August 12th, 2025 by Admin JPRK
Hari ini, Kuala Lumpur dan Vientiane, Lao PDR memeterai Letter of Intent (LOI) sebagai langkah memperkukuh hubungan persahabatan dan kerjasama strategik antara kedua-dua bandar raya bertempat di Grand Hyatt Kuala Lumpur ini mewakili Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ialah YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur dan mewakili Vientiane Caiptal ialah H.E. Athsaphangthong Siphandone, Gabenor Vientiane Capital.
Dalam ucapannya, Datuk Bandar Kuala Lumpur menegaskan bahawa Kuala Lumpur dan Vientiane telah lama menjalin hubungan erat dalam keluarga ASEAN, dan hari ini menjadi detik bersejarah memulakan kerjasama yang lebih terancang berasaskan prinsip kesaksamaan dan manfaat bersama. Beliau memaklumkan bahawa melalui LOI ini, kedua-dua bandar raya akan bekerjasama dalam tiga bidang utama iaitu memperkasa inisiatif bandar selamat dan mesra warga emas, menggalakkan perancangan bandar kompak dan inklusif serta mempertingkatkan pembangunan kemahiran bagi mempersiapkan masyarakat menghadapi masa depan.
Datuk Bandar turut menyatakan bahawa kerjasama ini selari dengan aspirasi Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 bertemakan A City for All yang memacu Kuala Lumpur ke arah bandar inklusif, inovatif, hijau dan berpaksikan komuniti. Beliau percaya bahawa cabaran bandar masa kini memerlukan penyelesaian bersama melalui kepimpinan berwawasan, perancangan konsisten dan perkongsian strategik seperti yang dimeterai pada hari ini.
Sementara itu, Gabenor Vientiane dalam ucapannya memuji Kuala Lumpur sebagai model bandar pintar, mampan dan dinamik. Beliau turut berkongsi kemajuan pesat Vientiane dalam pembangunan ekonomi, infrastruktur hijau, pengangkutan awam bersih serta pemeliharaan warisan budaya. Menyedari cabaran bersama seperti pembandaran pesat, perubahan iklim dan transformasi digital, beliau melihat banyak peluang untuk bertukar kepakaran dalam bidang bandar pintar, pembangunan mampan, pelancongan dan latihan pembangunan kapasiti.
Kuala Lumpur percaya bahawa hubungan ini akan memberi manfaat besar kepada kedua-dua bandar raya dan menyumbang kepada pengukuhan komuniti ASEAN yang lebih makmur, berdaya tahan dan berdaya huni.
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox , Google Chrome, Internet Explorer 11 ke atas
Hak Cipta Terpelihara. © 2023 - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)