Default Banner

Kuala Lumpur Dan Jakarta Perkukuh Jalinan Kerjasama

Utama / Berita & Acara / Kuala Lumpur Dan Jakarta Perkukuh Jalinan Kerjasama

August 12th, 2025 by Admin JPRK

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pemerintah Daerah Khusus Ibu Kota Jakarta hari ini secara rasmi menandatangani Surat Pernyataan Kehendak atau Letter of Intent (LOI) bagi membentuk kerjasama antara kedua-dua bandar raya. Majlis ini berlangsung di Grand Hyatt Kuala Lumpur dengan DBKL diwakili oleh YBhg. Dato Seri TPr (Dr) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur, manakala Jakarta diwakili oleh Bapak Pramono Anung, Gabenor Jakarta.

Dalam ucapan alu-aluan, Datuk Bandar Kuala Lumpur menzahirkan rasa gembira dengan termeterainya kerjasama rasmi pertama antara Kuala Lumpur dan Jakarta. Beliau menegaskan bahawa LOI ini lebih daripada sekadar dokumen, tetapi merupakan satu janji untuk memperkukuh kerjasama melalui tindakan yang praktikal dan berorientasikan hasil.

Kerjasama ini meliputi lima bidang utama iaitu peningkatan perkhidmatan pengangkutan awam, pembangunan kesihatan dan kesejahteraan komuniti, sistem pencegahan dan pengurusan banjir, pengurusan sisa berkonsep sifar sisa (zero waste) serta bidang lain yang akan dipersetujui bersama.

Datuk Bandar turut berkongsi tentang inisiatif Warisan Kuala Lumpur, projek pembaharuan bandar yang memulihkan kawasan bersejarah seperti Pasar Seni, Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad menjadi hab seni, budaya dan kreativiti. Beliau juga menyatakan bahawa semua usaha ini berpandukan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 sebagai pelan hala tuju untuk membentuk sebuah bandar inklusif, inovatif, hijau dan berasaskan komuniti.

Majlis ini diadakan bersempena tiga program utama di bawah Pengerusi ASEAN 2025 Malaysia iaitu Forum Pembandaran Mampan ASEAN (ASUF), Forum Gabenor dan Datuk Bandar ASEAN (AGMF) dan Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Kota ASEAN (MGMAC).

DBKL percaya bahawa melalui perkongsian ini, Kuala Lumpur dan Jakarta akan bekerjasama dalam bidang integrasi pengangkutan awam, kesihatan komuniti, daya tahan banjir, program sifar sisa dan tadbir urus yang baik, seterusnya membawa manfaat kepada warga kedua-dua bandar raya dan memperkukuh peranan Kuala Lumpur di peringkat serantau.

3. 530897853 1310263217329031 3464307320067045342 n

3. 532362024 1310263087329044 4335750072182053513 n

3. 532278477 1310263020662384 3548005242354066833 n

3. 531242454 1310263173995702 4665499820546383758 n