Default Banner

Lagi DBKL Sita 323 Buah Basikal Di Taman Tasik Titiwangsa

Utama / Berita & Acara / Lagi DBKL Sita 323 Buah Basikal Di Taman Tasik Titiwangsa

August 5th, 2026 by Admin JPRK

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur melaksanakan Tindakan Khas Pengusaha Basikal Tanpa Lesen dan Halangan Tempat Awam di sekitar kawasan Jalan Tembeling, Taman Tasik Titiwangsa Kuala Lumpur pada Isnin, 3 Ogos 2026.

Tindakan khas dijalankan ke atas pengusaha aktiviti penyewaan pelbagai jenis basikal yang beroperasi tanpa lesen, dikendalikan warga negara asing termasuk meninggalkan peralatan serta basikal di tempat awam di sekitar kawasan Taman Tasik Titiwangsa untuk digunakan oleh pengunjung taman.

DBKL turut mengesan beberapa pengusaha penyewaan basikal ini dengan sengaja meninggalkan basikal-basikal yang rosak dan tidak boleh digunakan di kawasan lapang, belakang premis perniagaan, tandas awam, tanpa membersihkan atau melupuskan basikal-basikal yang tidak digunakan. Ini menyebabkan berlakunya halangan di kawasan awam dan menimbulkan kacau ganggu kepada persekitaran kawasan rekreasi awam.

Hasil pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan yang dijalankan ke atas 5 pengusaha basikal, DBKL telah membuat tindakan sita dan pindah barangan ke atas 323 buah pelbagai jenis basikal dewasa dan kanak-kanak yang didapati beroperasi tanpa lesen termasuk basikal-basikal yang ditinggalkan di tempat awam. Kesemua basikal dihantar ke Setor Sitaan DBKL untuk penyimpanan dan dokumentasi lanjut. Tindakan penguatkuasaan dilakukan menerusi kesalahan di bawah UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016 dan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

Operasi berjalan dengan lancar tanpa sebarang provokasi dari mana-mana pihak. DBKL akan meneruskan tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan. Sebarang aduan atau maklum balas, orang awam boleh salurkan dipautan tertera.