik oleh GoCar yang memberi peluang kepada orang ramai untuk mengenali model-model kenderaan mesra alam yang ditawarkan untuk kegunaan seharian melalui aplikasi mudah alih.
Kelainan pada edisi kali ini ialah kehadiran Orkestra German yang mempersembahkan persembahan jalanan istimewa bersempena Festival Orkestra Kuala Lumpur 2025. Persembahan interaktif mereka di sepanjang laluan larian bukan sahaja menceriakan suasana, malah turut menambahkan elemen budaya dan artistik kepada pengalaman KLCFM selaras dengan imej Kuala Lumpur sebagai bandar raya berbudaya dan bertaraf dunia.
Program turut dimulakan dengan sesi senamtari oleh Artis Budaya DBKL yang memeriahkan suasana pagi dengan kombinasi gerakan senaman dan tarian secara beramai-ramai.
Penganjuran KLCFM edisi 22 Jun 2025 berjaya mencapai objektif untuk menghimpunkan elemen kesihatan, teknologi dan seni budaya dalam suasana harmoni serta menyatukan warga kota dalam sebuah ruang awam yang bebas kenderaan dan penuh keceriaan.
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox , Google Chrome, Internet Explorer 11 ke atas
Hak Cipta Terpelihara. © 2023 - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)