August 13th, 2025 by Admin JPRK
Mesyuarat Meeting of Governors/Mayors of ASEAN Capitals (MGMAC) ke-11 telah berlangsung di Kuala Lumpur pada 13 Ogos 2025, dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur merangkap Pengerusi MGMAC 2025. Persidangan ini telah mencapai persetujuan bersama oleh 10 ibu negara ASEAN untuk menubuhkan sebuah sekretariat di Jakarta bagi memperkukuh kerjasama serantau demi merealisasikan Wawasan ASEAN 2045, dengan delegasi dari Dili, Timor Leste turut hadir sebagai pemerhati.
Dalam mesyuarat ini, semua bandar raya telah mengesahkan Dokumen MCMAC 2025 yang merangkumi komitmen untuk memformalkan dan memperkukuh mekanisme kerjasama yang diketuai oleh bandar melalui penubuhan MGMAC City Network bagi mempromosikan perkongsian pengetahuan dan pelaporan kemajuan pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta New Urban Agenda melalui pelaksanaan Voluntary Local Review (VLR). Mereka turut bersetuju untuk memajukan keutamaan tempatan di bawah tonggak Wawasan ASEAN 2045 dengan melantik City Focal Points yang akan bekerjasama dengan Kuala Lumpur dan UCLG ASPAC bagi memantau pelaksanaan aktiviti bersama yang dipersetujui.
Dokumen tersebut juga menekankan sokongan terhadap pelaksanaan New Urban Agenda dan matlamat global, khususnya berkaitan inisiatif sifar sisa dan tindakan iklim, termasuk penyertaan sukarela dalam inisiatif UN-Habitat Waste Wise Cities serta penyerahan laporan pengurusan sisa oleh setiap bandar raya. Selain itu, ia turut memperkukuh pelaksanaan matlamat iklim di peringkat tempatan dengan menyokong usaha meningkatkan komponen bandar dalam Nationally-Determined Contributions 3.0 melalui kerjasama pelbagai peringkat yang dipersetujui di COP28, menggalakkan penganjuran sesi COP Town Hall bagi menyelaraskan tindakan iklim, dan memperjuangkan pelaburan di peringkat tempatan daripada institusi antarabangsa seperti PBB, Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia.
Datuk Bandar Kuala Lumpur turut menzahirkan penghargaan atas sokongan semua ibu negara ASEAN terhadap cadangan Malaysia untuk mengadakan sesi Town Hall COP bagi mengangkat suara kerajaan tempatan ke pentas antarabangsa menjelang COP di Belem, Brazil pada November ini. Jelas beliau, tindakan di peringkat tempatan perlu diambil kira apabila negara anggota mendefinisikan semula komitmen sumbangan nasional, bagi memastikan sumber yang mencukupi untuk melaksanakan dasar iklim di lapangan.
MGMAC akan berpindah ke Manila, Filipina pada tahun hadapan apabila negara itu mengambil alih kerusi Pengerusi ASEAN.
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox , Google Chrome, Internet Explorer 11 ke atas
Hak Cipta Terpelihara. © 2023 - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)