June 1st, 2025 by Admin JPRK
YB Datuk Seri Dr. Zaliha binti Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), telah merasmikan Mural Batik MADANI yang terletak di Zon Jejak Pahlawan, Jalan Parlimen, Kuala Lumpur. Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur, dan YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Vincent Tan Chee Yioun, Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad.
Mural ini diiktiraf sebagai mural batik terbesar di Malaysia dengan ukuran sepanjang 183 meter dan setinggi 6 meter, meliputi keluasan melebihi 1,100 meter persegi. Ia menampilkan motif batik kontemporari melalui pendekatan seni visual moden yang menggabungkan naratif sejarah, jati diri kebangsaan serta aspirasi masa depan negara. Reka bentuk mural ini mengetengahkan enam elemen utama, iaitu Sejarah Menganjak, Bangsa Pelapis, Pemacu Kemerdekaan, Bangsa yang Menyatukan, Khazanah Budaya dan Rupa Kota Berdaulat.
Mural Batik MADANI ini diwujudkan sebagai medium untuk menyampaikan naratif kebangsaan yang inklusif serta memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Ia juga menjadi platform untuk meraikan kepelbagaian budaya, termasuk dari Sabah dan Sarawak, serta menggunakan batik sebagai medium seni yang mendidik, menyatukan dan mencerminkan nilai Malaysia MADANI.
Projek ini merupakan salah satu inisiatif di bawah projek flagship DBKL dan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan Program Anak Angkat Ruang Awam oleh DBKL, yang memberi ruang kepada sektor swasta, NGO dan persatuan untuk mengangkat serta memelihara lorong belakang, laluan pejalan kaki dan taman-taman awam.
Mural Batik MADANI merupakan projek pertama DBKL bersama rakan strategik di bawah tanggungjawab sosial korporat syarikat swasta bagi tahun 2025 dan dilaksanakan dengan kerjasama strategik bersama Berjaya Group Berhad. Kerja-kerja melukis dimulakan pada 21 Februari dan berjaya disiapkan sepenuhnya pada 24 Mac 2025, iaitu 32 hari lebih awal daripada jadual asal.
Terletak berhampiran Taman Botani Perdana dan Taman Tugu di laluan protokol Jalan Parlimen, mural ini bukan sahaja memperindah wajah kota, malah menjadi tarikan baharu yang menghubungkan seni, warisan dan kehijauan alam bandar. Reka bentuk latarnya yang bersahaja dalam tona kelabu turut mengambil kira sensitiviti kawasan, sambil mengekalkan nilai estetika yang kuat dan berimpak tinggi.
DBKL yakin bahawa Mural Batik MADANI ini akan menjadi simbol visual aspirasi Malaysia MADANI yang mencerminkan perpaduan, kemampanan dan kecintaan terhadap warisan budaya nasional, sekali gus memperkukuh identiti Kuala Lumpur sebagai kota seni dan warisan berkelas dunia.
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox , Google Chrome, Internet Explorer 11 ke atas
Hak Cipta Terpelihara. © 2023 - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)