August 12th, 2025 by Admin JPRK
Sempena Malaysia sebagai tuan rumah Persidangan ASEAN 2025, pada 12 Ogos 2025 bertempat di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre, telah berlangsung Majlis Perasmian Bersama ASEAN Sustainable Urbanisation Forum (ASUF), ASEAN Governors and Mayors Forum (AGMF) dan Meeting of Governors/Mayors of ASEAN Capitals (MGMAC).
Majlis ini telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof dan turut dihadiri oleh YB Datuk Seri Dr Zaliha binti Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah Mohd Sharif, bersama pemimpin tempatan dan antarabangsa, wakil pertubuhan antarabangsa serta komuniti ASEAN.
ASUF, iaitu ASEAN Sustainable Urbanisation Forum, merupakan platform untuk bandar-bandar ASEAN berkongsi amalan terbaik dalam pembangunan bandar mampan, teknologi pintar, penyelesaian karbon rendah dan pengurusan sumber yang efisien.
AGMF adalah ASEAN Governors/Mayors Forum, iaitu platform yang menghimpunkan para gabenor dan datuk bandar dari negara-negara ASEAN untuk berbincang, berkongsi pengalaman dan memperkukuh kerjasama dalam pembangunan bandar yang lestari, inklusif serta responsif terhadap perubahan iklim.
MGMAC pula ialah Meeting of Governors/Mayors of ASEAN Capitals, iaitu mesyuarat rasmi antara pemimpin ibu kota ASEAN untuk membincangkan isu-isu bersama seperti pengurusan sisa, perumahan, mobiliti, kesihatan awam dan tindakan bandar dalam menyokong matlamat pembangunan mampan ASEAN 2045.
Kuala Lumpur berbangga menjadi tuan rumah acara berprestij ini sebagai medan memperkukuh jaringan kerjasama serantau demi pembangunan bandar yang lebih mampan, inklusif dan berdaya huni.
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox , Google Chrome, Internet Explorer 11 ke atas
Hak Cipta Terpelihara. © 2023 - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)