Default Banner

KUALA LUMPUR PARK FESTIVAL 2025 CATAT TIGA PENGIKTIRAFAN MALAYSIA BOOK OF RECORDS

Utama / Berita & Acara / KUALA LUMPUR PARK FESTIVAL 2025 CATAT TIGA PENGIKTIRAFAN MALAYSIA BOOK OF RECORDS

October 27th, 2025 by Admin JPRK

Kuala Lumpur Park Festival (KLPF) 2025 menutup tirainya dengan penuh warna-warni selepas sepuluh hari penganjuran yang memeriahkan Taman Tasik Titiwangsa sejak 16 Oktober lalu. Edisi kedua festival dwitahunan ini sekali lagi mencipta sejarah apabila berjaya menarik lebih 280,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat dan pelancong antarabangsa yang sama-sama meraikan keindahan taman bandar Kuala Lumpur.

Tahun ini, KLPF mencatat satu lagi detik bermakna apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerima tiga pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) bagi mengiktiraf keunikan, inovasi dan kreativiti dalam penganjuran festival landskap bandar terbesar di Malaysia.

Antara kategori yang diiktiraf ialah Largest Floating Garden in a Festival, yang menampilkan taman terapung berskala besar di tasik utama Titiwangsa; Most Art Installations in a Park Festival, dengan 68 instalasi seni yang menghiasi kawasan festival; dan First Immersive Plant Showcase, pameran tanaman interaktif yang membawa pengalaman visual dan deria baharu kepada pengunjung.

YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur, menyempurnakan majlis penutupan rasmi dan menyifatkan kejayaan ini sebagai bukti komitmen DBKL memperkasa identiti Kuala Lumpur sebagai bandar hijau, berdaya cipta dan berdaya huni, di samping memperkukuh pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 11 dan SDG 17) melalui program berteraskan seni, komuniti dan alam sekitar.

Bertemakan “Kesatuan ASEAN Dalam Kepelbagaian”, festival ini turut mengetengahkan pelbagai segmen unik seperti Mistikal Titiwangsa, pengalaman imersif berasaskan kisah rakyat Malaysia seperti Puteri Gunung Ledang dan Si Tanggang; KL Genta: Festival Gendang dan Tarian, yang menghimpunkan persembahan daripada enam negara ASEAN serta empat negeri Malaysia; dan Fiesta Makanan Halal ASEAN serta Bazar Pasaran ASEAN, yang menggabungkan lebih 100 gerai makanan, kraf dan tumbuhan tempatan serta serantau.

DBKL turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik dan penaja, khususnya Aset Kayamas Sdn. Bhd. selaku penaja utama bersama 41 rakan korporat dan agensi yang merealisasikan kejayaan festival ini melalui pendekatan 4P – Public, Private, People, Partnership.

Kejayaan Kuala Lumpur Park Festival 2025 bukan sekadar mengangkat landskap Titiwangsa sebagai destinasi rekreasi bertaraf antarabangsa, tetapi turut memperkukuh aspirasi Kuala Lumpur untuk muncul sebagai kota yang lestari, inklusif dan disayangi semua.

Logo DBKL
background grey

Hubungi Kami

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut 50350 Kuala Lumpur, Malaysia

03 2617 9000

03 2698 0460

dbkl@dbkl.gov.my

Jumlah Pelawat

Hari Ini:

0

Keseluruhan:

0

Kemaskini Terakhir:

02/11/2025

Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox , Google Chrome, Internet Explorer 11 ke atas

Hak Cipta Terpelihara. © 2023 - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)

ISO