Usaha berterusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam mewujudkan persekitaran bandar raya yang lebih sihat dan bebas asap rokok mendapat pengiktirafan di peringkat ASEAN apabila Kuala Lumpur menerima Anugerah Gangsa (Bronze Award) pada ASEAN Smoke-Free Awards (ASA) Ke-2, yang berlangsung pada 10 September 2026 di Kuala Lumpur.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad sempena Majlis Pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) Ke-17 yang dianjurkan dan dipengerusikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Mewakili DBKL pada majlis tersebut ialah Dr. Nor Halizam binti Ismail, Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS), bersama Dr. Shariza Natasha binti Hariri.
Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen DBKL melalui pelbagai inisiatif Kuala Lumpur Bebas Asap Rokok (KLBAR) merangkumi pendidikan dan intervensi komuniti, program kesedaran di PPR dan PA, penguatkuasaan larangan merokok serta latihan dan peningkatan kapasiti pegawai penguat kuasa.
Usaha ini turut diperkukuh melalui program intervensi merokok dalam kalangan murid sekolah dengan penglibatan guru kaunseling dan guru disiplin bagi meningkatkan kesedaran mengenai bahaya produk merokok, khususnya dalam kalangan generasi muda.
ASEAN Smoke-Free Awards mengiktiraf pencapaian kerajaan tempatan di rantau ASEAN dalam melaksanakan dasar dan usaha bebas asap rokok bagi melindungi kesihatan awam serta mewujudkan persekitaran yang lebih sihat untuk masyarakat.
Pengiktirafan ini menjadi dorongan kepada DBKL untuk terus memperkukuh usaha menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang lebih sihat, selamat dan sejahtera untuk semua.
